Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi Syed Wafa

APABILA sebut nama Kasmah Abdullah pasti ramai yang tidak mengenalinya tetapi apabila menyebut nama Kasma Booty sudah pasti ramai yang kenal dan meminati seniwati ini.

Allahyarham Seniwati Kasma Booty cukup terkenal dengan seraut wajah yang cantik menawan dengan suaranya yang unik dan mampu membuatkan para peminat filem Melayu klasik merasa sayu dan hiba setiap kali melihat lakonannya penuh syahdu dalam filem lakonannya.

KASMA Booty terkenal dengan kecantikan aslinya.

Bukan itu sahaja, apabila Kasma Booty gembira dan bahagia beliau membawa sama para peminatnya merasai kebahagiaannya walaupun hanya sekadar dalam babak filem lakonannya.

Itulah Primadona filem Melayu klasik, Seniwati Kasma Booty yang memulakan perjalanan seninya sebagai pelakon bangsawan dengan kumpulan Rayuan Asmara di Medan pada usia belasan tahun.

KASMA Booty dalam satu babak filem “Chempaka” yang diterbitkan pada tahun 1948.

Disebabkan kesempitan hidup, ia telah mendorong Kasma anak kepada pasangan suami isteri, Abdullah dan Kasminik merantau ke Malaya (kini Malaysia) dan mendapat kerja sebagai pelakon bangsawan di Pulau Pinang dan Singapura.

Dari pentas bangsawan, Kasma Booty mengorak langkah menjadi pelakon filem pada usia 14 tahun apabila dilamar Shaw Brothers dan membintangi empat filem terbitan Malay Film Productions arahan BS Rajhans iaitu “Cempaka”, “Pisau Berachun” dan “Rachun Dunia” (1948) dan “Dewi Murni” (1950).

GAYA manja seniwati yang cukup popular pada era filem 1940-an sehingga 1960-an.

Sepanjang 14 tahun penglibatannya dalam dunia filem, Kasma Booty telah membintangi hampir 20 filem dengan filem terakhirnya “Ragam P. Ramlee.” Filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ini adalah filem keempat lakonan beliau bersama seniman berkenaan.

“Ragam P. Ramlee” (1964) mengandungi tiga segmen iaitu ‘Drama Muzikal – P. Ramlee & Saloma,’ ‘Drama Komedi – Mintak Nombor Ekor.’ dan segmen ketiga ‘Drama Purba – Damak.’

FILEM “Bakti” terbitan tahun 1950 menampilkan buat pertama kali P. Ramlee sebagai pelakon utama berpasangan dengan Kasma Booty

Dalam “Damak” lakonan Kasma Booty sebagai Kenanga membuatkan perasaaan penonton terutama kaum wanita berbaur sedih dan marah apabila Kenanga sanggup meninggalkan suaminya, Gegala (Allahyarham Seniman Datuk Mahmud June) dan anaknya, apabila kekasihnya, Damak (P. Ramlee) yang telah lama menghilangkan diri kembali menuntut cintanya. Tetapi akhirnya kerana anak, Kenanga kembali kepada suaminya. Filem ini diterbitkan oleh Merdeka Film Productions pada tahun 1964.

Bagaimanapun sebelum itu pada tahun 1950, buat pertama kali, Kasma Booty digandingkan dengan P. Ramlee dalam filem “Bakti” arahan Tan Sri L. Krishnan.

KASMA Booty hadir dalam dunia filem Melayu bukan bersandarkan rupa malah beliau adalah pelakon berbakat.

Selepas filem “Bakti” mendapat sambutan hebat, Kasma Booty membintangi dua lagi filem bersama P. Ramlee iaitu “Sejoli” (1951) arahan BS Rajhans dan pada tahun yang sama beliau membintangi filem “Juwita” arahan S. Ramanathan.

Kasma Booty dilahirkan pada tahun 1932 di Kisaran, Sumatera Utara, Indonesia.
Beliau berdarah campuran Jawa-Belanda dan disebabkan itu, tidak hairanlah Primadona ini memiliki wajah yang cantik dan menawan sehingga Kasma Booty digelar ‘Elizabeth Taylor of Malaya’ dan ‘Ratu Filem Melayu’ pada zaman kegemilangannya.

KASMA Booty turut berlakon dalam filem “Rachun Dunia” yang turut dibintangi Osman Gumanti dan Siput Sarawak.

Kasma Booty bukan hanya memiliki rupa paras jelita, malah beliau dikatakan mempunyai aura dan karisma sebagai Primadona Filem Melayu pada zaman kegemilangan filem Melayu klasik di Studio Jalan Ampas. Beliau dihormati oleh seniman dan seniwati pada era filem 1940-an sehingga 1960-an termasuklah P. Ramlee.

Kasma Booty mencipta sejarah apabila menerima bayaran paling mahal sebanyak 1,500 ringgit setiap filem lakonannya pada zaman itu berbanding pelakon lain yang mendapat bayaran tidak sampai separuh daripada apa yang beliau terima.

TIGA pelakon utama dari satu babak filem “Rachun Dunia” lakonan (dari kiri) Osman Gumanti, Jaafar Wiryo dan Kasma Booty.
Filem arahan BS Rajhans ini diterbitkan pada tahun 1950.

Seniwati Kasma Booty yang berkahwin dengan Booty Jacobs dianugerahkan lima orang anak iaitu Chempaka, Asmara, Kesuma, Suria dan Purnama.

Uniknya nama anak-anaknya diambil sempena judul filem yang dibintangi atau lagu yang pernah dinyanyikan.

KASMA Booty turut dipilih menjadi ‘cover girl’ Majalah Movie News

Anak sulungnya, Chempaka diberi nama sempena filem pertama lakonannya. Anak kedua, Asmara sempena filem yang dibintangi “Noor Asmara.”

Nama Kesuma sempena lagu ‘Kesuma’ yang dinyanyikan Kasma dalam filem “Dewi Murni” (1950). Anak keempat diberi nama Suria sempena kumpulan bangsawan yang disertainya iaitu Booty Suria Negara.

EMPAT keping gambar ini merakamkan gelagat seniwati Kasma Booty, Seniman Osman Gumanti dan Seniman P. Ramlee yang dirakamkan oleh jurufoto Majalah LIFE, Howard Sochurek dengan tajuk “Pantai Cinta Penuh Ghairah” disiarkan pada Oktober 1951.
Walaupun tidak dicatatkan tempat dan acaranya tetapi adalah difahamkan ianya dirakamkan ketika sambutan ‘Puja Pantai’ yang berlangsung di Pantai Cinta Berahi, Kota Baharu pada tahun 1951.

Hanya Purnama, nama anak bungsunya tidak diberi mengikut nostalgia seninya.

Tiga daripada lima anak Kasma Booty telah meninggal dunia iaitu Suria pada tahun 2002, Kesuma pada 29 Januari 2020 dan Chempaka meninggal dunia beberapa bulan selepas adiknya, Kesuma.

POPULARITI Kasma Booty turut memberi ruang beliau muncul dalam iklan.

Perjalanan seni Kasma Booty terhenti seketika apabila pada tahun 1952, beliau berhadapan dengan kontroversi dengan pihak pengurusan Shaw Brothers dan menarik diri daripada membintangi filem “Antara Senyum dan Tangis.” Watak yang dilakonkan beliau dalam filem itu digantikan dengan seniwati Rokiah Jaafar.

Selepas itu, Kasma Booty ‘menghilangkan diri’ dari dunia perfileman dan menumpukan sepenuh masa bersama grup bangsawan milik suaminya, Booty Suria Negara.

Filem “Anak Manja” lakonan Kasma Booty, Allahyarham Abdullah Chik, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, Rosmawati dan memperkenalkan Mahyon Ismail.
Filem arahan Allahyarham Salleh Ghani diterbitkan pada tahun 1963.

Bagaimanapun setelah enam tahun menyepikan diri dari dunia filem akhirnya pada tahun 1958, sebagai memenuhi permintaan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Kasma Booty bersetuju berlakon dalam filem “Mahsuri” terbitan Cathay Keris.

Selain Kasma Booty, “Mahsuri” dengan skrip oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman arahan B.N Rao turut dilakonkan oleh Allahyarham Seniman Datuk S. Roomai Noor, Allahyarham Nordin Ahmad, Allahyarham Shariff Medan dan Mahmud June.

Kasma Booty bersama Allahyarham Datuk Mustapha Maarof yang digandingkan dalam filem “Anak Manja’ (1963).

Pada era akhir pembabitan beliau dalam dunia perfileman, Kasma Booty banyak berlakon filem terbitan Merdeka Film Production, di Hulu Klang.

Antara filem lakonannya “Keris Sempena Riau”(1961), “Selendang Merah” dan “Ratapan Ibu” (1962) arahan Tan Sri L. Krishnan.

SETELAH setahun menyepikan diri, akhirnya Kasma Booty akan muncul semula dengan filem terbaharunya, “Sejoli” yang membawa kisah dilema anak angkat.

Kasma Booty turut membintangi tiga filem arahan Allahyarham Salleh Ghani iaitu “Siti Payong” (1962), “Tangkap Basah” dan “Anak Manja” (1963).

Adalah difahamkan pada zaman kegemilangannya sebagai seniwati pujaan ramai, sikap prihatin Kasma Booty sebagai seorang ibu amat terserlah apabila beliau sanggup mengorbankan aktiviti sosialnya demi anak-anak.

KECANTIKAN Kasma Booty yang menjadi kegilaan peminat filem Melayu.

Jika rakan artis lain meraikan selesainya penggambaran sesebuah filem dengan pergi makan beramai-ramai, Kasma Booty akan memberi pelbagai alasan untuk balik segera kerana mahu bersama anak-anak.

Disebabkan itulah, Kasma Booty tidak ramai kawan rapat di kalangan artis.

Mungkin ramai yang tidak tahu pelakon Allahyarham Yusni Jaafar, Yusnah Jaafar adalah adik seibu dengan Kasma Booty manakala Sukarni Jaafar adalah adik tiri beliau.

P. RAMLEE dan Booty Jacobs menjamu selera hidangan masakan Kasma Booty.
Gambar ini dirakamkan pada tahun 1964.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang lakonan, Kasma Booty telah menerima Anugerah Merak Kayangan bagi kategori Pelakon Wanita Veteran pada Festival Filem Malaysia ke-7 ( FFM ke-7) yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Ramada Renaissance, Melaka pada 6 Disember 1987.

Seniwati Kasma Booty turut menerima Anugerah Khas Juri bagi kategori Pencapaian Terbaik Dalam Filem pada Festival Filem Asia Pasifik yang ke-35 yang berlangsung pada tahun 1990, di Kuching, Sarawak.

KENANGAN indah Syed Wafa (Penulis) bersama seniwati legenda Kasma Booty.

Seniwati Kasma Booty meninggal dunia kerana komplikasi paru-paru berair pada usia 75 tahun pada jam 2.00 pagi hari Jumaat, 1 Jun 2007. Jenazah Allahyarham disemadikan pada hari yang sama, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman… Amin.

Previous articleAllah SWT sentiasa sayang kita!
Next articleShuib tinggalkan Suria FM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here