Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA

MENYANTUNI watak Rose, cikgu sekolah khas di ‘Kampung Pinang Sebatang’ yang mengajar warga tua membaca dan menulis benar-benar memberi kesan pada kerjayanya sebagai pelakon dan kemudian bergelar seniwati bermula pada tahun 1959.

Betapa tidak filem “Pendekar Bujang Lapok”terbitan Malay Film Productions yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu bukan sahaja telah memperkenalkan beliau dalam bidang lakonan. Sebaliknya filem itu telah melahirkan ‘sebutir’ bintang yang terus menyinar dan bergemerlapan sebelum beliau mengambil keputusan meletakkan noktah pada kerjaya seninya pada tahun 1968!

ROSEYATIMAH bersama P. Ramlee dalam satu babak filem “Pendekar Bujang Lapok.”
POSTER “Pendekar Bujang Lapok” filem pertama lakonan Roseyatimah dengan P. Ramlee.
Turut berlakon dalam filem ini ialah Allahyarham Datuk Aziz Sattar dan Allahyarham S. Shamsuddin.

Itulah Allahyarham Seniwati Datin Roseyatimah yang dilahirkan di Singapura pada 17 November 1943. Beliau adalah anak tunggal kepada pasangan suami isteri, Allahyarham Biduan Jasni Ahmad dan Allahyarham Seniwati air mata, Neng Yatimah.

Mungkin ramai yang beranggapan Roseyatimah memulakan kerjaya seninya setelah lulus dalam ujibakat yang dijalankan oleh P.Ramlee. Tetapi sebenarnya ada insiden lain yang membawa Roseyatimah ditemukan sebelum ujibakat untuk filem berkenaan.

DALAM kenangan…Roseyatimah bergambar bersama ayah dan ibunya, Allahyarham Biduan Jasni Ahmad dan Allahyarham Seniwati Neng Yatimah.

Khabarnya ia bermula apabila P. Ramlee terpandangkan wajah Roseyatimah dan rakan-rakannya dalam kalangan orang ramai yang menyaksikan penggambaran filem arahannya “Sumpah Orang Minyak”(1958).

Hakikatnya, P. Ramlee yang secara kebetulan ketika itu sedang mencari pelakon muda untuk filem komedi “Pendekar Bujang Lapok” yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

TIGA ‘bintang’ Cathay-Keris Film.
Berdiri dari: Allahyarham Seniwati Roseyatimah, Allahyarham Seniwati Fatimah Ahmad dan Seniwati Rahmah Ali.
EMPAT seniwati yang sering menghiasi filem-filem terbitan Cathay-Keris Film. Berdiri dari kanan: Rahmah Ali, Allahyarham Seniwati Datin Umi Kalthum, Allahyarham Seniwati Latifah Omar dan Roseyatimah.

Setelah ‘merisik khabar’ dan mengetahui ‘siapakah gerangan gadis’ yang telah mencuri pandangannya, P. Ramlee pergi berjumpa dengan Neng Yatimah dan Jasni untuk meminta kebenaran.

Mengenali dan menghormati P.Ramlee, akhirnya hasrat beliau menjadi kenyataan. Namun sebelum itu, Roseyatimah harus menjalani sesi ujibakat yang dikendalikan P.Ramlee dan Allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar sebagai salah seorang penilai bakat.

SENIWATI popular dan berbakat yang sering membintangi filem Melayu pada era 1950-an sehingga 1960-an.
Duduk dari kiri: Seniwati Datin Noor Azizah, Seniwati Datuk Dr. Sarimah Ahmad dan Roseyatimah.
Berdiri dari kanan: Seniwati Normah Zainal dan kakaknya, Hamidah Zainal dan Intan Mahmud.

Akhirnya beliau lulus dalam ujibakat tersebut dan sejak itu bermulalah perjalanan seni Rosnah Jasni yang kemudiannya dikenali sebagai Roseyatimah. Nama itu adalah ilham P.Ramlee yang menggabungkan nama ‘Rose’ dan ibunya ‘Yatimah.’ Bagi P. Ramlee nama ‘Roseyatimah’ lebih glamour.

Walaupun Roseyatimah mula berlakon dalam filem “Antara Senyum dan Tangis” sebagai pelakon kanak-kanan ketika berusia sembilan tahun pada 1952 tetapi “Pendekar Bujang Lapok” telah ‘melahirkan’ beliau sebagai ‘bintang’ pada usia 14 tahun yang masih belajar di menengah dua Sekolah St. Thomas.

Dengan nama ‘Roseyatimah’ beliau terus melangkah sebagai satu diantara ‘bintang-bintang’ yang menyerlah dan bergemerlapan dalam filem Melayu pada era akhir 1950-an sehingga akhir 1960-an tanpa menoleh ke belakang.

GAYA seorang seniwati berbakat dan cantik jelita…Roseyatimah.
SENIWATI Neng Yatimah dan anak kesayangannya, Roseyatimah.

Siapa sangka budak perempuan berusia sembilan tahun yang berlakon sebagai kanak-kanak dalam filem “Antara Senyum dan Tangisan” akhirnya mencipta nama dan kejayaan setelah diberi watak sebagai Cikgu Rose.

Walaupun memulakan kerjaya sebagai ‘orang filem’ di Malay Film Productions tetapi selepas kejayaan filem itu, Roseyatimah terus melangkah tanpa menoleh ke belakang sebagai seorang diantara seniwati-seniwati hebat dan dikagumi di Cathay-Keris Film.

Roseyatimah dikenali bukan sahaja kerana bakatnya malah kecantikan wajahnya menjadi daya tarikan para pengarah mengundangnya berlakon.

Bakat dan kecantikan asli miliknya membuatkan Roseyatimah sering dipilih menjadi penghias muka depan majalah hiburan antaranya, Berita Filem.
ROSEYATIMAH sekali lagi dipilih sebagai penghias muka depan Majalah Berita Filem.

Sepanjang kariernya sebagai ‘orang filem’ Roseyatimah telah berlakon lebih daripada 20 filem. Bagaimanapun bermula pada tahun 1960, Roseyatimah membintangi 18 filem bersama Cathay-Keris Film antaranya filem “Tunang Pak Dukun,” ( watak/Tijah) dan “Pak Pandir Moden”(Busu) dan 1961 dengan filem “Sri Mersing”(Siti Payung), “Jalak Lenteng”(Kemuning) dan “Lancang Kuning”(Teratai).

Dua daripada filem tersebut dilakonkan bersama Allahyarham Datuk Mustapha Maarof iaitu “Sri Mersing” dan “Udang Di Sebalik Batu”(1966).

Sementara pada tahun 1962, beliau membintangi filem “Badang” (Tengku Manis), “Tun Fatimah” (Lela Sari)“Gurindam Jiwa”(1965) dengan filem terakhirnya “Udang di Sebalik Batu” (1966).

ROSEYATIMAH menjadi penghias muka depan Majalah Berita Filem.
POPULARITI Roseyatimah membuatkan beliau sering menjadi pilihan Majalah Berita Filem.
SENYUMAN manis ‘hadiah’ Roseyatimah buat para pembaca setia majalah Fashion

Selain membintangi filem terbitan MFP dan Cathay-Keris, bakat, kejelitaan dan popularitinya telah membawa Roseyatimah berlakon dalam filem Jepun “Under The Stars of Singapore” (1967).

Filem arahan Hirokazu Ichimura terbitan bersama Shochiko Films dan Cathay-Keris Film ini selain penampilan khas Roseyatimah sebagai ‘Kak Siti’ ia turut menampilkan Allahyarham Seniwati Siput Sarawak dan pelakon kanak-kanak, Rahman Rahim (adik penyanyi Rahimah Rahim).

Selain pelakon dari Cathay-Keris, filem ini turut dibintangi pelakon dan penyanyi hebat seperti Yukio Hashi, Kenji Sugaharq, Kaoru Yumi dan Yuki Arikawa.

Penggambaran selama dua minggu di Singapura mengabadikan sekitar kawasan perkuburan Kristian di Singapura, Masjid Sultan Abu Bakar dan Taman Istana Johor Baharu.

ROSEYATIMAH bergaya dengan kebaya pendek pilihannya.
KEAYUAN Roseyatimah terserlah dengan selendang dan berkebaya.

Selain Neng Yatimah, turut membimbing Roseyatimah dalam bidang lakonan adalah seniman hebat Cathay-Keris iaitu Allahyarham Nordin Ahmad yang berlakon dalam filem antaranya pada tahun 1961 filem “Sri Mersing” dan dua filem pada tahun 1963 iaitu”Lanchang Kuning” dan “Chuchu Datok Merah.”

Filem “Sri Mersing” arahan Allahyarham Salleh Ghani pertama kali menemukan Roseyatimah dengan Allahyarham Datuk Mustapha Maarof. Sementara filem “Udang Di Sebalik Batu” (1967) arahan Allahyarham Hussein Haniff adalah filem terakhir mereka berlakon sama sebelum disatukan sebagai suami isteri pada tahun 1967. Majlis perkahwinan mereka telah dilangsungkan di rumah ayah dan ibu Roseyatimah di Jalan Senyum, Changi Road, Singapura.

ROSEYATIMAH memang pandai bergaya.

Roseyatimah dan Mustapha Maarof saling mengenali ketika sama-sama belajar seni-silat dengan guru silat, Pak Awang di Boon Teck Road, Singapura. Pak Awang merupakan sahabat baik, Pak Jasni, ayah Roseyatimah.

Bermula dari itulah Mustapha Maarof mengenali Roseyatimah yang akhirnya mereka berhijrah ke Cathay-Keris.

Kehidupan pasangan bahagia ini diserikan dengan kehadiran tiga cahayamata iaitu Azlynna, Mohamed Khairudden dan Mohamad Rezainuddeen. Namun Khairudden meninggal dunia pada usia empat tahun kerana demam denggi.

ROSEYATIMAH kelihatan cantik bergaya dengan fesyen kebaya.
ROSEYATIMAH…kelihatan bergaya dengan persalinan bagaikan seorang srikandi dalam sebuah filem.

Bagaimanapun kebahagiaan pasangan ini ‘terhenti’ apabila Roseyatimah menghembuskan nafas terakhir pada usia 44 tahun kerana barah payudara pada 14 Disember 1987.

Adalah difahamkan setelah 10 hari menjalani radioterapi di hospital, Roseyatimah minta kebenaran daripada pihak hospital supaya menbawa beliau pulang ke rumahnya.

DI HARI persandingan Roseyatimah dan Seniman Mustafa Maarof pada tahun 1967z
Turut hadir Allahyarham Seniwati Datin Umi Kalthum dan pengarah terkenal, Allahyarham Zain Mahmud.
CINTA sejati…Mustapha Maarof hidup sendirian selepas ‘pemergian’ isteri tersayang, Roseyatimah.

Beliau dibawa pulang ke rumah bersama seorang jururawat dan tangki oksigen. Selepas tiga hari di rumah, Roseyatimah meninggal dunia selang tujuh bulan ayahnya meninggal.

Selepas ‘pemergian,’ Roseyatimah, Mustapha Maarof hidup bersama anak-anak sehinggalah beliau meninggal dunia kerana kanser paru-paru pada 15 Disember 2014 iaitu 27 tahun 1 hari selepas ‘pemergian’ isteri tercinta.

DALAM kenangan…Allahyarham Seniwati Suraya Haron (bekas isteri pertama Allahyarham Mustapha Maarof) bersama Roseyatimah.

Memulakan kerjaya seninya dengan filem arahan P. Ramlee, Roseyatimah yang terkenal dengan watak ikonik ‘Cikgu Rose’ mengakhiri kariernya sebagai seniwati pujaan ramai dengan filem “Anak Bapak”(1968) iaitu selepas berkahwin dengan Mustapha Maarof.

Sejak itu, Roseyatimah lebih senang menjalani kehidupannya sebagai isteri dan ibu kepada tiga orang anak.

ROSEYATIMAH…nampak anggun dan bergaya.
ROSEYATIMAH mula berlakon dengan filem arahan P. Ramlee dan mengakhiri kariernya sebagai ‘orang filem’ dengan “Anak Bapak” (1965) arahan pengarah yang sama.

Bagaimanapun pada tahun 1974, Roseyatimah membuat kemunculan istimewa di kaca TV apabila berlakon dua drama terbitan RTM iaitu “Pulang Senja” dan “Anak Seluang Jauh Melaut.”

Sepanjang bergelar anak seni, Roseyatimah telah dianugerahkan sebagai Aktress Terbaik kerana lakonannya sebagai Salmah dalam filem “Jiran Sekampong”(1965) pada Festival Filem Malaya 1965.

PASANGAN bahagaia.
CINTA hingga akhir hayat dua legenda.

Pada Ogos 1964, beberapa wakil dari Persatuan Pengeluar Filem Amerika yang membuat lawatan rasmi ke Studio Cathay-Keris telah menyampaikan anugerah yang dikenali ‘The Goldeb Statue of Grace’ bersandarkan beberapa faktor antaranya bakat lakonan dan wajahnya yang jelita. Roseyatimah merupakan seniwati pertama dalam sejarah filem Melayu yang menerima anugerah tersebut.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin

SYED Wafa (penulis) bersama Seniwati Neng Yatimah menziarahi pusara anaknya, Allahyarham Roseyatimah.
PUSARA Allahyarham Roseyatimah dan Allahyarham Mustapha Ma’arof bersebelah di Tanah Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur.
Previous articlePes Asam Pedas Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Asam Pedas Johor!
Next articleSelamat Tahun Baru 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here