Oleh : Nafsiah Jani

Walaupun Allahyarham Achik vokalis kumpulan Spin telah lama meninggal dunia, namun lagu-lagu kumpulannya yang malar segar tetap menjadi pilihan untuk dijadikan lagu cover version.

Sempena mengenang zaman kegemilangan Kumpulan Spin dan Arwah Achik Spin, syarikat rakaman FMC telah memilih Afieq Shazwan dan Tajul bagi menjayakan projek lagu- lagu Tribute Istimewa Kumpulan Spin. Terbaru, Tajul dan Afieq terlibat dalam pembikinan single lagu ke 5 duet (cover) berjudul Insan Ku Sayang Kini Menghilang.

“Kalau nak ikutkan vokal memang saya akui vokal Allahyarham abang saya memang hebat. Saya sendiri kagum dengan vokal dan cara nyanyiannya. Tapi sebagai adik beliau, saya cuba sampaikan lagu – lagu ini mengikut cara dan kesesuaian vokal saya. Alhamdulillah ramai yang suka dan lagu ini mendapat sambutan tontonan di Youtube,” kata Tajul lagi.

Insan Ku Sayang Kini Menghilang merupakan lagu tribute gandingan Tajul berduet bersama Afieq. Manakala sebuah lagi lagu tribute, Mengusung Rindu dirakamkan Tajul, Haqiem Rusli, Zack Zakwan dan Afieq Shazwan.

(dari kiri) Afieq Shazwan dan Tajul bersama anggota asal kumpulan Spin dalam muzik video, Insan Ku Sayang Kini Menghilang.

Bagi Afieq Shazwan pula yang telah merakamkan tujuh buah lagu cover termasuk lima buah lagu tribute buat Achik Spin berkata,“Afieq bersyukur kerana turut terlbat dalam projek Istimewa ini. Bagi Afieq, Arwah Achik dan kumpulan Spin ni ibarat jaguh lagu lagu di zaman kegemilangan mereka. Keluar saja lagu baru terus meletup di radio. Sekarang Afieq pula berpeluang menyanyikan lagu mereka dan ini adalah satu penghormatan buat diri Afieq walaupun lagu ini dinyanyikan dalam versi duet.

“Kalau tak ada halangan, Afieq juga ada rancangan nak berduet dengan Baby Shima dalam lagu Resipi Berkasih. Baby Shima jadi pilihan kerana Afieq inginkan sebuah kelainan dan rakan duet baru. Tambahan pula Afieq dengan Baby Shima memang dah saling kenal sebelum program Astro Big Stage lagi. Apa pun Afieq anggap mungkin belum masanya dan tunggu untuk single seterusnya InsyaAllah.”

Istimewa buat peminat Kumpulan Spin, FMC Music turut menampilkan anggota Kumpulan Spin yang terdiri daripada Ayie, Tal dan Raymie di dalam muzik video terbaru ini. Semoga ianya dapat mengubati rindu peminat pada Kumpulan Spin.

Muzik Video dan lagu duet – Insan Ku Sayang Kini Menghilang kini sudah boleh ditonton di saluran Youtube FMC Music dan didengar disemua saluran muzik – radio dan digital sejak dilancarkan akhir November lalu.

 

Previous articleSasaran RM1 juta buat Palestin, artis bergabung dalam satu konsert
Next articleKhasiat barli untuk kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here