Oleh Nafsiah Jani
Dua lagenda muzik nusantara, Datuk M. Nasir dan Datuk Hattan, bakal berkongsi pentas sekaligus menggegarkan Sabah pada Konsert Sifu Dan Aku di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 3 Februari 2024.
Konsert ini adalah gabungan pertama yang menampilkan `guru’ dan `murid’ yang sudah berjaya dalam bidang seni suara selama lebih 38 tahun. M Nasir, yang dikenali sebagai Sifu, adalah seorang penyanyi, pencipta lagu dan penerbit yang sudah menghasilkan banyak karya hingga menjadi ikonik dalam dunia muzik Nusantara.
Manakala, Hattan, yang dikenali sebagai muridnya, adalah seorang penyanyi yang juga banyak merakamkan lagu-lagu yang menjadi kegemaran ramai hingga kini.
M. Nasir berkata, Konsert Sifu Dan Aku ini sebagai satu cabaran baginya untuk bergandingan dengan Hattan.
“Saya anggap persembahan ini satu cabaran memandangkan hubungan saya dan Hattan yang sudah terjalin sekian lama. Bakatnya menyerlah selepas menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya dan kiranya menjadi `anak buah’ saya dalam dunia penerbitan album.
“Selepas sekian lama bekerjasama dengan Hattan, kali ini kami akan beraksi di atas satu pentas sebuah konsert untuk para peminat di Sabah. Pada konsert tersebut, peminat akan melihat kombinasi antara kami berdua,” katanya yang tidak sabar untuk beraksi di Sabah.
Sementara itu, Hattan pula berkata, konsert itu nanti adalah cerita perjalanan hidupnya sejak mula bertapak dalam industri muzik tanahair.
“Ceritanya daripada mula saya berguru dengan M.Nasir, belajar terbitkan lagu dan menyanyi. Kiranya, konsert ini adalah klimaks perguruan saya bersama beliau. Saya rasa bertuah kerana dapat bergandingan dengan beliau yang banyak membantu karier seni saya. Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu memori yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
“Rugi kalau tidak datang kerana konsert tersebut merupakan kisah perjalanan seni saya bersama M. Nasir. Bagaimana saya mengenali beliau hingga saat ini,” katanya.
Kedua-dua seniman ini akan menyajikan persembahan yang menyentuh jiwa dan meruntun hati dengan lagu-lagu hits yang mempunyai sejarah dan makna tersendiri.
Konsert Sifu Dan Aku adalah sebuah konsert yang unik dan istimewa kerana ia bukan sahaja menampilkan dua seniman yang berbakat tetapi juga menunjukkan hubungan yang erat dan harmonis antara seorang guru dan seorang murid yang saling menghormati dan menghargai.
Konsert anjuran Ochee Purnama Sdn. Bhd. dan HS Shazlicious Trading turut mendapat kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group. Sementara itu, Era Sabah pula merupakan radio rasmi konsert tersebut.
Tiket konsert boleh didapati di https://ilassotickets.com/event/konsert-sifu-aku/ pada harga RM988 (VIP- tempat duduk bernombor). Manakala tempat duduk bebas pula berharga RM488 , RM388, RM288 dan RM188.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.