Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Ani Mayuni/Koleksi Syed Wafa
Penyanyi sudah, pelakon drama, teater dan pengacara serta pelawak pun sudah. Kini Ani Maiyuni menyimpan impian terbaru ingin menjadi penyampai radio pula. Baginya ini adalah satu kepuasan apabila dapat mencuba semua bidang yang diminati.
Ani Maiyuni atau nama sebenarnya, Aishah An-Nur Osman,48, sebelum ini pernah jadi pengacara Sinaran Pasport Kegemilangan, Pertandingan Bintang Asli, mengacara, teater dan berlakon pelbagai filem dan drama.
“Dulu saya pernah bercita-cita bila dah cuba semua bidang seni ini, saya nak cuba jadi penyampai radio pula. Saya nak juga cuba bakat saya yang suka bercakap ini. Nak jadi penyampai radio ini mereka perlu ada tone yang berbeza…tak kira penyampai lelaki dan wanita suara mereka cukup sedap dan menusuk kalbu.
“Dulu saya suka dengar radio pada waktu malam. Kadang bila dengar suara penyampai perempuan tu terbayangkan cantiknya mereka dan yang lelaki pula hensemnya orang tu. Itu yang buat dia ingin nak jadi penyampai radio kerana baginya ini adalah bidang yang amat mencabar.

“Penyampai radio yang saya cukup minat ialah Abby Fana, lelaki pula Jamal Jamaluddin, tone suara mereka tak boleh nak digambarkan berbanding sekarang. Sekarang dah mudah nak jadi penyampai radio…tak perlu ada satu tone macam tu…cakap macam biasa saja. Saya tahu ianya susah nak jadi dj ni kerana kita perlu banyak membaca dan kena tahu banyak pengetahuan tentang isu semasa. Bagi saya tak ada masalah sebab saya memang suka belajar. Best jadi penyampai radio ini sebab kita dapat berinteraksi bersama pendengar secara langsung dan dengan cara ini dapatlah saya dekati peminat saya,” kata Ani Maiyuni sambil ketawa.
Menurut Ani, kini dia mempunyai banyak masa bersama keluarga berbanding sebelum ini.
“Kerjaya Alhamdulillah, sekarang taklah sibuk seperti dulu. Sekarang ada banyak masa untuk keluarga. Kini adalah masa untuk memberi perhatian pada anak-anak yang sedang membesar.
“Sebagai ibu bapa memang nak anak-anak ada kerjaya bagus…yang hebat-hebat. Tapi saya dan suami tak paksa…mana minat anak-anak, kami ikut sahaja dan beri panduan saja sebagai ibu bapa,” jelas Ani lagi.

Ani Maiyuni kini bahagia bersama suaminya Zairi Azmi bekas anggota kumpulan Arrow pada 5 Jun 2004. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Wirda Viviana,20, (Universiti TEknologi Mara (UiTM,Shah Alam) Wirna Airisya,16 (aktif bersama Permata Seni Tari) dan Muhammad Emir Oezil,15.
Sebelum bergelar artis rakaman, Ani Maiyuni pernah menyertai Pertandingan Asia Bagus dan merupakan seorang bekas peserta Bintang HMI 1995 bersama Datuk Siti Nurhaliza. Ani Maiyuni juga pernah menyertai kumpulan Sugar. Dan kemudiannya bergerak solo sebagai penyanyi dangdut selepas anggota kumpulannya berpecah.
Ketika zaman persekolahannya di Pulau Pinang, Ani Maiyuni cukup aktif dengan bidang balapan. Namun ketika berpindah ke sekolah di Kuala Lumpur, Ani Maiyuni bertukar minat untuk menjadi penyanyi disebabkan pendedahan dunia hiburan di sekolahnya.
Nama Ani Maiyuni adalah gabungan nama neneknya (Ani) dan datuknya (Maiyuni). Penyanyi lagu Sedap dan Buaya Cinta ini pernah memenangi anugerah Album Dangdut Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-6 tahun 1999 (AIM ke-6).
Ani tak jemu nak cari ilmu Walaupun telah popular dan mempunyai beberapa buah album serta lagu-lagu popular namun itu bukan caranya Ani Maiyuni ingin membangga diri. Baginya setiap apa yang dilaluinya adalah proses pembelajaran buat dirinya.
“Gegar Vaganza (GV), adalah platform buat artis lama kembali ‘bernafas’ dalam industri seni hiburan tanah air. Mungkin orang kata malu masuk GV kalau kalah nanti. Pada saya kalah atau menang adalah adat pertandingan. Kalau nak menang buatlah yang terbaik.

“Sebagai bekas peserta GV, saya sendiri raih pelbagai ilmu baharu daripada setiap juri terbabit. Dulu kita mula menyanyi sebab ada bakat, tetapi kebanyakannya tidak berguru dengan cikgu vokal yang sebenarnya. Tetapi di pentas GV, ada juri yang akan menegur dan bantu perbaiki kelemahan nyanyian dan persembahan kita.
“Itu yang saya suka dan secara tak langsung ia dapat perbaiki diri dan kelemahan saya untuk jadi yang terbaik. Jangan rasa diri kita sempurna, kritik program macam GV. Nak tahu masuk dan rasai sendiri suasana dan rasai sendiri dapat menyanyi di pentas besar pula.
“Namun, secara peribadi, saya tak rasa malu masa menyertai pertandingan reality GV. Sepanjang program ini banyak ilmu baru yang saya dapat dan saya juga berpeluang belajar cara membawakan lagu-lagu yang bukan forte saya, itu kelebihannya,”kata Ani Maiyuni lagi.
Menyentuh mengenai dunia nyanyian dangdut, ujar Ani Maiyuni lagi dia tidak menyesal memilih genre dangdut sebagai bidang nyanyiannya.
“Mungkin orang pandang rendah dunia dangdut ini tapi sebaliknya inilah bidang yang banyak beri saya rezeki dan dapat bertahan hingga ke hari ini. Bayangkan penyanyi lain silih berganti namun kami penyanyi dangdut tetap bertahan dan masih dapat tawaran menyanyi.
“Di Sabah dan Sarawak juga, mereka lebih memilih penyanyi dangdut dan rock untuk mengadakan persembahan. Boleh kata setiap bulan ada juga beberapa show yang kami dapat dan bolehlah nak teruskan kehidupan.”

Sepanjang penglibatannya sebagai artis dangdut, pada tahun 2016, Ani Maiyuni juga pernah dilantik menjadi Setiausaha Agung Persatuan Bintang Dangdut Malaysia.
Sepanjang penglibatannya bergelar penyanyi, Ani Maiyuni pernah tampil dengan album Cantik…Manis’ (1996) – album bersama kumpulan Sugar, Dangdut Goyang Malindo (1997), Ani Maiyuni Terang Bulan, Sedap (1998), Dasar Buaya Cinta (2000) dan Sha La La (2003)- album duet bersama Syikin dan album Dunia Dangdut… Superduet Hits ’98 (1998).
Antara lagu popularnya pula ialah Cantik Manis (1996), Asalkan Bahagia (duet bersama Renggo) (1996), Jangan Tipu Aku (1996), Terang Bulan (1997), Goyang Malindo (1998), Malu Tapi Mahu (1998), Sedap (1998), Aku Cinta Padamu (duet bersama Iwan Syahman) (1999), Apa Maumu? (1999), Dasar Buaya Cinta (2000), Jangan Paksa (2000), Gerai Cinta (bersama kumpulan Senario) (2001) dan Sha La La (Ku Cinta Dia) (duet bersama Syikin) (2003) dan Silaturrahim (duet bersama Syikin) (2003).
Manakala filem lakonan Ani ialah Lagi-Lagi Senario (2001), Paloh (2003) dan Peluang Ketiga (2024). Drama pula yang pernah dibintanginya ialah Spanar Jaya (2000), Berek (2009), Semanis Janji (2010), Gerak Khas, Ustazah Pencen, Kampung Kolestrol, Nenda, Jesnita, Gadis Muzikal dan Malang Si Puteri.
Antara teater yang pernah dibintanginya ialah Puteri Saadong (bangsawan), Dian Berlian, Syurga atau Neraka, Tun Teja, Tun Fatimah, Bomoh Darai, Hantu Ketapang dan lain-lain lagi.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









