WATAK perempuan jahat dan penggoda sering diberikan kepada Mariani.

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA/Ehsan Nazran HM Rohaizad Naz.

WATAK jahat, hitam atau antogonis sama sahaja dan yang pasti ia memang tidak boleh dipisahkan daripada seniwati yang seorang ini. Sebabnya, pertama kali melangkah kaki ke dunia filem, watak itulah yang diberikan kepadanya dan hakikatnya beliau berjaya melakonkannya dengan berkesan!

Betapa tidak sebagai Mariana dalam “Chemburu” filem pertama lakonannya arahan S. Ramanthan terbitan tahun 1953, beliau bukan sahaja telah menambahkan seorang lagi seniwati yang dibenci para peminat filem Melayu kerana ‘kejahatannya’ selain Allahyarham Siput Sarawak, Allahyarham Normadiah dan Allahyarham Datin Umi Kalthum, malah filem tersebut juga dikatakan telah mencetuskan kontroversi kerana ada babak panas.

KEJELITAAN yang dimilikki tidak hairanlah apabila Mariani dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Singapura pada tahun 1951.
GAYA seorang ratu cantik.

Itulah Allahyarham Seniwati Mariani atau nama sebenarnya Mariam Ismail dan kakak kepada Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma. Mariani yang dilahirkan di Tanjong Pagar, Singapura pada 20 April 1933, adalah anak kepada pasangan suami isteri, Ismail Osman dan Umi Kalsom Mahbon. Selain Saloma, beliau mempunyai dua orang adik sebapa iaitu Allahyarham Mimi Loma atau nama sebenarnya, Aminah dan Jasmaniah.

Sebelum menjadi pelakon, pada usia 17 tahun, Mariani telah dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Singapura pada tahun 1951. Beliau adalah gadis pertama yang memenangi gelaran itu dan disebabkan pertandingan tersebut julung kali diadakan, Mariani tidak mewakili Singapura dalam mana-mana pertandingan yang diadakan di luar Singapura.

MARIANI sebagai wanita penggoda dalam filem lakonannya.
MARIANI…seniwati yang menjadi pujaan ketika itu.

Meskipun tidak berjaya ‘melebarkan sayapnya’ sebagai Ratu Cantik, namun dengan gelaran itu, ia telah membuka ruang buat Mariani yang merupakan antara gadis tercantik di Singapura untuk menjadi pelakon dan bergelar Seniwati apabila Sir Run Run Shaw pemilik Malay Film Production (MFP) menawarkannya berlakon.

Sayangnya tawaran itu ditolak mentah-mentah oleh Mariani kerana cita-citanya mahu menjadi doktor. Sebenarnya sejak kecil beliau sering bermain ‘doktor-doktor’ dengan adiknya, Saloma. Malah Mariani dikatakan telah mendaftar untuk belajar di Raffles Girls School. Tetapi cita-cita dan impiannya terpaksa dilupakan apabila Jepun menjajah Singapura pada tahun 1942.

MARIANI dan Ahmad Mahmud dalam satu babak filem “Dupa Cendana.
MARIANI dan Ahmad Mahmud sebagai pasangan kekasih dalam filem “Dupa Cendana.

Bagaimanapun setelah dua tahun tawaran itu datang lagi dan dengan pujukan Saloma yang yakin beliau boleh menjadi pelakon terkenal kerana memiliki seraut wajah yang menawan dan berkulit putih gebu, akhirnya Mariani bersetuju berlakon dalam filem “Chemburu.”

Bermula dengan “Chemburu” dan apabila berjaya menyantuni dengan baik wataknya dalam filem tersebut sebagai wanita jahat, bersifat pisau cukur, perampas teman lelaki wanita lain, perosak rumah tangga orang, Mariani dicop sebagai ‘wanita paling jahat’ dan menjadi kebencian para peminat filem Melayu.

MARIANI bersama Allahyarham Seniman Kuswadinata.
MARIANI dan P. Ramlee dalam satu babak filem “Labu Labi.”

Bermula dari itu, satu demi satu tawaran filem beliau terima antaranya pada tahun 1953, tiga lagi filem dilakonkan iaitu “Raja Sehari,” “Istana Impian” dan “Putus Harapan,” Mariani berlakon dengan kesinambungan watak yang menjadi kebencian para peminat filem Melayu tetapi dalam pelbagai ‘rupa dan gaya.’

Menurut Mariani, disebabkan penggambaran semua dilakukan di Studio Jalan Ampas beliau menjalani penggambaran sampai tiga ‘shift’ sehari hingga ke malam bagi memastikan filem berkenaan siap pada tarikh yang ditetapkan.

MARIANI bersama Allahyarham Haji Mahadi dalam satu babak filem “Tiga Abdul.”
MARIANI dalam satu babak filem.

Namun ‘kejahatan’ Mariani tidak terhenti setakat itu kerana satu demi satu tawaran filem diterima. Tetapi tidak pernah beliau menduga lakonannya dalam filem “Kembali Saorang” (1957) sebagai Rokiah yang menjadi penyebab Husin (Allahyarham Salleh Kamil) putus tunang dengan Aminah (Allahyarham Saadiah) setelah ditangkap polis telah melayakkan beliau menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Pesta Filem Malaya pada tahun 1957. Turut berlakon dalam filem arahan Ramon A. Estella, adalah Allahyarham Seniman Datuk Ahmad Mahmud.

Mariani turut menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Pesta Filem Malaya pada tahun 1958 kerana lakonannya dalam filem “Taufan.”

MARIANI berpasangan dengan adik iparnya, P. Ramlee dalam filem “Putus Sudah Kasih Sayang.”
P. RAMLEE bersama tiga bintang ternama Saloma, Allahyarham Latifah Omar dan Mariani yang terlibat dalam filem ‘Putus Sudah Kaseh Sayang’

Sejak itu, satu demi satu filem dilakonkan Mariani antaranya “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang”(1961), “Labu Labi”(1962) “Bunga Tanjung, Darahku dan Nasib Si Labu Labi (1963), “Tiga Abdul dan Dupa Cendana” (1963), “Masam-Masam Manis”(1965) dan “Ahmad Albab”(1968).

Menceritakan pengalamannya sepanjang bergelar seniwati di zaman kegemilangan filem Studio Jalan Ampas, Mariani yang membahasakan dirinya ‘Mummy’ ketika saya temui beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia bercerita;

MARIANI kelihatan ayu apabila bergaya dengan selendang.

“Walaupun pada mulanya mummy tak mahu berlakon tetapi setelah filem pertama mummy mula merasa seronok. Apalagi selepas itu mummy berlakon tiga filem serentak.

“Mummy bukan setakat berlakon filem Melayu terbitan MFP, malah mummy pernah berlakon dua buah filem Cina yang mana salah satunya bertajuk ‘Black Gold.’

MARIANI bersama Seniwati Studio Jalan Ampas, Hashimah Yon, Zaiton dan Dayang Sofia.

“Kemudian mummy ditawarkan berlakon dua filem terbitan Filipina. Filem-filem ini semua terpaksa melalui proses ‘dubbing’ sebab manalah mummy tahu bercakap mandarin atau bahasa tagalog. Selepas filem itu, mummy ditawarkan berlakon tiga filem terbitan bersama Indonesia,” cerita beliau.

Bagaimanapun cerita Mariani sebelum beliau memasukki set penggambaran filem pertama lakonannya “Chemburu,” beliau diarah bertemu dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang merupakan salah seorang pengarah di Studio Jalan Ampas.

GAYA seorang seniwati hebat.

“Mummy sendiri tak tahu kenapa kena ‘mengadap’ P. Ramlee. Mulanya beliau bertanya nama mummy. Apabila mummy beritahu nama ‘Mariam,’ P. Ramlee kata nama itu tidak bagus dan beliau mahu mummy dikenali dengan nama ‘Mariani!’

“Mummy pun tak tahu kenapa beliau kata nama Mariam tak bagus. Tetapi sebelum mummy keluar dari studio beliau ingatkan mummy, dia tak mahu mummy masuk set penggambarannya.

MARIANI bersama Seniwati Dayang Sofia.

“P. Ramlee beritahu pihak studio mummy boleh berlakon tetapi dengan nama ”Mariani’ dan beliau ingatkan lagi tujuh tahun baru mummy boleh masuk set penggambarannya.

“Alhamdulillah…bukan tujuh tahun sebaliknya selepas sembilan tahun ‘diinterbiu’ akhirnya buat pertama kali mummy berpeluang berlakon dalam filem arahannya iaitu ‘Labu Labi’ (1962), ‘Tiga Abdul’ dan ‘Dupa Cendana'(1964) dan ‘Putus Sudah Kasih Sayang’ (1971).”

SENYUMAN yang memikat…Mariani.

Bagaimanapun kata Mariani, filem “Putus Sudah Kasih Sayang” filem arahan P.Ramlee terbitan tahun 1971 yang merupakan filem ke-24 lakonannya sejak mula berlakon pada tahun 1953 meninggalkan pelbagai kenangan sepanjang beliau menjadi ‘orang filem.’

Filem ini bukan sahaja pertama kali dan satu-satunya filem yang menemukan beliau dengan adik iparnya, P. Ramlee (Rostam) sebagai pasangan suami isteri malah telah melayakkan Mariani menggengam Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Pesta Filem Malaya 1971/1972.

FOTO Mariani ini ditandatangani oleh beliau khas buat Wafa(Penulis)

Mariani sebagai Rosmah, isteri yang lumpuh kepada Rostam dalam “Putus Sudah Kasih Sayang” disantuni dengan begitu berkesan sehingga mampu membuat penonton larut dalam kesedihan dan jiwa seorang isteri dan wanita malang itu.

Rosmah bukan sahaja tidak mampu menjalankan tugasnya sebagai seorang isteri malah kekecewaannya semakin parah apabila mendapat tahu anak tunggalnya, Rizman (Allahyarham Bob Mustafa) menyintai Lisda (Allahyarham Seniwati Latifah Omar) perempuan kelab malam yang bakal menjadi madunya dan ibu tiri anaknya!

DI ZAMAN kegemilangannya, Mariani sering menjadi ‘cover gir’ majalah termasuk Majalah Arena Filem.

“Sampai hari ini mummy masih ingat satu babak Rosmah yang naik kerusi roda menangis kemudian jatuh tangga. Bayangkan beliau ambil masa enam hari untuk mendapatkan ‘shot’ mummy menangis dan Rostam akan mendukung Rosmah.

“Mummy memang mudah menangis dan ‘take’ pertama mummy dah menangis tetapi Ramlee tak ‘happy’ sebab dia kata ‘timing’ salah. Ramlee mahu mummy menangis apabila kamera betul-betul fokus dekat muka mummy.

SAAT bersejarah…Mariani dan Syed Mohd Hamid Syed Muhammad Al-Sagoff atau lebih dikenali HM Rohaizad pada hari pernikahan mereka pada tahun 1954.

“Bayangkan betapa sabarnya dia sampai enam hari asyik berulang ‘shot’ itu sampailah beliau dapat apa yang dimahukannya… airmata Rosmah jatuh apabila kamera betul-betul fokus pada mukanya!

“Setelah enam hari baru dapat ‘shot’ yang dia mahukan yang mana babak itu akan muncul hanya beberapa saat dalam filem, membuatkan kru kehairanan sambil bertanya beliau kenapa begitu sabar dan tidak marah-marah.

“Dengan perlahan beliau berkata ‘kakak ipar daa.” cerita Mummy sambil ketawa kecil.

MARIANI bersama suaminya, HM Rohaizad dan salah seorang anak mereka.

Menurut Mariani, beliau hanya berpeluang berlakon filem arahan P. Ramlee pada tahun 1962 (Labu Labi) setelah suaminya, HM Rohaizad meninggal dunia pada 17 Disember 1961 kerana serangan jantung.

“Mummy pun tak tahu kenapa tetapi mungkin Ramlee menghormati suami mummy yang sering menjadi Penolong Pengarah filem-filem arahannya,” kata Mariani yang dikurniakan enam orang anak sepanjang hidup bersama dengan HM Rohaizad.

MAJLIS persandingan Mariani dengan Mohamad Alias pada 8 April 1962.

Perjalanan seni seniwati hebat, Mariani tidak terhenti setakat itu malah selepas merangkul anugerah tersebut beliau terus melangkah tanpa menoleh ke belakang kerana tawaran demi tawaran berlakon diterima.

Mariani boleh dianggap sebagai seniwati yang serba boleh dan relevan walaupun tahun silih berganti kerana daripada seorang seniwati yang sinonim dengan watak jahat yang menjadi kebencian para penonton beliau mampu membuatkan penonton menangis melihat keluhuran hati dan pengorbanan seorang isteri dalam “Putus Sudah Kasih Sayang.”

MARIANI bersama anak yang baru dilahir, turut serta Saloma dan ibu mereka, Umi Kalsom Mahban.

Bermula dari tahun 1974 sehingga 2014, Mariani telah membintangi 22 filem antaranya”Setulus Hatimu,” (1974), diikuti “Detik 12 Malam” (1980), “Bayangan Cinta”(1987), “Kolej 56″(1989), “Operasi Cegah Jenayah”(1992) dengan filem terakhirnya “Cara Mengundang Hantu” (2014).

Selain menerima anugerah kerana lakonannya dalam filem “Kembali Saorang” dan “Putus Sudah Kasih Sayang,” pada Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25 – 2013), Mariani menerima Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Hayat.

MELISSA Saila turut meraikan kemenagan bonda tersayang, Mariani dinobatkan sebagai Tokoh Lakon Filem Melayu di malam Anugerah Tribute P. Ramlee di Angkasapuri,RTM.

Selain filem, Mariani juga ditawarkan berlakon drama dan lebih 20 drama dilakonkan bermula dengan “Intan” pada tahun 1970 dengan drama terakhirnya “Hello Mr. Perfect” (2015).

Disamping itu, Mariani turut berlakon hampir 20 telefilem dengan yang pertama “Jauh Pandangan” (1986 – TV1), “Aisah Lima Puluh Sen”
(2003), “Quran Buruk” (2004) dan drama terakhir “Dari Kerana Mata” (2015).

Seniwati Mariani mempunyai 13 orang anak melalui tiga perkahwinannya. Bersama suami pertama, Darus, beliau mendapat dua orang anak iaitu Noraini dan Normala.

MARIANI bersama antara anak kesayangan beliau.
MARIANI bersama salah seorang anak kembarnya, Syed Nazran. Gambar ini dirakamkan setahun sebelum beliau meninggal dunia
SYED Nazran (berkot hitam) dan isterinya bersama Dian P. Ramlee dan anak mereka Hazwady dan isterinya, Miria Soedarsoni dan cucu-cucu beliau.

Perkahwinan keduanya dengan pelakon, penolong pengarah, penulis lirik dan penulis lakon layar, HM Rohaizad atau nama sebenarnya, Syed Mohd. Hamid Syed Muhammad Al- Sagoff, pasangan ini dianugerahkan enam orang anak iaitu Sharifah Haslinda (Shasha), Sharifah Rozita, Syed Herwaini, pasangan kembar Syed Marhain dan Syed Nazran dan yang bongsu, Syed Hasmidan. Jodoh mereka tidak panjang apabila HM Rohaizad meninggal dunia kerana serangan jantung pada usia 35 tahun pada 17 Disember 1961.

Kemudian Mariani bertemu jodoh dengan Mohamad Alias. Daripada perkahwinan ketiga ini, mereka mendapat lima orang anak iaitu Iskandar Mierza, Sharoneirza, Ariff Efandi, Kamarul Ariffin dan Melisa atau lebih dikenali Melissa Saila.

SHASHA memegang sehelai daripada baju yang pernah dipakai Saloma ketika menyertai program TV.
Turut kelihatan Mariani dan Syed Wafa.

Melihat perjalanan seninya selama enam dekad yang telah membintangi lebih 50 filem, 20 drama dan telefilem ada peminatnya yang tertanya mengapa beliau tidak dianugerahkan bintang yang membawa gelaran Datuk, sambil tersenyum Mariani berkata;

“Mummy berlakon bukan kejarkan gelaran tetapi kerana rezeki dan bersyukur dengan bakat anugerah Allah. Mummy terima apa juga tawaran berlakon yang penting wataknya sesuai dan mencari rezeki yang halal.

“Walaupun mummy tak kaya tetapi rezeki itu berkat dan hidup mummy tidak melarat. Sebagai seniwati bermula dari Studio Jalan Ampas, mummy sentiasa menjaga imej dan penampilan mummy dan ia tidak perlukan beribu ringgit tetapi yang penting bergaya dan sedap mata memandang sesuai dengan umur mummy.”

Sebab itu tidak hairan para peminat yang terserempak dengan beliau kagum pada usia 81 tahun, Mariani tetap mengenakan mekap yang sederhana dan bergaya sebagai seorang seniwati.

INILAH baju yang pernah dipakai Saloma yang dihadiahkan oleh Mariani & Shashah kepada Wafa (Penulis)
ANTARA baju koleksi Biduanita Negara Puan Sri Saloma pemberian Mariani yang tersimpan rapi di Wafa Gellery.

Terlalu banyak kenangan saya (Penulis) bersama seniwati hebat ini. Beliau juga merupakan ibu angkat saya dan banyak rahsia diceriatakan kepada saya dan biarlah ianya terus menjadi rahsia buat kami berdua.

Paling indah beliau dan anaknaya Shashah Hamid menghadiahakan beberapa barangan peribadi milik P. Ramlee dan Saloma kepada saya antaranya surat nikah, kain sarung kesukaan P. Ramlee dan baju terakhir Saloma ketika beliau mengadakan persembahan di RTM. Kini semua koleksi tersebut saya simpan dengan rapi di Wafa Gellery milik saya.

KENANGAN akhir Wafa(Penulis) bersama bonda angkat tercinta beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia.

Seniwati Mariani meninggal dunia pada usia 82 tahun kerana barah usus. Jenazah Allahyarham disemadikan berhampiran pusara P. Ramlee dan adiknya, Saloma di Tanah Perkuburan Islam Ampang pada 1 Disember 2015.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh beliau sentiasa dirahmati Allah…Amin.

SYED Wafa menabur bunga mawar di pusara Allahyarham Mariani.
Previous articlePes Gulai Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Ungkep Ayam!
Next articleAir mata Siti jatuh mengenang anak-anak sekolah hafal al-Quran, Afwa & Aafiyah di Gaza!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here