Oleh NAFSIAH JANI

WALAUPUN usianya sudah mencecah 64 tahun, namun Datuk Nash tetap menjadi pilihan ramai wanita di luar sana. Tetapi bukan mudah untuk mendekati Nash kerana ada dua ciri wanita yang tidak disukainya.

Pernah gagal dengan dua perkahwinan sebelum ini dan telah menduda selama 14 tahun, membuatkan Nash atau nama sebenarnya, Datuk Nashrudin Elias cukup berhati-hati memilih wanita yang bakal dijadikan suri hidupnya.

Di awal kemunculan Nash di dalam dunia seni.

“Abang bukan memilih tetapi lebih berhati-hati kali ini. Dua ciri wanita yang Abang tidak suka ialah yang kuat cemburu dan suka mengongkong. Abang hanya mengharapkan seorang isteri yang mempercayai dan tidak mengongkong kehidupan Abang, sebagai suami.

“Abang tidak suka wanita yang kuat cemburu…buat pening kepala. Sebelum berkahwin, Abang bebas berkawan dengan sesiapa sahaja tetapi Abang tidak mahu apabila sudah berkahwin pergaulan terbatas dan Abang tidak boleh berbual dengan mana-mana wanita. Abang ni penyanyi dan wanita begini ketinggalan zaman. Abang bukan budak-budak…dah tua dan tahu batas-batas dalam pergaulan.

Nash bersama kumpulan Lefthanded.

“Satu lagi Abang tak suka isteri yang kuat mengongkong dan kena ikut perintah dia sahaja. Kalau ada jodoh wanita idaman Abang ialah yang ada iman, addin dan menghormati suami. Selain itu, apa yang penting antara kami mesti ada sifat saling memahami dan bertolak-ansur,” kata Nash yang lebih selesa membahasakan dirinya ‘Abang.’

Walaupun telah lama hidup berseorangan namun Nash tidak pernah merasa kesunyian kerana hidupnya sentiasa dikelilingi empat orang anak dan lapan orang cucu.

“Abang tak pernah rasa sunyi sebab ada tiga orang cucu duduk sekali dan hidup Abang sentiasa ceria dengan gelak ketawa mereka. Tetapi sebagai manusia Abang tidak nafikan kadangkala ‘kesunyian’ itu tetap ada namun tidaklah hingga membuatkan Abang meroyan,” kata Nash sambil ketawa.

Saat bahagia bersama bekas isteri Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.

Nash yang juga popular dengan lagu “Mencari Sinar” pernah mendirikan rumah tangga bersama Hayati Mohd Yusof pada 1996 dan berpisah pada tahun 1998. Perkahwinan kali kedua dengan usahawan kosmetik terkenal, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya pada 2006 dan bercerai pada 2009.

Nash vokalis kumpulan Lefthanded ini cukup popular dengan lagu “Pada Syurga Di Wajahmu, Ku Di Halaman Rindu, Tiada Lagi Kidungmu, Kenangan Bersamamu dan Zahir Tak Terucap.”

Otai masih berbisa!

Semakin tua makin laku sebagai duta

Bertuah Datuk Nash semakin tua semakin murah rezekinya dan laku keras di pasaran berbanding sewaktu mudanya. Semakin berusia ini ramai pihak yang menawarkannya menjadi duta produk mereka.

Terbaru Nash dilantik menjadi duta Umrah I’tikaf Ramadan AsShams Travel & Tours Sdn. Bhd. Tugasnya ini memberi peluang Nash bersama rombongannya untuk berada di Tanah Suci Makkah selama 40 hari untuk berpuasa dan beribadat sepanjang bulan Ramadan serta meraikan Aidilfitri di sana.

Kumpulan rock legenda Lefthanded.

Selain Nash, figura-figura yang turut terlibat dalam program ini nanti ialah Ijam Medicine, pelakon Saharul Ridzwan, Maulana Wan Helmi, Maulana Abdul Ghani dan PU Taha.

“Abang tak pernah sangka dah tua-tua ini ramai pula syarikat yang lantik Abang menjadi duta. Inilah rezeki yang Allah anugerahkan kepada Abang,” kata Nash yang sentiasa mensyukuri nikmat dan rezeki yang Allah kurniakan kepadanya.

Suka menunggang kuda di masa lapang.

Terbaru sudah dua bulan Nash dilantik menjadi duta tabung atau peti besi antikecurian produk buatan pertama di Malaysia keluaran Terus Bersahabat Resources (TBR). Tabung dwifungsi ini menggunakan sistem penerimaan wang secara automatik dan manual.

“Peti besi digital ini sesuai untuk diletakkan di masjid dan surau dan setakat ini TBR sudah berjaya menjual banyak unit peti besi tersebut. Peti besi ini ada dua kategori iaitu seberat 420 kilogram berharga RM8,800 dan 520 kilogram berharga RM9,800. Peti ini bagus sebab ciri-ciri keselamatannya tinggi dan susah untuk dicuri.

Kini banyak melakukan kerja amal.

“Setiap kali duit dimasukkan akan kedengaran suara Abang membacakan doa diatas penerimaan duit tersebut. Abang terharu apabila kelebihan suara yang Allah SWT anugerahkan ini dapat dipanjangkan kepada umat yang memberikan infaq dan sedekah.

“Selain membeli secara tunai TBR juga menyediakan pakej bayaran ansuran selama 12 bulan atau pakej sewa beli RM300 sebulan untuk tempoh lima tahun. Abang harap lebih banyak syarikat korporat tampil untuk menaja bagi memperluaskan kemudahan itu ke masjid dan surau di seluruh negara,” kata Nash yang dilantik menjadi duta peti besi ini selama tiga tahun.

Previous articleHanya Tuhan Yang Tahu pilihan Awi Rafael
Next articleNourul kongsi ilmu dan pengalaman menerusi program Firetalk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here