Oleh NAFSIAH JANI

MUNGKIN bagi segelintir orang berpendapat pada usia 69 tahun, Datuk Jalaluddin Hassan sudah berehat daripada dunia lakonan. Sepatutnya waktu yang terluang digunakan untuk bersama isteri, Rapidah Abd. Ghani, anak-anak serta cucu-cucu tersayang.

Tetapi tidak bagi Jalaluddin Hassan, ayah kepada lapan orang anak yang masih sibuk di lokasi penggambaran menjalankan tugas dan kewajipannya sebagai seorang pelakon yang masih menjadi pilihan syarikat penerbitan tempatan.

Seorang bintang seni tanah air yang disegani dan dihormati.

Beliau yang ditemui baru-baru ini ketika ditanya mengenai jadual hariannya yang sibuk di lokasi penggambaran berkata;

“Alhamdulillah dengan izin Allah saya masih ditawarkan berlakon, apalagi saya amat menyintai bidang ini.

“Berlakon adalah minat saya dan ia juga kerjaya saya. Jika tidak berlakon badan saya akan sakit-sakit. Saya pernah nak bersara dari dunia lakonan, tapi…tak boleh.

“Sewaktu Covid dulu, saya faham semua aktiviti seni terhenti dan disebabkan itu seluruh anggota badan saya sakit-sakit. Covid bukan sahaja menjejaskan pendapatan saya malah kerana tidak melakukan sebarang aktiviti badan menjadi tidak bermaya. Untuk menghilangkan rasa bosan, saya banyak menghabiskan masa bermain dengan cucu, muhasabah diri dan mencari kekuatan diri,” kata Jalaluddin Hassan.

Ikon seni yang masih hebat!

Bercakap mengenai dirinya yang masih bertenaga untuk memandu, menghafal skrip drama, filem atau teater dengan bersahaja Jalaluddin Hassan memberitahu;

“Kekuatan saya ini semua dengan izin Allah. Jika Allah tidak izinkan mungkin saya tidak teguh berdiri sebagai pelakon seperti hari ini.

“Kadangkala saya terfikir dalam usia hampir 70 tahun dari mana datangnya kekuatan saya. Namun semua itu urusan Allah dan saya bersyukur diatas anugerah-Nya.

Lakonan hebat sebagai watak Abang Long dalam teater muzikal ‘Patung Kertas’ dipentaskan pada tahun 2008, menampilkan Syed Wafa sebagai penampilan khas.

“Selain itu, saya sedar kekuatan saya datangnya daripada sokongan padu daripada anak-anak serta isteri untuk saya terus bekerja dan mencari rezeki.

“Lagipun ini kerjaya yang saya minat dan sayang. Dengan izin Allah dan selagi bakat saya dihargai, saya akan terus berlakon.”

Menurut Jalaluddin Hassan, sejak mula menceburi dunia lakonan, beliau amat bersyukur kerana Allah permudahkan segala urusannya.

Bersama isteri tercinta Datin Rafidah Abd Ghani.

“Pada usia begini, matlamat saya hanya satu iaitu apa sahaja yang saya lakukan adalah untuk para peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya sejak dahulu, kini dan semoga untuk selamanya,” ujarnya penuh harapan.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan, Jalaluddin Hassan telah berlakon dalam ratusan drama, puluhan filem dan beberapa buah teater.

Wajah ceria Jalaluddin Hassan.

Antara filem lakonannya ialah “Lu Mafia Gua Gangster, Panggilan Pulau, XX Ray II, Pulang, Cicakman dan Setem.”

Beliau juga aktif dalam teater antaranya pernah terlibat dalam teater “Asmara Songsang”,”Batu Belah”,”Tanjong”,teater muzikal “Patung Kertas”dan terbaru teater muzikal “Lantai T. Pinkie.”

Dalam teater muzikal ‘Lantai T. Pinkie’ yang dipentaskan baru-baru ini.

Cara menjaga kesihatan

Jalaluddin Hassan bersyukur pada usianya yang akan mencecah 70 tahun pada tahun hadapan, beliau masih dianugerahkan kesihatan yang baik dan tidak diuji dengan sakit yang berat-berat.

“Alhamdulillah setakat ini saya diuji dengan penyakit yang biasa-biasa sahaja. Saya bersyukur kerana isteri sentiasa menjaga urusan saya, makan minum, ubat-ubatan untuk sakit jantung dan darah tinggi serta sentiasa menemani saya.

Isteri banyak bagi semangat kepada beliau untuk terus aktif berakon.

“Setakat ini kalau shooting dekat-dekat isteri saya tidak ikut. Tetapi kalau shooting luar dari Kuala Lumpur saya akan membawanya sebagai teman dan untuk memandu,” kata Jalaluddin Hassan sambil ketawa,

Bercerita tentang makan pula, Jalaluddin Hassan memberitahu selalunya beliau menjaga pemakanan dan tidak ikut hawa nafsu.

“Demi kesihatan, saya makan ala kadar sahaja dan tidak mengikut nafsu. Saya tidak minum kopi atau teh. Sebaliknya saya banyak minum air kosong. Ada waktunya saya minum air lemon dan madu demi menjaga suara

“Masakan isteri saya memang sedap dan menyelerakan tetapi saya makan sedikit sahaja pada waktu pagi. Pada waktu malam saya cuma makan sesenduk nasi tetapi saya lebih suka meratah lauk,” kata beliau di akhir pertemuan.

Wajah terkini Jalaluddin Hassan masih tampan.
Previous articleRahsia Liza Hanim masih bertahan dua dekad!
Next articleErra Fazira bicara tentang cinta dan kerjaya!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here