Siti sentiasa doakan anak-anak sekolah hafal al-Quran, Afwa & Aafiyah di Gaza dilindungi Allah...Amin.

Oleh Syed Wafa

SIKAP prihatin dan mulia penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Sri Siti Nurhaliza tidak perlu dipertikaikan. Terlalu banyak kerja amal dan kemanusiaan yang telah beliau lakukan dalam membantu insan yang tidak bernasib baik.

Baru-baru ini, Siti telah melancarkan Kempen Tabung Sedekah Subuh yang dianjurkan oleh Pertubuhan Yayasan Nurjiwa yang dikendalikan oleh beliau bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Menurut Siti, kempen tersebut dijalankan untuk menggalakkan orang ramai bersedekah dan menderma demi membantu orang yang memerlukan dan mengalami musibah bencana.

“Syukur alhamdulillah… perjalanan Yayasan Nurjiwa dari awal sampai kini dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan.

“Sebelum ini, kita sudah melancarkan kutipan untuk Yayasan Nurjiwa melalui ‘fund,’ konsert-konsert serta kerja amal yang kami lakukan dan Alhamdulillah, dengan ada pertubuhan ini kami telah banyak telah membantu untuk meringankan bebanan kepada mereka yang terkesan dengan pelbagai musibah.

“Dalam keadaan sekarang, sumbangan untuk Palestin jadi keutamaan kami kerana kini jelas kita lihat saudara kita di sana ditindas oleh rejim Israel yang sungguh kejam.

“Dalam masa sama, kita tetap salurkan bantuan kepada pelajar B40 setiap hari sejak tiga bulan lalu bagi meringankan bebanan mereka.

“Jadi, kempen tabung ini dilancarkan untuk menggalakan orang bersedekah dan membantu orang yang memerlukan. Sekiranya tabung itu dah penuh nak pulangkan pada kami pun boleh, nak bagi pada orang yang tidak berkemampuan ipun boleh,” katanya Siti bersungguh-sungguh.

Siti juga amat bersyukur ramai yang memberi sekongan di Majlis Ukhwah dan Apresiasi Yayasan Nurjiwa serta Pelancaran Tabung Sedekah Subuh di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, majlis pelancaran kempen jihad dan antaranya kempen tabung sedekah subuh Yayasan Nurjiwa telah berlangsung dan 1,000 tabung fasa pertama telah diedarkan.

“Menerusi tabung ini yang telah kami edarkan kepada para tetamu yang hadir serta pihak masjid, surau dan individu, sumbangan tidak fokus hanya kepada tabung Yayasan Nurjiwa.

“Namun anda boleh menyalurkan kepada mana-mana pihak yang diinginkan seperti masjid, asnaf, anak yatim dan sebagainya,” kata Siti lagi.

Orang ramai boleh mengembalikan sumbangan tersebut ke akaun Yayasan Nurjiwa, Maybank 514486106455.

Malah, tabung ini akan ditambah lagi jumlah edarannya dan anda boleh berhubung dengan cara emel ke Yayasan Nurjiwa [email protected] untuk mendapatkan tabung ini.

Antara selebriti terkenal yang hadir memberi sokongan kepada Siti.

Bercerita nasib yang menimpa sekolah hafal al-Quran, Afwa Dan Aafiyah di Gasa, Siti terus sebak.

“Hari-hari Siti risau dan akan mengikuti perkembangan berita mengenai perkembangan yang berlaku di bumi Gaza.

“Kini air mata Siti menjadi teman bila memikirkan kanak-kanak di sana dan syukur buat masa ini sekolah yang menempatkan lebih 50 orang pelajar masih selamat.

“Hari-hari Siti berdoa agar anak-anak di sekolah ini dilindungi Allah dan bumi Palestin diberi kebebasan,” kata Siti sebak.

Previous articleMariani, seniwati paling sejati
Next articlePeminat tak sabar tunggu kehebatan ‘ZIANA ZAIN KONSERT 2024’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here