Oleh: Khadijah Ibrahim
MEMANG betul muzik itu tiada sempadan dan mampu menyatukan sesiapa saja. Justeru itulah tiga artis dari Malaysia (Aisha Retno), Brunei (Aziz Harun) dan Indonesia (Nadhif Basalamah) bergabung dalam satu karya menerusi single “Kota Ini Tak Sama Tanpamu”.
Ketiga-tiga mereka bukan sekadar menyanyi, malah masing-masing adalah pencipta lagu ini yang dihasilkan pada 2024. Lagu penuh emosi ini membawa makna bahawa sebuah kota bukan sekadar latar tempat, tetapi cerminan perasaan dan perjalanan hidup kita.
Deskripsi tentang lagu ini adalah berkisar tentang sebuah kota boleh terasa pudar atau penuh warna, semuanya bergantung pada siapa yang bersama kita ketika itu.
Walaupun berada di kota perantauan, orang-orang yang menemani dan memahami kita memberikan rasa nyaman dan keterikatan. Kerana rumah itu bukanlah soal lokasi, tetapi tentang siapa yang ada di sisi.
Sebenarnya, lagu ini tercipta secara spontan ketika kunjungan singkat Nadhif ke Kuala Lumpur sempena Hari Raya Aidiladha tahun lalu. Dalam sesi santai di studio Faithful Music, dia bertemu dengan Aisha dan Aziz tanpa dirancang dan mereka mula menulis lagu tersebut.
Beberapa bulan kemudian, Aziz dan Aisha terbang ke Bali untuk bertemu Petra Sihombing, penerbit terkemuka Indonesia, bagi merakam versi awal lagu ini. Rakaman akhir disempurnakan secara berasingan di negara masing-masing sebelum disatukan oleh Petra.

Petra Sihombing bukan nama asing dalam industri muzik Indonesia kerana dia adalah seorang penyanyi, penulis lagu dan penerbit yang pernah bekerjasama dengan Bernadya, Isyana Sarasvati, Raisa dan ramai lagi.
Sentuhannya dikenali kerana moden, segar dan penuh emosi, menjadikan “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” sebuah karya pop yang istimewa dari awal hingga akhir.
Bagi Aisha Retno bekerjasama dengan penyanyi dari Brunei dan Indonesia itu ibarat bekerjasama dengan teman lama.
“Bekerja dengan Nadhif dan Aziz memang rasa macam pertemuan kawan lama walaupun ini kali pertama kami bertiga berkolaborasi. Lirik lagu ini ada rasa manis dan sedikit ‘cheeky’ bila seseorang cuba memujuk untuk sambung cuti di kota itu.
“Saya rasa semua orang pernah lalui perasaan itu, bila kita jatuh cinta dan tidak mahu masa itu berakhir. Dengan lirik yang menyentuh hati, harmoni vokal yang lembut, dan produksi pop kontemporari, “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” menangkap rasa rindu yang membuatkan sebuah kota terasa berbeza tanpa insan istimewa di sisi,” kongsi Aisha tentang pembikinan lagu ini.
Sementara itu, Aziz Harun yang sebelum ini pernah berduet dengan Aisha menerusi lagu “Jarak” dan “Ketipak Ketipung Raya” melahirkan rasa gembira kerana dapat bekerjasama lagi dengan teman baiknya itu.
“Secara peribadi, lagu ini buat saya teringat semua kenangan indah bersama kawan-kawan rapat di Kuala Lumpur (KL), saat kita tak mahu hari tersebut berakhir. Sebagai seseorang yang baru tinggal di sini, saya sedar KL mempunyai pesona yang sangat istimewa.
“Jadi bila Nadhif datang dengan idea menulis tentang KL untuk pasangannya (kini tunang), saya rasa saya faham betul apa yang dia maksudkan. Proses rakaman di Ubud, Bali dengan Petra juga sangat menyenangkan.
“Satu pengalaman yang saya tak lupa adalah ketika saya, Nadhif dan Aisha keluar rehat sekejap dan bila kami masuk semula ke studio Petra sudah siap hampir semua gubahan muzik termasuk solo gitar,” kongsinya.
Bagi Nadhif Basalamah pula, tak sangka mahu menghabiskan masa di Kuala Lumpur ternyata membawa tuah kepadanya.
“Lagu ini bermula dengan sangat santai dan natural. Waktu itu saya cuma mahu menghabiskan masa di KL sambil menulis lagu bersama kawan baharu. Tak sangka idea kecil di studio itu berkembang menjadi sebuah lagu yang kini menghubungkan tiga negara. Saya sangat bersyukur kerana Aisha dan Aziz dapat membawa emosi dan warna mereka sendiri ke dalam lagu ini,” katanya yang senang bekerjasama dengan Aisha dan Aziz itu.
Lagu penuh emosi ini boleh didengarkan dan dimuat turun di Spotify, Apple Music, YouTube Music, Deezer dan semua platform penstriman digital utama serta pautan lirik video: https://youtu.be/g3ON3-PUIek?

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









