Oleh Nafsiah Jani
SETIAP orang mempunyai tahap kesihatan yang berbeza-beza bergantung pada antibodi masing-masing. Begitu juga dengan pelakon dan penerbit, Datuk Ziela Jalil yang tidak menyangka tahap kolesterolnya begitu tinggi hingga boleh membahayakan nyawanya.
“Ma Nasib baik you buat buat pemeriksaan ini. Kalau tak, you boleh rebah tiba-tiba dan kena strok sebab tahap kolesetrol dah sampai 11,’’ itulah kata-kata anaknya, Julia yang juga seorang doktor di Ireland yang masih terngiang-ngiang di telinga Datuk Ziela Jalil.
Ziela Jalil, 53, bertuah kerana ditemukan dengan Pakar Bedah Perunding, Usus dan Bariatrik, Dr Mustafa Mohammed Taher yang membantu menyelamatkan `nyawanya’ menjalani rawatan pembedahan bariatrik Gastrik Sleeve.
Kata Ziela atau nama sebenarnya, Norzilah Abdul Jalil, Kekuatan dia melakukannya bariatrik ini kerana memikirkan anak-anak dan penyakit lain yang bakal timbul jika dia tidak melakukannya.
“Sebelum ini saya ingat, saya hanya ada masalah asid Refluk kerana sedang tidur pun, gas boleh tersembur dari mulut saya. Tak sangka masalah ini terlalu serius.
“Bila dah kerap sangat berlaku, saya diperkenalkan dengan Dr Mus dan tak sangka rupanya tahap kolesterol saya yang tinggi. Kata Dr. Mus, jika saya tidak jalani pembedahan, selain strok saya mungkin berdepan pelbagai risiko komplikasi lain pula.
“Sebenarnya saya memang tak suka pergi hospital. Waktu itu macam ada kekuatan lain macam dalam diri saya. Saya fikir… Aku nak sihat. Aku ada banyak tanggung jawab yang belum selesai,” kata Ziela yang kini bahagia bersama suaminya, Datuk Syed Osman Al-Habshee.
Sebelum ini, Ziela juga pernah buat membuat pemeriksaaan di Pantai Medical Centre beberapa tahun yang lalu. Berdasarkan laporan yang keluar, Ziela dinasihatkan untuk menukar cara hidup dan corak pemakanannya.
“Doktor suruh saya ubah cara hidup, ada benda kena berjaga-jaga. Kena jaga makan, ada makanan yang tak boleh dimakan…jangan lambat makan. Biasalah dulu, saya terlalu sibuk dan saya abaikan nasihat sebegitu.
“Untuk elak sakit, doktor bekalkan dua jenis ubat dan kedua-duanya sentiasa ada bersama saya setiap masa. Saya akan makan bila rasa lain macam. Syukurlah sejak buat bariatrik ini, saya makin kurang mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak berbanding sebelum ini.
“Walaupun saya tidak berdisiplin dan tak dengar nasihat doktor…Alhamdulillah…perut saya mengajar. Bila dah kurang makan secara automatic ia juga mengurangkan asid refluk dalam badan saya,”kata Ziela yang kini mempunyai berat antara 62 ke 63 kg sahaja.
Menurut Ziela, dia seorang yang cukup takut bila diambil darah.
“Itu sebab saya tak suka pergi klinik atau buat pemeriksaan kesihatan. Bila doktor kata nak ambil darah saya mintak doktor sendiri yang ambil darah dan bukannya jururawat kerana saya trauma dengan pengalaman lalu,” ujarnya lagi.
Selain suami tercinta, kini Ziela bahagia bersama tiga orang anaknya iaitu Dr. Puteri Julia Nabilah Megat Junid, 31, Megat Jufri Nasrullah, 29 dan Ibrahim Junid Abdullah, 11 serta dua orang cucu, Tun Alayna Zeeya dan Tun Ameena Zeeya
Kecewa sebagai penerbit?
Datuk Ziela Jalil pemilik, Pena Creative Pictures Sdn, Bhd. kini dilihat sudah lama tidak menerbitkan drama-drama yang cuba menaikkan darjat dan isu-isu berkaitan wanita.
Ditanya mengenai perkembangan terbaru syarikatnya, kata Ziela lagi, Pena Creative dah 5 tahun tidak aktif berkarya atau menerbitkan drama.
“Tak payahlah saya nak bercerita lagi sebab ia memang sangat mengecewakan. Saya tak suka nak bercerita mengenainya kerana aura-aura tak baik ini akan meracun kehidupan, hati dan perasaan saya. Saya rasa cukuplah, saya memang tak suka nak ungkit cerita-cerita lama.
“Semuanya bermula selepas drama, Tujuh Hari Mencintaiku itu popular. Susur kesinambungan cerita kehidupan produksi saya yang tidak cantik selepas itu. Saya anggap, terima dan letak kesalahan semua atas diri saya. Itu yang saya tak suka nak ulang bercerita.
“Saya yang tidak alert dan fokus. Saya anggap mungkin sudah tiada lagi rezeki saya dalam bidang penerbitan drama televisyen. Sekarang jika ada kelapangan saya akan terima tawaran berlakon, jika tidak saya habiskan masa di rumah sahaja,’’ katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama, Bukan Cinta Sempurna.
Sebagai seorang ibu, Ziela Jalil melahirkan rasa bersyukur dan memanjat doa kepada Allah kerana memudahkan segala urusannya dan anak-anak di dunia ini.
“Saya bersyukur, dua orang anak saya dah habis belajar dan saya sudah menjalankan tanggung jawab saya sebagai ibu selama ini. Saya juga bersyukur Allah izin saya jalani status sebagai nenek serta mempunyai dua orang cucu.
“Anak bongsu saya, Ibrahim yang nak mendalami bidang agama pun dapat mencapai impiannya. Tak sabar rasanya, tunggu November ini kerana saya akan ke Yaman melawat Ibrahim.”
Menurut Ziela, Biasalah manusia ini tidak pernah puas dengan apa yang telah mereka kecapi. Sekarang saya cuba belajar mensyukuri setiap saat yang Allah pinjamkan ini. Setiap saat saya bersyukur dan nak menikmatinya dengan rasa gembira.
“Saya dah tak nak hidup dalam dunia yang penuh dengan stres…saya nak kurangkan stres kerana segala penyakit bermula daripada stres. Sekarang saya ambil sikap tidak memperdulikan apa yang netizen ingin cakap. Dunia ini makin kita kejar makin tak cukup. Apa yang saya perlukan sekarang adalah kebahagiaan.
“Banyak pengalaman hidup yang telah saya pelajari. Saya hadapi macam-macam dugaan antaranya saya hilang suami masa umur saya 38 tahun…dalam usia saya yang masih muda. Selepas 11 tahun menjadi balu, ada jodoh saya kahwin semula. Apa yang Allah beri kepada saya, saya syukuri dengan sepenuh hati.”
Di zaman kegemilangannya, Ziela Jalil pernah membintangi filem antaranya, Mr Os, Perawan Malam, Ujang, Driving School, Konstabel Mamat, Harry Boy dan Rozana Cinta 87.
Beliau juga pernah membintangi filem-filem Indonesia seperti Tarzan Rimba (bersama Barry Prima), Pancasona, Jurus Dewa Naga dan Pendekar Mata Satu.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.