Image by Freepik

Oleh: Nury Kadir

Masalah hutang sebenarnya cukup membebankan. Seboleh-bolehnya semua orang tidak mahu berhutang, namun disebabkan desakan hidup berhutang adalah jalan penyelesaian yang dapat membantu sesetengah orang keluar daripada masalah kewangan atau dapat menikmati serta membeli barangan yang diidamkan sekian lama.

Berhutang juga memang sedap namun waktu untuk membayarnya cukup menyeksakan bagi mereka yang pendapatannya ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Bagi membantu anda menyelesaikan segala masalah berkaitan hutang, dibawah ini diturunkan beberapa doa daripada Rasulullah yang berkaitan dengan hutang.

Pertama berusaha untuk tidak terlibat dengan hutang semampu yang boleh. Kedua, berdoalah agar diri dipelihara Allah daripada masalah hutang. Sedangkan Rasulullah SAW pun sentiasa berdoa, inikan kita hamba Allah yang serba kekurangan sudah tentu amat memerlukan doa.

Berikut adalah doa Rasulullah SAW memohon perlindungan Allah daripada masalah hutang seperti yang tercatat di dalam www.muftiwp.gov.my.

Perlindungan dari masalah hutang

Rasulullah SAW bersabda;

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَ سَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَلَاةِ : اللهمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَاْثَمِ وَ المَغْرَمِ. فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ تَسْتَعِيذُ مِنَ المَغْرَمِ. فَقَالَ: إِنَّ الرَجُلُ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ.
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW berdoa selepas daripada menunaikan solat, “Ya Allah SWT, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan banyak hutang. Lalu ada yang bertanya kepada Rasulullah SAW, “Kenapakah engkau selalu meminta perlindungan dalam masalah hutang?” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Jika orang yang berhutang berkata-kata, dia akan selalu berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari.” (HR al-Bukhari)

Doa melangsaikan hutang

Hadis Abu Said al-Khudri RA. Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: “Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!” Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.” Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.” (HR Abu Daud)

Doa daripada kesusahan hutang

Hadis ‘Aisyah R.Anha. Bahawa ‘Aisyah R.Anha memberitahu, bahawa Nabi SAW berdoa dalam solat sebelum salam:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah Dajjal, dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah semasa hidup dan saat kematian. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari dari perbuatan dosa dan kesusahan hutang.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyebut bahawa makna bagi kalimah maghram ialah dain iaitu hutang. Dikatakan yang dikehendaki dengan al-Maghram ialah apa yang diperhutangkan sama ada perkara harus atau tidak, kemudian orang yang berhutang tidak mampu untuk membayarnya.”

Photo by Photo By: Kaboompics.com: https://www.pexels.com/photo/woman-in-blue-long-sleeve-blouse-near-the-money-on-table-7680366/

Doa agar terlepas daripada kefakiran

Daripada Suhail, beliau berkata: “Abu Soleh memerintahkan kepada kami apabila salah seorang di antara kami hendak tidur, hendaklah berbaring sebelah kanan kemudian mengucapkan:
اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ
Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menguasai langit ketujuh-tujuh langit, Tuhan yang menguasai ‘Arsy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan kepada segala sesuatu. Tuhan yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, Tuhan yang menurunkan Taurat, Injil dan Furqan (Al-Quran). Aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada segala kejahatan sesuatu yang Engkau memegang rambut hadapannya (yakni semua makhluk dibawah kekuasaan Allah). Ya Allah! Engkau-lah yang awal, sebelum-Mu tidak ada sesuatu. Engkaulah yang terakhir, setelah-Mu tidak ada sesuatu. Engkau-lah yang Zahir, tidak ada sesuatu di atas-Mu. Engkau-lah yang Batin, tidak ada sesuatu yang terlepas daripada-Mu. Langsaikanlah hutang kami dan berilah kepada kami kekayaan hingga terlepas daripada kefakiran.” (HR Muslim)

Imam Nawawi rahimahullah menyebut: “Yang dikehendaki dengan maksud hutang adalah kewajiban pada Allah SWT dan kewajiban terhadap hamba seluruhnya, ianya merangkumi segala macam jenis kewajiban.”

Doa agar dicukupkan dengan yang halal

Hadis Ali RA. Daripada Ali RA, bahawa seorang hamba mukatab telah datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melangsaikan hutang perjanjian dengan tuan aku (perjanjian kitabah iaitu antara hamba dengan tuannya untuk pembebasan dirinya), maka tolonglah aku! Maka Saidina Ali RA berkata: “Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu doa yang telah Rasulullah SAW ajarkan kepada mereka. (Iaitu) Jika kamu dibebani hutang yang setinggi bukit, Allah akan selesaikanya untuk kamu? Saidina Ali berkata: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan dengan yang halal dan jauhkanlah aku daripada yang haram, dan cukupkanlah aku dengan kurniaan-Mu daripada bergantung kepada selain-Mu.” (HR al-Tirmizi -Hadis hasan sahih)

Semoga apa yang dikongsikan di sini memberi manfaat. Jika ada yang mempersoalkan berhutang itu adalah kemahuan dan pilihan sendiri kenapa perlu berdoa kepada Allah agar terhindar daripada hutang? Satu yang perlu kita faham, segala-galanya yang kita miliki adalah milik Allah termasuk kemahuan dan pilihan. Hati kita milik Allah, meminta kepada Sang Pemilik hati itu adalah paling afdal. Memintalah dengan doa, merayulah dan merintihlah hanya kepada Allah, sesungguhnya Allah suka hamba-Nya yang meminta-minta kepada-Nya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here