Image by zirconicusso on Freepik

Oleh Nury Kadir

Baru-baru ini tular dalam Tiktok, anak-anak remaja bergambar dengan menunjukkan pelbagai simbol tangan. Ada macam-macam komen dari netizen antaranya mengatakan bahawa trend itu bercanggah dengan Islam. Dakwa mereka lagi bahawa simbol yang ditunjukkan oleh anak-anak remaja itu ada kaitan dengan simbol Gerakan Freemason.

Dalam satu video yang lain pula, ditunjukkan seorang menteri bergambar dengan menunjukkan isyarat jari (jari telunjuk kiri bertemu dengan jari telunjuk kanan manakala ibu jari kanan dicantumkan dengan ibu jari kiri membentuk simbol tiga segi). Pada video itu pun dikomen bahawa menteri itu membawa simbol Gerakan Freemason.

Bermacam-macam komen yang ditulis, kita yang terjebak membaca komen sedikit sebanyak terpengaruh juga. Kadang-kadang tidak ambil tahu langsung pasal komen, itu jauh lebih baik bagi mengelakkan bersangka buruk. Tapi jangan lupa yang mempopularkan sesuatu isu adalah komen.

Photo of a man doing okay gesture
Photo by Mateusz Turbiński on Pexels

Isyarat tangan membentuk simbol tertentu yang membawa makna sama ada buruk atau baik bergantung kepada interpretasi yang memandangnya. Sebenarnya yang membuat isyarat itu tidak salah kerana kita tidak tahu apa niatnya. Sebaliknya, yang memandang dan membuat interpretasi itu yang tidak betul. Tangan! lagilah tidak bersalah kerana tangan adalah anggota badan yang paling banyak digunakan untuk melakukan aktiviti seharian.

Malah, salah satu komunikasi yang diterima pakai di seluruh dunia adalah bahasa isyarat tangan. Itulah bahasa yang digunakan oleh orang bisu untuk berkomunikasi.

Mengikut definisi, tangan itu adalah merujuk kepada anggota tubuh dari siku hingga ke hujung jari. Pada jari-jari setiap orang penuh dengan keunikan tersendiri. Memang benar kita punya sepuluh jari yang kelihatan serupa tetapi tidak sama dari segi bentuknya. Paling unik, setiap jari ada cap jari yang spesifik bagi setiap manusia. Bentuknya adalah berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain.

Disebabkan uniknya jari itu maka terciptalah simbol jari yang menjadi komunikasi tanpa suara bagi manusia di seluruh dunia. Cuma berhati-hati apabila memilih simbol, buat sedikit kajian apa maknanya dan fahami sensitiviti masyarakat setempat tentangnya. Bergambar atau bergayalah dengan isyarat jari yang disukai tetapi awas personaliti anda boleh dibaca melalui setiap isyarat yang ditunjukkan. Di sini disebut beberapa simbol yang popular serta menjadi ikutan.

Simbol OK

Antara isyarat tangan yang sering digunakan adalah ‘OK’, semua orang tahu maksudnya dan ia tidak menjadi masalah di Malaysia. Namun di negara lain seperti China isyarat ‘OK’ itu bermaksud tidak ‘OK’.

Corna atau isyarat tanduk kambing

Satu lagi isyarat jari yang sering digunakan adalah simbol Corna atau isyarat jari tanduk yang selalu digunakan oleh kumpulan muzik rock metal atau rock kapak. Dalam kajian yang diterbitkan jurnal E-Komunikasi, Universitas Kristen Petra Surabaya, hasil penelitian mendapati bahawa simbol tersebut adalah satu bentuk solidariti, persahabatan, kebersamaan, simbol untuk bersosialisasi, kebebasan dan simbol mengekspresikan diri seperti keseronokan serta teruja bahkan meluapkan rasa marah.

Simbol jari muzik rock metal juga ada makna lain, misalnya Anton LaVey pengasas gereja syaitan sekitar tahun 1980-an menggunakan isyarat jari tersebut sebagai tanda penghormatan atas kehebatan syaitan.

Pun begitu, simbol jari muzik metal dalam bahasa isyarat bagi orang bisu boleh diertikan sebagai ‘I Love You’. Manakala di Afrika Selatan simbol tersebut dikenali sebagai salam tiga jari yang membawa maksud kemakmuran kerana simbol itu mewakili haiwan ternakan. Bagi masyarakat Afrika Selatan semakin banyak haiwan ternakan makin makmur kehidupan seseorang itu.

Steepling hands

Isyarat tangan ini paling popular di kalangan pemimpin negara apabila bergambar. Ada juga yang mengaitkan isyarat jari tersebut dengan simbol Gerakan Freemason. Namun apabila diteliti pendapat pakar bahasa tubuh tidak ada langsung yang menyebutnya sebagai simbol Gerakan Freemason.

Menurut pakar bahasa tubuh, gaya tangan seperti itu menunjukkan keyakinan diri yang tinggi. Ia biasanya digunakan dalam interaksi, menyampaikan arahan dan nasihat dari pihak atasan atau pemimpin tertinggi kepada kakitangan di sekelilingnya. Setakat ini tidak ada pun disebutkan bahawa simbol itu dikaitkan dengan fahaman mana-mana agama.

Jika begitu, maksud simbol yang dipamerkan dalam media sosial maka bolehkah umat Islam mengikutnya? Hendak jawap boleh atau tidak, perlu dilihat dahulu hantaran jawapan yang dikeluarkan oleh pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (www.muftiwp.gov.my).

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, isyarat tangan dengan simbol tertentu perlu dilihat dalam beberapa aspek dan tujuannya. Dari sudut psikologi, ia merupakan bahasa tubuh spontan yang dilakukan oleh seseorang untuk mencerminkan keyakinan dalam suatu situasi. Namun begitu, sekiranya sesuatu perbuatan itu terkait dengan unsur-unsur agama lain secara jelas dan bertujuan untuk mengangkat unsur agama tersebut, maka ia adalah diharamkan.

Sarannya, umat Islam sepatutnya tidak mudah terjebak atau terikut-ikut dengan sebarang perkara yang tular di media sosial. Sekiranya didapati perkara tersebut terkait dengan unsur-unsur dan simbol agama lain serta perbuatan tersebut bertujuan untuk mengangkat syiar agama tersebut, maka agama Islam tidak membenarkannya.

Hal ini telah dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabdanya, bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dalam kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud).

Hadis tersebut telah dihuraikan dengan pendapat ulama dalam satu artikel yang lain (www.muftiwp.gov.my), bahawa Rasulullah SAW melarang orang Islam menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka.

Sheikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami. Kata mereka: “Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah berpakaian dengan pakaian mereka, juga menyerupai cara mereka serta menyerupai perlakuan dan perbuatan mereka.”

Manakala, Al-Imam al-San’ani pula menyebut, “Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir atau pembuat bidaah maka dia adalah dari kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.”

Dijelaskan juga di dalam artikel tersebut mengapa Islam melarang menyerupai orang fasiq? Islam merupakan agama yang amat mementingkan identiti. Sedangkan manusia amat menitikberatkan identiti bangsa yang dianuti dan negara yang diduduki, apatah lagi Allah SWT, Tuhan yang menurunkan agama ini. Oleh itu, sebagai hamba-Nya yang taat, kita perlu berhati-hati dalam memastikan identiti Islam sentiasa terpelihara daripada penyerupaan dengan agama lain.

Lebih membimbangkan apabila Baginda SAW mengatakan bahawa pada akhir zaman kelak, akan ada di kalangan umatnya yang terikut-ikut dengan gaya golongan Yahudi dan Nasrani. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Kamu akan mengikut jejak langkah cara hidup golongan sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak Dhob pun, kamu akan mengikuti mereka.” Kami bertanya, “Wahai Rasulullah. Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Jawab Nabi, “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Riwayat al-Bukhari)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan, Ibnu Batthal berkata: Rasulullah SAW memberitahu bahawa umatnya akan mengikuti perkara-perkara baru daripada hal-hal bid’ah dan yang mengikut hawa nafsu sebagaimana yang berlaku kepada umat sebelum mereka. Baginda SAW telah memberi amaran dalam banyak hadis tentang keadaan akhir zaman yang buruk. Kiamat tidak akan berlaku kecuali kepada manusia-manusia yang buruk. Ketika itu agama hanya dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja.

Berbalik pada isu isyarat tangan, dalam dunia yang serba canggih diakui amat sukar untuk menghindar pelbagai informasi yang lalu di hadapan mata. Walaupun kita tidak mahu tahu atau lihat tetapi ia tetap muncul tanpa diundang. Dalam hal tersebut, apa yang boleh dilakukan adalah sentiasa bertabayyun atau meneliti terlebih dahulu berkenaan sesuatu perkara, yakin dan tidak menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 36, bermaksud; “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Imam al-Tabari menukilkan riwayat Ibn Abbas dalam menjelaskan maksud ayat “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya” ialah merujuk kepada larangan supaya tidak menghukum atau menuduh sesuatu perkara yang tidak mempunyai ilmu tentangnya.

Perkara paling penting adalah bijak dalam mengambil tindakkan agar setiap perkara yang disampaikan itu mengikut pertimbangan dan neraca pengetahuan yang ada. Begitu juga bagi yang melihat dan mendengar, perlu ada ilmu agar tidak memberi respon terhadap sesuatu isu yang tular secara melulu. Tanpa sedar terus menjatuhkan hukum yang tidak bersandarkan dalil dan ilmu pengetahuan.

BERSAMBUNG
*Ikuti sambungan pada artikel akan datang dalam membicarakan isyarat jari yang menggantungkan nasib untung dan rugi.

Previous articleUngu di Pesta Muzik Kuantan
Next articleSimptom Anoreksia Nervosa (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here