Oleh: Khadijah Ibrahim
MUNGKIN ada di antara anda yang suka dengar lagu “Layu Di Hujung Mekar” dan karya tersebut antara pilihan ramai tatkala berkaraoke. Malah lagu yang dicipta pada 1992 itu memberi nostalagi pada ramai orang dan sebab itu jugalah penyanyi Afieq Shazwan merakam semula lagu nyanyian daripada kumpulan Rio itu pada 2021.
Walaupun lagu tersebut sudah berusia 33 tahun, kalau anda pinta penyanyi asalnya menyanyikan lagu tersebut pada masa sekarang, kedengarannya tetap sama seperti dulu. Suara Shafie Ali atau lebih dikenali dengan nama Shafie Rio tak berubah tatkala mendendangkan lagu tersebut pada usianya 60 tahun.
Asalnya nama kumpulan Rio yang berasal dari Muar, Johor, adalah Maiden Teen Boys dan pada 1987 kumpulan tersebut memilih menggunakan nama Rio. Nama Rio dipilih kerana waktu itu, Aidit (gitaris), menggemari sebuah bandar di Brazil iaitu Rio de Janeiro, lalu disingkatkan menjadi Rio.

Pada waktu itu, selain Aidit, Rio turut dianggotai oleh Shafie (vokalis), Alias (bass) dan Taufiq (dram). Rio merupakan kumpulan muzik pertama yang dipilih untuk menjadi artis di bawah label Fantasia Music City (FMC).
Album pertama Rio berjudul “Dunia 1001” yang dikeluarkan pada penghujung 1992, dan lagu “Layu Di Hujung Mekar” yang terdapat dalam album tersebut menjadi hits dan sekali gus melonjak nama Rio di persada industri muzik Malaysia hingga kini.
Pada 1993, Rio muncul dengan album kedua, “Ceria” dan berjaya terjual sebanyak 200,000 unit dengan hampir kesemua lagu dalam album tersebut hit dan sering diputar di corong radio tempatan. Malah album tersebut turut diiktiraf sebagai album yang mencatat jualan terbanyak di Malaysia pada ketika itu sebelum rekod Rio dipecahkan oleh XPDC pada 1994 menerusi album “Kita Peng-Yu”.
Album ketiga Rio yang berjudul “Ikhlas” dikeluarkan pada 1995 dan lagu popular daripada album tersebut adalah “Apa Sebabnya”. Selepas album tersebut dikeluarkan, Shafie mengambil keputusan untuk mengundur diri dan anggota lain juga membawa haluan masing-masing.

Lain-lain album yang dikeluarkan oleh kumpulan Rio adalah “Kembali Menyerlah” (1996) dan “Rio – Kenangan” (2007).
Namun pada 2024, Shafie kembali bersatu sebagai vokalis dengan anggota Rio terkni iaitu Alias (bass), Man (gitar utama), Hazel Desmond (gitar kedua), Taufiq (dram).
Shafie yang pernah menyertai program ‘Gegar Vaganza’ musim kelima pada 2018, bakal menjayakan Konsert Nostalgia Rockestra 90-an di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 27 September ini.
Konsert anjuran 211 Event Empire itu bakal menggandingkan Shafie bersama penyanyi rock popular era 90-an yang lain iaitu Blank Gamma, Aan (Ways), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Azan (Scan), Afee (Utopie), Wom (UG14) dan Aju (Success).

“Alhamdulillah, walaupun sekarang ini ramai penyanyi atau kumpulan baharu, rezeki untuk orang lama seperti saya masih ada. Saya bersyukur kerana lagu-lagu Rio masih menjadi pilihan ramai termasuklah generasi muda.
“Disebabkan lagu-lagu lama masih menjadi pilihan ramai dan kalau buat show pun penonton tetap nak dengar lagu “Layu Di Hujung Mekar”, jadi tidak ada keperluan untuk saya dan Rio mengeluarkan lagu baharu untuk masa sekarang,” katanya.
Selain lagu-lagu dendangannya terus kekal di persada seni tanah air, kehadiran Shafie dalam industri hiburan pun masih relevan. Mungkin penyanyi lama tidak ‘pandai’ cipta kontroversi untuk dikenali, namun rezeki mereka tetap ada.
Akui Shafie, sehingga kini ada saja tawaran untuknya menyanyi di majlis-majlis makan malam atau korporat. Dek rezeki yang tak putus-putus itulah Shafie tidak pernah terfikir untuk berhenti daripada berkarya.
“Alhamdulillah, ada saja tawaran untuk saya. Di waktu yang sama saya juga berniaga, kek buah kukus gula hangus yang dimasak oleh isteri. Saya sering mengikuti festival jualan kerana dengan cara itu saya dapat bertemu dengan peminat.

“Saya amat menghargai peminat yang sentiasa menyokong saya bersama kumpulan Rio sejak dulu hingga kini. Selagi ada kudrat dan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah, saya akan terus menyanyi kerana itu saja bakat yang membantu saya untuk menjana pendapatan,” katanya tanpa berselindung.
Selain menyanyi, Shafie juga amat disenangi ramai kerana di mana saja dia berada pasti akan kedengaran gelak tawa. Ini kerana Shafie adalah antara orang yang melatah.
Dek melatah itulah, Shafie sering menjadi mangsa ‘buli’ rakan-rakan dan suka melihat gelagatnya tatkala melatah. Walaupun kepenatan, dia tidak dapat mengelak diri daripada menjadi usikan teman-teman.
“Masa saya sertai ‘Gegar Vaganza’, awal-awal saya sudah beritahu produksi, jangan nak pasang api atau apa-apa yang boleh menganggu fokus saya.
“Alhamdulillah, kru faham dan sebab itulah bila saya menyanyi tak ada props sampingan. Setakat ini sepanjang saya mengadakan persembahan, belum ada lagi perkara yang memalukan. Apapun saya bersyukur kerana ‘kelemahan’ itu sentiasa terjaga sewaktu berada di pentas,” katanya yang mudah mesra dengan siapa sahaja.

LAYU DI HUJUNG MEKAR
Haruskah ku terus melayani perasaan
Meski pun ku tahu ini hanyalah khayalan
Cintaku padamu haruskah aku teruskan
Kerana ku tahu dirimu sudah berteman
Tiada ertinya
Apakah akhirnya percintaan
Pohon cinta yang dulu mekar berbunga
Kini tandus tiada bermaya
Bunga cinta yang dulu mekar mewangi
Kini layu di pusara bumi
Tidak mungkin kembang lagi dan berseri
Cintaku padamu haruskah aku teruskan
Kerana ku tahu dirimu sudah berteman
Tiada ertinya
Apakah akhirnya percintaan
Pohon cinta yang dulu mekar berbunga
Kini tandus tiada bermaya
Bunga cinta yang dulu mekar mewangi
Kini layu di pusara bumi
Tidak mungkin kembang lagi dan berseri
Pohon cinta yang dulu mekar berbunga
Kini tandus tiada bermaya
Bunga cinta yang dulu mekar mewangi
Kini layu di pusara bumi
Tidak mungkin kembang lagi dan berseri

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









