Beberapa orang seniwati legenda dahulu bukan setakat boleh berlakon malah ada yang memiliki suara yang lunak didengar dan boleh menyanyi dengan baik.

Oleh: SYED WAFA

Foto: Koleksi Syed Wafa

APABILA kita bercakap mengenai seniwati dahulu sesuatu yang tidak boleh kita abaikan kerana mereka memiliki pelbagai bakat dalam bidang seni.

Beberapa orang seniwati dahulu bukan setakat boleh berlakon malah ada yang memiliki suara yang lunak didengar dan boleh menyanyi dengan baik.

KE MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Itulah peribahasa yang sesuai untuk anak-anak Seniman dan Seniwati Shaw Brothers yang berbakat sebagai penari sejak remaja lagi.
DARI kiri: Saadiah (anak Harun Omar), Rugayah (anak Ahmad Mahmud), Seri Rahayu (anak S. Sudarmaji), Fatimah Ghaus, dan Haslinda (anak Mariani).

Bukan itu sahaja sebaliknya ada yang bermula sebagai penari dan boleh menari dengan lenggok dan lemah gemalai akhirnya diberi peluang berlakon dan hakikatnya bakat mereka memang versatile.

Mereka menari bukan setakat untuk mencantikkan babak dalam sesebuah filem malah lenggok badan dan gerak tangan yang lemah gemalai mampu mencantikkan sesebuah babak tarian dalam filem berkenaan.

Dua Gambar atas: Seniwati Minah Yem bukan sahaja dikenali sebagai pelakon malah beliau adalah Penari Ballet berbakat!
Gambar bawah dari depan: Minah Yem, Aini Jasmin, Siti Tanjong Perak dan Mak Dara…menunjukkan kehebatan mereka sebagai penari!

Diantara Seniwati yang boleh menari dengan cantik dan berbakat sebagai pelakon adalah Seniwati Rahmah Rahmat, Seniwati Normadiah, Seniwati Saadiah, Seniwati Minah Yem, Seniwati Aini Jasmin dan Seniwati Mak Dara.

Rahmah Rahmat mula diperkenalkan dalam dunia filem pada usia 10 tahun sebagai pelakon kanak-kanak dalam filem “Sengsara” (1953) melakonkan watak Seniwati Normadiah ketika kecil.

TIGA keping gambar ini menunjukkan Seniwati Hashimah Yon bukan setakat hebat sebagai pelakon malah beliau juga berbakat sebagai penari walaupun tidak sehebat Seniwati Rahmah Rahmat!

Bakat beliau bukan setakat berlakon malah menari dan menyanyi. Beliau pernah berduet dengan Seniman Ahmad Mahmud dalam lagu “Selendang Sayang.”

Bagaimanapun kehadirannya sebagai penari dalam satu babak filem “Nujum Pa’ Blalang” dengan lagu “Ketipang Payong” (nyanyian Saloma) benar-benar meninggalkan kenangan kepada para peminat filem Melayu.

RAHMAH Rahmat menari sambil menyanyi dalam babak filem “Nujum Pa’ Blalang.”

Melihat gerak badan dan tangannya yang lembut mengikuti irama lagu dalam babak sesebuah filem, sememangnya Rahmah Rahmat bukan calang-calang penari. Beliau menjadi penari dalam kebanyakan filem-filem terbitan MFP (Malay Film Productions) sekitar tahun 1950-an.

Seniwati Normadiah yang terkenal dengan watak antoganis memulakan kerjaya seni sebagai guru tari dan penyanyi bangsawan apabila berhijrah ke Singapura pada tahun 1940-an.

DUA gambar atas: Rahmah Rahmat dalam babak menari sambil ‘menyanyikan’ lagu “Ketipang Payong” dalam filem “Nujum Pa’ Blalang.”
Gambar bawah: Rahmah Rahmat dalam satu babak menari dalam filem lakonannya.

Selama lima dekad dalam dunia lakonan, Normadiah yang dianggap sebagai pelakon serba boleh yang berjaya menjiwai dengan baik apa juga watak yang diberikan kepadanya selain bertanggungjawab sebagai pereka tarian-tarian tradisional Melayu dalam filem-filem terbitan Shaw Brothers.

Berbekalkan bakat dan pengalamannya itu, maka lahirlah kumpulan Penari Normadiah yang sering menghiasi program hiburan terbitan RTM sekitar tahun 1980-an sehingga awal 1990-an.

SENIWATI Rahmah Rahmat dan Seniwati Hashim Yon…bukan sahaja berkawan baik sejak remaja malah mereka mula berlakon sejak kecil dan berbakat dalam bidang senitari.
Sementara Seniman Salleh Kamil, walaupun sentiasa melakonkan watak ‘jahat’ dalam filem tetapi di luar kerjayanya beliau selalu membuat teman-teman ketawa dan bahagia.
Beliau juga sahabat yg baik
(pernah menolong P.Ramlee bawa Nasir balik ke Penang apabila bekas isterinya, Junaidah Haris dari Indonesia datang ke Studio Jalan Ampas bersama peguam untuk menuntut hak penjagaan terhadap Nasir.)

Kehebatan Seniwati Saadiah menjiwai setiap watak dalam filem-filem lakonannya tidak perlu dipertikaikan dan beliau dianggap antara ‘Ratu Filem Melayu’ di zaman kegemilangan filem Melayu sekitar 1950-an sehingga akhir 1960-an.

Namun di sebalik bakat lakonannya, Saadiah juga adalah seorang penari yang hebat sehingga lahirlah kumpulan Penari Saadiah.

DALAM kenangan: Berdiri dari kiri…Atan Samad (suami Saadiah, Syed Hassan Al- Shahab (suami Normadiah) dan S. Sudarmaji.
Duduk dari kanan: Normadiah, Ibrahim Pendek dan Saadiah.

Penari Saadiah memang cukup terkenal sekitar tahun 1970-an sehingga 1980-an yang sering diundang menyerikan rancangan hiburan terbitan RTM.

Sementara itu, apabila sebut nama Seniwati Aini Jasmin, pasti di minda anda terbayangkan watak lakonannya dalam filem komedi antaranya “Pendekar Bujang Lapok” (1959) dan “Antara Dua Darjat” (1960).

Walaupun babak lakonannya sebagai Aeni, orang gaji di rumah Pendekar Mustar dalam filem “Pendekar Bujang Lapok” tidak begitu banyak tetapi babaknya tolong membacakan ‘surat’ Cik Ros untuk tiga bujang lapok memang lekat di hati penonton. Begitu juga wataknya sebagai Puteh, orang gaji Tengku Mukri dalam filem “Antara Dua Darjat.”

Seniwati Aini Jasmin juga asalnya seorang penari.

Melihat dua watak lakonannya itu, kita dapat jawapan mengapa beliau menjadi orang gaji dan yang pasti bentuk badannya yang gemok membuatkan beliau menjadi orang gaji.

Tetapi tahukah anda di awal kemunculan Aini Jasmin dalam filem-filem Melayu beliau menjadi penari!

Seniwati Aini Jasmin memulakan kerjayanya sebagai penari dalam filem “Kembar” dan “Dewi Murni” pada tahun 1950 dengan pertolongan kawannya bernama Roseminah.

RAHMAH Rahmat…penari berbakat dan seniwati diminati ramai.

Semuanya bermula apabila beliau dikunjungi sahabat baiknya, Roseminah.

“Pada satu hari, kawan saya Roseminah telah membawa saya ke Studio Jalan Ampas dan diperkenalkan dengan Kak Bobby. Kak Bobby bertanya saya sama ada boleh menari atau tidak. Apabila saya jawab boleh terus diambil saya menjadi penari dalam filem-filem terbitan MFP.

“Tetapi apabila bentuk badan berubah dan mula berisi…kemudian menjadi gemuk, saya diberi watak sebagai mak, makcik atau orang gaji.

SENIWATI Saadiah…primadona filem Melayu bukan sahaja berbakat sebagai pelakon malah beliau adalah koreografer tarian paling hebat hingga tertubuhnya kumpulan Penari Saadiah!

“Sebenarnya saya buat exercise tetapi bukan menjadi kurus sebaliknya semakin gemuk,” cerita Aini Jasmin yang telah membintangi 50 filem.

Seniwati Minah Yem dianggap hebat dan istimewa kerana disamping melakonkan watak emak-emak dan komedi beliau mempunyai bakat yang dianggap ‘outstanding’ dan diberi gelaran ‘The Shirley Temple of Malaya.’

Minah Yem yang sering diberi watak sebagai pereka tari, dayang, mak bidan, penari, pelawak dan nenek kebayan pernah dilantik sebagai jurulatih kumpulan penari diraja.

NORMADIAH bukan sahaja hebat sebagai pelakon malah beliau juga berbakat sebagai penari sehingga tertubuhnya Penari Normadiah.

Walaupun sering membawa watak sedemikian tetapi Minah Yem mempunyai keistimewaan tersendiri.

Sebabnya di sebalik bentuk tubuhnya yang kecil tersembunyi bakat terpendam kerana di zaman remajanya, Minah Yem pernah terlibat dan berbakat sebagai penari ballet!

Selain Minah Yem, turut berbakat sebagai penari adalah Seniwati Mak Dara dan Seniwati Siti Tanjung Perak.

SENIWATI versatile…Normadiah bukan sahaja dikenali sebagai pelakon hebat malah beliau berbakat sebagai penyanyi dan koreografer untuk tarian dalam filem dan Penari Kumpulan Normadiah!

Bakat kedua seniwati ini dalam dilihat dalam satu babak dari filem “Jalak Lenteng” yang mana selain Minah Yem dan Aini Jasmin kelihatan Mak Dara dan Siti Tanjung Perak turut menari sama.

Begitulah hebatnya seniwati legenda filem Melayu. Bakat mereka bukan setakat berlakon malah boleh menari dan ada yang boleh menyanyi.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh Seniwati ‘yang telah pergi’ sentiasa di cucuri rahmat…Amin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here