Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
SAYA masih ingat ketika di sekolah rendah dahulu, ramai juga kawan yang suka membaca buku cerita klasik “Cinderella” kisah seorang gadis biasa yang berkahwin dengan anak raja.
Walaupun ada yang menganggap itu cerita dongeng tetapi bagi saya selagi ia tidak memalukan sesiapa sekadar hiburan tidak ada salahnya jika mereka membacanya.
Bagaimanapun setelah saya meningkat dewasa dan kemudian menceburi bidang kewartawan, saya terkesima apabila terbaca kisah dua Seniwati legenda yang berkahwin dengan Sultan yang masih berkuasa dan duduk di singgahsana.
Cerita itu bukan dongengan tetapi adalah realiti apabila dua Seniwati ini berkahwin dengan Sultan dan melayari hidup sebagai Permaisuri.

Seniwati legenda pertama ialah Noorizan Mohd. Noor atau lebih dikenali Seniwati Norizan seorang bintang filem Melayu era 1960-an.
Setelah bercerai dengan suaminya, seorang Pegawai Kastam, Noorizan, 27 tahun, telah disunting oleh Sultan Yusuff Izzuddin Shah sebagai isteri kedua baginda pada tahun 1954.
Pada tahun 1955, Noorizan diberi gelaran Yang Teramat Mulia Permaisuri oleh suami beliau, Sultan Yussuff Izzuddin Shah, ayahanda kepada Almarhum Sultan Azlan Shah Muhibbuddin (Sultan Perak ke-34) dan Nenda kepada Sultan Nazri Muizzuddin Shah (Sultan Perak ke-35).
Sebagai tanda kasih dan sayang kepada Permaisuri Noorizan, Sultan Yussuff telah menghadiahkan Rumah Kuning yang terletak di Teluk Anson ( kini Teluk Intan) dan sebentuk cincin biru yang masih tersimpan di Arkib Negara Malaysia
sebagai kenangan cinta baginda terhadap Noorizan.

Rumah ini terletak di Teluk Intan, Perak.
Bagaimanapun usia perkahwinan Noorizan dengan Sultan Yussuff tidak lama apabila Noorizan jatuh cinta dengan P. Ramlee, seorang pelakon yang semakin popular ketika itu. Kisah cinta antara Noorizan amat menggemparkan kerana baginda masih isteri seorang Sultan!
Semuanya terjadi apabila pada tahun 1955, P. Ramlee membuat persembahan di Perak atas titah baginda Sultan. Bagaimanapun sebelum itu, Tuanku telah berpesan kepada Permaisuri Noorizan agar tidak bertentang mata dengan P. Ramlee, kerana seseorang wanita akan jatuh cinta kepadanya.
Sayangnya titah pesanan tuanku ‘dilanggar’ dan apabila Permaisuri Noorizan terkena panahan mata seniman tersebut mereka saling jatuh cinta.
Walaupun hubungan cinta mereka dipisahkan oleh tembuk istana tetapi telefon mengeratkan cinta mereka. Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah tahu akan hubungan ini apabila bil telefon istana melambung tinggi melebihi ratusan ringgit.

Apabila mengetahui hubungan cinta tersebut, Sultan Yussuff menceraikan Noorizan pada tahun 1955. Pada tahun yang sama, Noorizan berkahwin dengan P. Ramlee dengan meninggalkan segala kemewahan yang menyelimuti hidupnya ketika menjadi Permaisuri demi P. Ramlee.
Sebagai tanda cinta dan kasih sayang P. Ramlee buat Noorizan, beliau telah
mencipta sebuah lagu “Tidurlah Permaisuri.”
Sayangnya rumahtangga yang dibina dengan P. Ramlee hanya bertahan selama enam tahun kerana kesibukan P. Ramlee sebagai Pengarah. Mereka bercerai pada tahun 1961 tanpa anak.
Selepas perceraian itu, Noorizan berhijrah ke Kuala Lumpur. P. Ramlee pula berkahwin dengan Saloma dan berpindah ke Studio Merdeka, Hulu Kelang pada tahun 1964.

Sepanjang 29 tahun menjadi pelakon, Noorizan telah membintangi 36 filem dengan filem pertamanya, “Siti Payong” (1962) dan filem terakhir “Bayangan Maut” (1991).
Pada tahun 1972, P. Ramlee mengundang Noorizan berlakon dalam filem arahannya “Laksamana Do Re Mi” sebagai Permaisuri Pasir Dua Butir.
Lakonan Noorizan dalam “Esok Untuk Siapa” sebagai ibu Jiman terbitan tahun 1982 telah melayakkan beliau menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia 1982. Dalam filem tersebut Jins Shamsuddin yang juga pengarah turut berlakon sebagai Jiman.
Sultan Yussuff mangkat pada usia 72 tahun pada 4 Januari 1963 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Sementara Noorizan menghembuskan nafas terakhir kerana darah tinggi pada usia 65 tahun di Hospital Kuala Lumpur pada jam 8.00 malam 15 Mei 1992. Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang.

Sementara itu, Datuk Sri Maria Menado atau Maria Abdullah adalah Seniwati kedua yang berkahwin dengan Sultan.
Beliau begitu popular dengan watak sebagai puntianak dalam filem “Pontianak” (1957) dengan skrip ditulis oleh suaminya, A. Razak Sheikh Ahmad yang juga promoter tinju. Maria Menado dan A. Razak berkahwin pada 1950 dan bercerai pada 1963. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Mutiara dan Sultan.

Populariti dan kecantikan yang dimilikki Maria Menado sehingga beliau digelar sebagai “Wanita Tercantik Malaya” oleh Times Magazine dan “Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara” oleh United Press International.
Selepas kejayaan “Pontianak” (1957) maka terbitlah kesinambungan siri filem berkenaan pada tahun yang sama iaitu “Dendam Pontianak” diikuti “Sumpahan Pontianak” (1958).

Nama anaknya, Mutiara adalah sempena watak Maria Menado dalam filem kedua lakonannya, “Pulau Mutiara” berpasangan dengan Osman Gumanti yang diterbitkan pada tahun 1951.
Populariti yang diraih melalui siri filem “Pontianak” telah meletakkan Maria Menado dipuncak kemasyhuran sehingga beliau ditawarkan watak antoganis disamping Aktor Shammi Kapoor dalam filem Hindi “Singapore.” Filem tersebut menjalani penggambaran di Singapura dan Mumbai.
Dua belas tahun sebagai pelakon, Maria Menado telah berlakon 20 filem termasuk filem terbitan syarikatnya, Maria Menado Production iaitu “Siti Zubaidah” (1961).

Bersandarkan popularitinya, Maria Menado adalah antara seniwati yang diundang ke istana Pahang untuk membuat persembahan pada Hari Keputeraam Sultan. Adalah difahamkan daripada salah satu kehadiran Maria Menado, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin telah melamarnya.
Pada usianya 30 tahun, Maria Menado berkahwin dengan Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin pada tahun 1963. Melayari perkahwinan bahagia Maria dan Sultan, mereka dikurniakan tiga anakanda iaitu Tengku Norashikin Sultan Abu Bakar, Tengku Idris dan Tengku Baharuddin.

Setelah berkahwin, Maria telah meninggalkan terus kerjayanya sebagai ‘bintang filem’ dan semua filem lakonannya tidak boleh ditayangkan di pawagam dan di televisyen.
Sebagai Permaisuri Sultan, Majlis Diraja Istana Pahang memerintah semua filem lakonan Maria tidak dibenarkan ditayang di dalam negeri Pahang!

DUDUK dari kiri: Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah dan Maria Menado pada majlis merasmikan Jembatan Sultan Abu Bakar pada 28 Februari 1970.
Turut kelihatan Allahyarham Tun Abdul Razak dan isteri, Allahyarham Tun Rahah.
Bagaimanapun realitinya, filem lakonan Maria Menado tidak boleh ditayangkan di seluruh negara. Dengan situasi yang dialami, pemilik Cathay Keris, Ho Ah Loke telah membuang semua filem lakonan Maria Menado ke dalam lombong yang tidak digunakan.
Adalah difahamkan Ho Ah Loke membuang semua filem lakonan Maria Menado kerana ia memakan ruang hawa dingin rumahnya dan menjadi punca beliau sering bergaduh dengan isterinya.


Selepas kemangkatan Sultan Pahang, Maria Menado yang menetap di Pekan berpindah ke Kuala Lumpur. Beliau dikatakan pernah memohon kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah agar filem-filem lakonannya dibenarkan ditayangkan semula. Baginda Sultan memperkenankan permintaan beliau, sayangnya filem-filem itu sudah dibuang di lombong yang tidak digunakan.
Pada tahun 1978, Maria Menado ditemukan jodoh dengan Datuk Dr. Mohd. Hussain Yusof. Namun jodoh mereka tidak panjang apabila Dr. Mohd. Hussain menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2000
Kini, Maria Menado hidup bahagia bersama anak-anaknya.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.









