Oleh Nafsiah Jani / Foto Syed Wafa

BILA duduk dengan para artis ini ada sahaja cerita yang ingin mereka sampaikan. Dalam perbualan santai Lady Bosz bersama Aznah Hamid,64, terkeluar ceritanya yang pernah mendapat tawaran membintangi filem Hollywood.

“Masa tu Akak muda lagi. Orang tengah cantik dan tiba-tiba pengurus cakap Akak dapat tawaran berlakon filem Hollywood. Waktu tu tak terkata gembiranya…nak jadi pelakon Hollywood tu. Tapi malangnya pengurus Akak yang sebaya bapa Akak kata tak perlulah terima tawaran kerana wataknya tidak elok…jadi Nun (biarawati).

“Nasib baiklah ada pengurus sebaya bapa Akak. Kalau tak, ikut jiwa muda Akak, Akak terima tawaran… janji Hollywood… bukan peduli pun watak. Akak tak kisah watak apa, asalkan jangan watak bogel dan cium-cium sudah,’’ kata Aznah yang senang membahasakan dirinya dengan panggilan Akak.

Kini sibuk berniaga di Uptown Lorobg Ampang Mampan bersama anak Sabrina dan menantu.

Mungkin wajahnya yang jelita membuatkan pihak produksi Tamilwood juga berminat untuk mengambil Aznah membintangi filem, Priya (1978) bergandingan dengan bintang hebat India, Rajinikanth dan Sridevi.

“Tak dapat Hollywood… Tamilwood pun ok jugak. Masa tu umur Akak 18 tahun. Walaupun tak pandai cakap Tamil dan Bahasa Kannaa. Tapi berbekalkan semangat dan keinginan berlakon, dapat saja skrip, Akak hafal, baca, praktis karakter dan belajar bagaimana cakap slang mereka dengan sendirinya.

“Alhamdulillah. Sebagai heroin, Akak banyak dialog dan syukurlah waktu tu masih muda dan otak masih cerdas dan mudah nak bercakap dan menguasai bahasa tersebut. Tak sangka lepas filem tersebut, Akak dapat lagi tawaran filem Tamil juga namun akak tak dapat terima kerana Akak dah nikah dan tak boleh nak berlakon jauh-jauh selain Malaysia,’’ kata Aznah sambil ketawa teringat kenangan lalu.

Bukan saja filem Tamil, Aznah atau nama sebenarnya, Aznah Abdul Hamid juga banyak mendapat tawaran untuk membintangi filem di Indonesia dan Malaysia. Namun disebabkan sudah mempunyai anak dan suami membuatkan pergerakan dunia lakonan Aznah semakin terbatas.

Menyentuh mengenai penglibatan dalam dunia lakonan sekarang, Tambah Aznah, ibu kepada pelakon, Sheera Iskandar, sepanjang tahun ini dia masih belum berlakon dengan mana-mana produksi.

“Bukan tak ada tawaran. Tapi tawaran dan bayaran tak setimpal dengan lakonan. Ialah berlakon ini adalah kerja. Bila kerja, Akak tak boleh buat benda lain…jadi sudah pasti kita nak bayaran yang berbaloi.

“Lagi satu mungkin pelakon dah makin ramai. Untuk watak makcik atau orang tua mereka lebih suka ambil talent… mungkin bayaran murah kot. Watak tu pula biarlah yang menarik. Tak mahulah yang asal boleh. Pengarah itu juga penting. Kalau pengarah bagus…baguslah lakonan seseorang pelakon itu, tak kira dia `kayu’ atau siapa. Tapi kalau bayaran bagus, akak terima saja.”

Pelakon Wira Angkasa, Aznah kini bersama anaknya, Sabrina aktif berniaga tudung, minyak wangi dan alat solek wanita di Uptown Ampang Point.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan, Aznah pernah membintangi lebih 20 buah filem dan drama.

Hati masih belum terbuka nak berkahwin lagi

Walaupun telah bergelar janda selama lebih 20 tahun, namun sehingga hari ini, hati Aznah masih belum terbuka untuk berkahwin semula.

“Bila dah sibuk dengan kerja dan jaga anak…lama-lama dah terbiasa. Itu sebabnya, kalau nak kahwin semula, Akak kena fikir panjang. Akak tak nafikan, kalau Allah kata jodoh Akak…ada saja alasan ia akan menjadi juga.

Tapi kalau belum jodoh kita Allah tentukan ada juga alasan yang berlaku.

“Menangis lepas bercerai tu biasalah…kadang kerana fikir tak ada suami, kadang ada anak-anak pula buat hal…itu yang sedihnya. Masalah kerja, Alhamdulillah tak ada masalah kerana Akak bukannya seorang pelakon yang ‘demand’ bukan-bukan. Bayaran yang diterima dapat lepas tanggung jawab Akak, dah kira Alhamdulillah.

“Hingga hari ini, komitmen Akak masih banyak lagi. Mana nak bayar rumah, dan lain-lain lagi. Anak-anak ada juga membantu, bila mereka bagi…Alhamdulillah. tapi Akak tak naklah menyusahkan mereka kerana mereka pun bukan senang sangat,’’ kata Aznah yang mempunyai tiga orang anak iaitu Sheera Iskandar, Sabrina dan Boy.

Menurut Aznah pelakon filem Sesejuk Air Mata Ibu itu, selama ini dia kuat kerana memikir untuk membesarkan anak-anaknya.

“Bila ingat nak mencari rezeki untuk anak-anak, kekuatan itu akan datang.

“Dari situ Akak kena jaga kesihatan agar sentiasa sihat untuk mencari rezeki dan tingkatkan ekonomi keluarga. Selain itu, banyak-banyak ingatkan Allah.

“Bila bercerai…siapa lagi yang boleh tolong kita…melainkan Allah. Mintak pada Allah.

“Mintak tolong kawan-kawan ini bahaya. Mereka ada dua jenis manusia. Mereka mendengar dan tolong bantu support kita. Tapi ada pula kawan yang mendengar masalah kita tapi lain pula cerita yang timbul kemudiannya. Itu yang bahayanya.

“Sebab ada pernah rasa kecil hati dengan sesetengah kawan-kawan. Hingga ada satu waktu…Akak hindarkan diri daripada kawan-kawan

Akak buat kerja dan habis kerja banyak luangkan masa bersama anak-anak.”

Bercerita mengenai wanita yang pernah cemburukannya dengan suami mereka, ujar Aznah itu perkara biasa.

“Kawan-kawan semua percayakan Akak dan Akak kawan baik juga dengan suami mereka. Mereka percayakan dia, Akak tak akan kacau suami mereka sebab mereka dah macam adik-beradik.

“Tapi ada orang luar waktu Akak muda dulu cukup takut akak ambil suami mereka hingga sanggup mengintip setiap pergerakan akak. Akak keluar rumah jam berapa, keluar dengan siapa, pakai kereta apa dan macam-macam lagi.

Pernah berlokon bersama Raja Filem Tamil Rajunikanth dan Sridevi dalam filem Priya pada tahun 1978

Bila geram, Akak call dan ajak perempuan itu bawa suaminya dan kami bersemuka. Tapi tak ada pula yang berani nak berdepan.”

Masih Jelita di Usia 60-an

Mungkin ramai yang tertanya-tanya rahsia Aznah menjaga kecantikannya sehingga hari ini. Ini dapat dilihat pada kulit mukanya yang putih bersih tanpa sebarang jeragat seperti masalah yang dihadapi wanita seusianya.

“Tak ada apa rahsia. Yang pasti kalau nak keluar rumah Akak kena pakai sunblock dan yang pastinya kita kena sentiasa berwuduk. Bila sentiasa mencuci muka, sudah pasti muka kita bersih. Malam pun pakai sunblock.

Setiap kali keluar rumah, Akak tetap pakai sunblock, rasa confident lain sangat.

Rajinikanth pernah pelawa Aznah Hamid untuk terus berlakon di India tetapi beliau tolak.

“Dah berusia ini, barulah Akak rajin cuci muka sebelum tidur. Kalau tak dulu masa muda-muda dengan mekap-mekap Akak boleh tidur sebab kepenatan. Tapi sejak umur dah masuk 40-an, Akak dah mula amalkan sunblock. Tanpa sunblock rasa macam tak kena hidup. Akak jarang guna moisturizer sebab ia buat kulit berminyak dan Akak guna serum juga ikut mood,’’ujar Aznah lagi.

Bercakap mengenai pemakanan pula, kata Aznah dia tidak mempunyai masalah mengambil sebarang makanan.

“Setakat ini, Alhamdulillah. Akak tak ada apa-apa penyakit. Akak memang kuat makan. Ibarat makan apa saja…pantang jumpa makanan. Kadang tu, orang yang tengok Akak makan pula yang risau sambil bertanya…Aznah you makan boleh tahan… you tak ada penyakit ke? Sampai begitu sekali mereka risau bila melihat cara Akak makan dalam usia-usia begini.

Previous articleMeriahnya Datin Faridah Raikan Selebriti Terkenal Makan Durian
Next articleIbnor Riza Sebak Dikecam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here