(Dari kiri) Puan Zubaidah, (Ketua Pengarah Istana Budaya), Tuan Nadir Al-Nuri (CEO CInta Gaza Malaysia), Dr. Fitri Haris (Pensyarah Kanan UUM dan Pengarah Konsert)

Oleh: Nafsiah Jani

Sebuah konsert berskala besar bagi mengumpul dana buat saudara seislam di Palestin akan diadakan di pentas berprestij Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 Januari 2024.

Konsert Mega Zikir Terapi 4 Palestine: Harmony for Humanity – LIVE @ ISTANA BUDAYA merupakan konsert berkonsepkan crowdfunding anjuran Persatuan Cinta Gaza Malaysia yang dipelopori Tuan Nadir Al-Nuri. Dana ini diperlukan untuk membina semula kawasan di Genting Gaza bersama Niyat Group yang berpengalaman besar dalam penganjuran konsert-konsert Islamik seperti di Malaysia, Morocco, Mesir dan United Kingdom.

Barisan artis yang akan menjayakan Konsert Mega Zikir Terapi 4 Palestine: Harmony for Humanity di Istana Budaya 5 Januari depan.

Perunding dan juga pengarah konsert, Dr. Fitri Haris berkata, penganjuran konsert ini adalah untuk menangkis stigma masyarakat bahawa semua konsert membawa konotasi yang negatif.

“Sebut sahaja konsert, orang selalu kaitkan dengan perkara-perkara yang tidak baik sedangkan jika dilakukan dengan cara yang betul, banyak manfaat yang boleh kita nikmati. Inilah peluang dan masa untuk masyarakat Malaysia datang beramai-ramai membeli tiket, menghayati pengisian rohani sambil menderma sebagai tanda solidariti untuk saudara-saudara kita di Palestin.

“Sebanyak 15 trek lagu yang mengandungi 7 buah alunan zikir dan 8 lagu akan dipersembahkan pada malam konsert. Persembahan pada malam itu diketuai kumpulan nasyid yang terkenal dan tular dengan Doa Qunut Nazilah iaitu Kumpulan Nasyid UNIC,” jelas Fitri lagi.

Dr. Fitri Haris (empat dari kanan) bersama para penaja n NGO yang terlibat dalam menjayakan konsert.

Menurut Fitri lagi, kami sasarkan kutipan sebanyak RM1 juta ringgit bagi pembangunan dan tabung kecemasan Palestin di Gaza.

“Semua hasil daripada penjualan tiket konsert akan disalurkan sepenuhnya ke Tabung Cinta Gaza Malaysia. Selain itu, kami juga mengalu-alukan penaja utama dan penaja bersama bagi menjayakan konsert kemanusiaan ini.”

Barisan artis tanahair yang akan menjayakan konsert tersebut dibawakan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat rakaman masing-masing secara percuma. Antara mereka yang terlibat adalah Pertubuhan Peduli Insan Malaysia yang membawakan artis-artis seperti UNIC, Inteam dan Ustazah Farhatul Fairuzah. Manakala Syria Care pula menampilkan Furqan Fawwaz dan ramai lagi.

Sebelum konsert berlangsung pada waktu malam, pelbagai aktiviti telah diatur di Istana Budaya bermula dari jam 10 pagi. Orang ramai dijemput menyaksikan aktiviti dan pengisian yang disediakan seperti pameran, pertandingan, reruai jualan dan sebagainya. Konsert ini dijangka menerima kehadiran tetamu-tetamu elit, usahawan dan ahli-ahli kenamaan.

Jangan lepaskan peluang untuk menghadiri Mega Zikir Terapi 4 Palestine: Harmony for Humanity yang bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya. Jualan tiket bermula awal disember 2023 dan boleh dibeli menerusi laman web MyTicket.Asia.

Previous articleShiha Zikir sebak ‘Kalam’ masuk AJL38
Next articleTajul dan Afieq nyanyikan semula Insan Ku Sayang Kini Menghilang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here