Oleh Syed Wafa / Foto koleksi Syed Wafa/Ehsan Tan Sri Dr. Ahmad Nawab

APABILA sebut nama komposer tersohor negara, Tan Sri Dr. Ahmad Nawab tentu para peminat lagu-lagu ciptaannya bayangkan betapa bertuahnya kerana beliau adalah satu-satunya komposer yang banyak mencipta lagu untuk para penyanyi sejak awal 1960-an sehingga ke akhir tahun 1990-an.

Beliau banyak menaikkan nama artis terkenal tanah air antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad, Uji Rashid, Datuk Hail Amir, Ramlah Ram, Shidee dan ramai lagi melalui lagu ciptaan beliau yang ‘berhantu’.

Jamal Abdillah dan Khadijah Ibrahim banyak terhutang budi dengan Ahmad Nawab di atas kejayaan sebagai penyanyi tersohor tanah air.

Bersandarkan lagu-lagunya yang sentiasa menjadi malar segar sudah pasti anda terbayang artis yang pernah menyanyikan lagu ciptaan beliau dan berharap mungkin ada antaranya menjadi sahabat baiknya.

Tetapi anggapan anda salah kerana realitinya Ahmad Nawab hanya ada dua orang sahaja sahabat baik dan mereka kini telah tiada.

“Saya hanya ada dua orang sahaja sahabat baik iaitu seorang sejak zaman sekolah iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan seorang lagi artis dari Indonesia, iaitu Mendiang Broery Marantika,” kata Ahmad Nawab.

Ahmad Nawab semasa kecil (berdiri paling kanan)bersama ayah Nawab Khan dan adik Akbar Nawab.

Menurut Ahmad Nawab, beliau mengenali dan berkawan baik dengan P. Ramlee sejak sekolah rendah kerana mereka tinggal di Kampung Kebun Lama.

“Masa tu kami sama-sama sekolah di Francis Light School, Pulau Pinang dan P. Ramlee terkenal sebagai Budak Keroncong Teruna Ria kerana beliau adalah sebagai penyanyi utama.

P.Ramlee merupakan sahabat Ahmad Nawab sejak bangku sekolah

“Tetapi apabila beliau ke Penang Free School kerana beliau memang pandai dan kami terpisah dan hanya bertemu semula ketika beliau di Singapura.

“Pada tahun 1966 apabila beliau berhijrah ke KL dan mengarah filem ‘Do Re Mi’ saya diberi peluang mencipta lagu Bossanova yang dinyanyikan Allahyarham Puan Sri Saloma.

Saloma menyayikan lagu ‘Bossanova’ ciptaan Ahmad Nawab

“Saya tahu macam-macam orang buat cerita yang tak betul mengenai beliau tetapi saya kenal siapa sahabat baik saya itu.

“Hubungan kami tetap baik tetapi saya takkan lupa tarikh 29 Mei 1973 kerana pada tarikh itu saya kehilangan sahabat baik saya, P. Ramlee akibat serangan jantung,” cerita Ahmad Nawab.

Ahmad Nawab kecewa banyak cerita yang tidak tepat megenai P.Ramlee setelah beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973
Kenangan manis bersama isteri tercinta Allahyarham Siti Zainab Ibrahim

Bagaimana pun kesunyian beliau terubat apabila ditemukan dengan Broery Marantika dan diberi kepercayaan mencipta lagu untuk filem “Hapuslah Airmata Mu” iaitu ‘Sabar Menanti.’

“Saya tak pernah menduga selepas tiga tahun pemergian P. Ramlee, saya ditemukan dengan seorang penyanyi hebat dan genius iaitu Broery Marantika.

Ahmad Nawab amat terasa kehilangan sahabat beliau Broery Marantika

“Selepas rakaman lagu ‘Sabar Menanti’ kami menjadi rapat dan selalu berhubung apalagi bila beliau menjadi artis rakaman WEA (Warner Music).

“Saya takkan lupa hubungan persahabatan kami dan penghargaan beliau terhadap lagu-lagu ciptaan saya. Tetapi umur beliau juga tak panjang dan meninggal dunia pada 7 April 2000 pada umur 57 tahun.

Bergambar kenangan bersama barisan pelakon yang menjayakan Filem ‘Nasib Si Badul’ 1977

“Sebenarnya dua tahun sebelum beliau meninggal kami bertemu di rumah ABI (bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Allahyarham Ahmad Idris) dan BAM (Allahyarham Bahyah Mahmood) kerana berbincang untuk mengadakan konsert di KL. Pada perjumpaan itu, Datuk Yusof Haslam juga turut ada.

“Mengikut perancangan dua tahun sebelum meninggal dunia, Broery bercadang mengadakan konsert di KL pada tahun 1998. Tetapi hasratnya tidak kesampaian kerana sejak balik ke Jakarta beliau sering sakit dan meninggal dunia pada tahun 2000,” cerita Ahmad Nawab.

Lagu ‘ Mady’,Broery Marantika cipta khas buat sahabatnya Ahmad Nawab

Bagaimanapun kata Ahmad Nawab beliau tidak akan lupa penghargaan dan rasa hormat Broery Marantika terhadap dirinya.

“Sebagai menghargai nilai sebuah persahabatan dan lagu-lagu ciptaan saya untuknya, Broery mencipta sebuah lagu untuk saya iaitu ‘Mady’ yang diabadikan dalam salah satu album beliau yang saya terbitkan,” kata Ahmad Nawab.

“Mady”

Kucoba mendatangimu oh kawan
Melalui bulan dan matahari, oh Mady…
Seribu tahun rasa tak jumpa dikau
Walau hanya sebulan lalu
Entah apa yang terjadi atas dirimu…

Kemarin ku jumpa dia di mimpi
Kulihat dia berlari
Oh sahabatku, saudaraku
Terimalah salam mesra ini dari daku…

(#)
Lautan bukan halangan
Kasih sayangku selalu huu..

Oh sahabatku, saudaraku
Terimalah salam mesra ini dari daku…

[Interlude]
Back to: (#)

Oh sahabatku, saudaraku
Terimalah salam mesra ini dari daku…
Huuu…

Lagu/Lirik :Broery Marantika.

Ahmad Nawab masih mengikuti perkembangan muzik tanah air.
Penulis bergambar kenangan bersama Ahmad Nawab

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Lady Bosz (@ladyboszblog)

Previous articleTahap kolesterol tinggi, Datuk Ziela Jalil nyaris alami strok
Next articleTunggu konsert Sanisah Huri di KL

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here