Oleh Syed Wafa / Foto Ehsan Sanisah Huri
Sejak ku bertemu padamu
Fikiranku telah terharu
Hanya kekanda yang akan dapat
Mengubatkan hatiku rindu
MELAGUKAN bait pertama lagu “Sejak Ku Bertemu Padamu” yang cukup popular pada tahun 1974, pasti membuatkan anda terutama para peminat teringatkan penyanyi kecil molek bersuara lunak, Sanisah Huri.
Walaupun lagu itu berusia hampir 50 tahun tetapi itulah antara lagu yang sentiasa dirindui nyayian biduanita Sanisah Huri.
Lagu itu bukan sahaja telah mempopularkan beliau ‘sejak itu’ malah sehingga usianya 71 tahun, Sanisah Huri masih menerima undangan menyanyi di pentas berprestij bermula dengan “Sanisah Huri – The Lady In Concert” di Dewan Esplanade, Singapura pada akhir Julai 2022 diikuti “Konsert Raya Sepanjang Zaman” yang berlangsung pada 6 Mei lalu di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.
Walaupun berkongsi pentas berprestij DFP dengan penyanyi Datuk Hail Amir, Ziana Zain dan Bob Yusof, Sanisah Huri membuktikan usia bukan penghalang untuk beliau memberikan persembahan yang terbaik bagi para peminat setia yang hampir dengan usianya malah generasi muda yang begitu menghargai bakat dan lagu-lagu evergreennya.
Bersandarkan dari kejayaan dua konsert ini, Sanisah Huri sekali lagi akan muncul dalam sebuah konsert yang akan dipentaskan di Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Menurut pengurus beliau Rusedah Tawahid konsert biduanita Sanisah Huri dalam perancangan dan bakal diadakan pada tahun hadapan.
“Ada pihak yang berminat untuk mengadakan konsert kak Sanisah di KL dan pastinya beliau tidak sabar berjumpa dengan peminat setia beliau di sana.
“Kak Sanisah juga berharap dapat bekerjasama dengan Datuk Mokhzani Ismail sebagai pengarah muzik konsert tersebut,
memandangkan beliau seorang yang berpengalaman dan hebat dalam bidang muzik,” kata Rusedah.
Walaupun bukan mudah untuk penyanyi era 1970-an kekal popular hingga hari ini tetapi bak kata pepatah Melayu ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu’ dan betapa bertuahnya, Sanisah Huri kerana masih diminati sehingga hari ini.
Itulah biduanita Sanisah Huri yang masih kekal di hati para peminat senisuara sejak dulu, kini dan insyaa-Allah untuk selama.
Sebagai peminat setianya, saya rasa bertuah kerana dapat menyaksikan momen indah ‘the living legend’ ini pada persembahan di kedua dewan berprestij ini.
Bagi saya, meskipun usianya sudah mencecah 71 tahun tetapi terbukti kemampuannya memberikan persembahan dengan suara lunaknya itu bukan saya sahaja malah para penonton yang memenuhi kedua-dua dewan berprestij hanyut dibuai dengan lagu-lagunya yang sentiasa evergreen.
Beliau juga pandai berjenaka di atas pentas membuat penonton terhibur dan itulah antara keistimewan biduanita lagenda ini.
Saya masih ingat selepas melihat persembahannya yang bertenaga pada usia 70an tanpa berselindung, Sanisah Huri yang sentiasa setia ditemani pengurusnya, Rusedah Tawahid ketika ditanya rahsia beliau menjaga suara, berkata;
“Saya tidak ada petua atau rahsia menjaga suara. Apa yang saya amalkan sebelum persembahan saya berlatih di rumah demi memastikan persembahan saya dapat menghiburkan para peminat.
“Tetapi sejak dahulu sehingga hari ini saya sentiasa menjaga kesihatan diri dan suara. Rahsia saya tidak makan pedas dan banyakkan minum air suam.”
Bagi Sanisah Huri walaupun beliau mendapat peluang menyanyi di pentas berprestij pada usia emas namun tetap bersyukur.
“Alhamdulillah kerana saya berjaya memberi persembahan yang mampu menghiburkan para penonton dan juga para peminat,” kata Sanisah Huri.
Bagaimanapun setiap kali apabila beliau ditanya mengenai kejayaannya dalam bidang seni sejak dahulu dan masih kekal sehingga hari ini, penyanyi yang turut diminati kerana lagu “Si Baju Hijau” ini berkata;
“Saya amat bersyukur dengan bakat anugerah Allah. Pada waktu yang sama saya tidak akan lupa jasa Allahyarham Kassim Masdor dan Yusnor Ef yang banyak membantu kejayaan saya sebagai penyanyi sehingga hari ini.
“Mereka berdua inilah yang bertanggungjawab membawa saya ke dunia seni,Abang Kassim banyak bagi saya tunjuk ajar untuk menjadi penyanyi yang berjaya”,kata Sanisah Huri bersungguh-sungguh.
Ditanya mengenai rancangannya, Sanisah Huri berkata;
“Pada usia begini saya tidak mempunyai rancangan yang menggunung tinggi. Bagaimanapun janji saya pada diri ini, setiap undangan dan persembahan yang saya setuju saya akan jayakan dengan penuh jiwa dan tanggung jawab.
“Insyaa-Allah saya akan mengadakan konsert di Kuala Lumpur tidak lama lagi. Saya percaya kepada rezeki dan sokongan mereka yang sentiasa mahu menyaksikan persembahan saya, konsert di KL akan menjadi kenyataan,”Kata Sanisah Huri lagi.
Bagi mereka yang berminat bekerjasama dalam menjayakan konsert Sanisah Huri di Kuala Lumpur atau menjemput beliau menjayakan persembahan anda boleh menghubungi nombor telefon yang tertera ini +65 8893 1664 (Rusedah Tawahid)
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.