Oleh: Khadijah Ibrahim
SEBAGAI vokalis kumpulan Bunkface, orang lebih mengenalinya sebagai Sam Bunkface walaupun nama sebenarnya ialah Shamsul Annuar Mohd Baharum, 38.
Selepas sekian lama bersama Bunkface, Sam yang merupakan seorang penyanyi, komposer dan pemuzik itu mengambil langkah berani tampil sebagai artis solo dengan nama Samsol menerusi pelancaran single sulungnya, “Borak”.
“Borak” yang menggabungkan melodi pop yang catchy dengan mesej yang sangat dekat dengan realiti sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital.

Lagu ini menceritakan tentang pasangan suami isteri atau pasangan kekasih yang sedang mengharungi suka duka hidup, dengan kejujuran dalam komunikasi sebagai kunci kebahagiaan bersama.
“Saya tulis “Borak” sebab saya rasa sangat penting untuk pasangan, terutama yang sudah lama bersama, untuk terus bercakap secara jujur dan terbuka. Kadang-kadang, borak yang paling simple pun boleh buat hubungan terus kuat,” kata Samsol.
Lagu ini mungkin ditulis berdasarkan pengalaman kerana Samsol sendiri pernah mengalami kegagalan dalam rumah tangga yang dibina bersama Aida Azira Husin pada 2015 dan bercerai pada 2019, kemudian mendirikan rumah tangga dengan Puteri Eifa Ezrin Mohd Kushairi pula pada 2020.

Peminat pasti mengenali suara dan gaya penuh tenaga Samsol, tetapi “Borak” menampilkan sisi lebih peribadi, di mana dia berkongsi pandangan tentang cinta, komunikasi, dan realiti dalam perhubungan rumah tangga.
Perjalanan solo Samsol dijangka membawa semangat Bunkface ke arah lebih matang, dengan cerita-cerita yang lebih mendalam dan penuh keikhlasan, sambil mengekalkan muzik yang catchy dan dekat di hati.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









