'Padam Dan Pergi' merupakan karya Imran Ajmain bersama Ahmadul Amin.

Oleh Wawa Najwa

Agak lama juga penyanyi Imran Ajmain yang popular dengan lagu ‘Seribu Tahun’ tidak tampil dengan single baharu. Imran beruntung kerana lagu yang dimuat dalam album sulungnya, ‘Dengan Secara Kebetulan’ pada 2007 masih ‘berhantu’ sehingga kini.

Sejak lagunya yang terakhir, ‘Intan Dan Perak’ pada tahun 2017, Imran kini bersiap untuk menambat hati para pendengar sekali lagi dengan usaha muzik terbaharunya ini.

Imran atau Ahmad Imranullah Ahmad Husaini Ajmain, 42, kini kembali dengan single terbaharunya, ‘Padam Dan Pergi’ karya ciptaannya bersama Ahmadul Amin.

Sebelum ini popular dengan lagu Seribu Tahun.

Kali ini karya yang dihasilkan berbeza daripada lagu-lagu lamanya kerana ia lebih kepada bunyi fast-tempo pop rock yang dipacu oleh gitar elektrik.

Lagu ini merungkai hubungan kompleks yang tidak kena haluan, dengan lirik ringkas yang menyentuh, menggambarkan Imran sebagai seorang kekasih yang rentan mencari babak baharu dalam hidupnya.

Pendengar diajak bersama dalam perjalanan mengenal pahit manis cinta, menghapuskan masa lalu dan merangkul janji masa depan yang lebih cerah. Gitar elektrik mengambil peranan utama, menambah dimensi segar kepada repertoire muzikal Imran.

“Single ini adalah pemisahan daripada gaya biasa saya. Lagu ini mencerminkan perkembangan peribadi dan muzikal bagi saya, meneroka stail baharu dalam bunyi dan penceritaan.

“Saya terdetik nak lancar lagu ini setelah setahun memanggung di acara-acara indie di mana penontonnya semua hafal dan nyanyikan apa jua lagu yang dipersembahkan atas pentas bersama-sama penyanyinya. Ini untuk mereka semua,” katanya.

Imran Ajmain muncul dengan single ‘Padam Dan Pergi’.

Penerbitan single ini diselaraskan secara strategik dengan konsert mini ‘Malam Seribu Tahun’ yang akan datang di Singapura pada 12 Januari 2024. Konsert tersebut juga akan menemui para penggemar di Kuala Lumpur.

Konsert ‘Malam Seribu Tahun’ adalah pertunjukan pertama dalam siri persembahan artis dan band Malaysia, Singapura, Indonesia yang dipanggil ‘Satu Malam di Singapura’.

Imran akan mempersembahkan lagu baharu ini sebagai sorotan malam konsert, menawarkan penggemar pengalaman secara langsung bunyi baharu ini yang melambangkan pemisahan daripada balada lembut mendayu-dayu yang sinonim dengan jenamanya.

Konsert tersebut dianjurkan oleh Elmi Elmo dan Hashtag Media (Malaysia) bekerjasama dengan Gumbira dan A’Art (Singapura) di Victoria Theatre, Singapura.

Previous articleKonsert Sifu Dan Aku, gandingan M Nasir & Hattan
Next articleIPIN anjur program kemasyarakatan, rawatan percuma sakit sendi dan lutut

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here