Oleh Nafsiah Jani
BUAT pertama kalinya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menjadi hos bagi program 1st Asia Pacific Youth Foklore Festival 2023 dengan kerjasama International Council of Organization of Folklore Festival and Folk Arts (CIOFF) Malaysia (rakan rasmi UNESCO).
Festival yang bermula pada 21 hingga 26 September ini turut melibatkan persembahan kebudayaan dan pameran busana tradisional daripada 13 buah negara rantau Asia iaitu China, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Iran, Filipina, Brunei, Sri Lanka, Uzbekistan, Qatar dan Malaysia.
Manakala 10 buah negeri di Malaysia yang terbabit dalam 1st Asia Pacific Youth Foklore Festival 2023 ini ialah Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Johor.
Terdapat lapan (8) jenis program yang diatur sepanjang penganjuran festival berlangsung antaranya persembahan kebudayaan antarabangsa, pocket show disekolah-sekolah yang terpilih sekitar Petalig Jaya, pameran dan jualan produk seni kraftangan dan makanan tradisional, seminar kerjaya seni dan lain-lain lagi.
Kata Datuk Bandar MBPJ, Mohamad Azhan, Selain persembahan kebudayaan, acara kemuncak iaitu Konsert Ceritera secara percuma akan diadakan pada 24 September ini (Ahad) jam 8.30 malam di Laman MBPJ, Petaling Jaya.
Konsert ini bakal menampilkan barisan artis popular tanahair iaitu Ratu Rock Negara, Ella, Ziana Zain, Datuk Awie dan Datuk Hattan. Sudah pasti anda akan terbuai dengan lagu-lagu popular artis kesayangan anda nanti.
Acara tahunan ini sudah semestinya ditunggu warga Petaling Jaya termasuk masyarakat yang berada di sekeliling kawasan Petaling Jaya. Selain menyaksikan persembahan, penonton juga boleh berkaraoke dan menyanyi beramai-ramai mengiringi persembahan artis.
Orang ramai amat digalakkan untuk terus berinteraksi bersama MBPJ di media sosial rasmi MBPJ iaitu di Facebook, MBPJ Instagram dan twitter : pjcitycouncil serta laman sesawang MBPJ.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.