Oleh: Khadijah Ibrahim
SEMPENA sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang disambut pada 25 Ogos lalu, ADLA Group Sdn. Bhd., menganjurkan Anugerah Worthy Wonder Women 2025 bagi meraikan golongan wanita yang mencapai kepimpinan luar biasa.
Seramai 10 wanita tersohor dari pelbagai bidang seperti usahawan, pendidik, pembina komuniti, penyokong untuk pengiktirafan dan pemerkasaan yang memberi inspirasi telah dikenal pasti untuk menerima anugerah tersebut.
Pengasas ADLA Group Sdn. Bhd., Datin Dr. Leez Hassan berkata, penganjuran acara yag membawa tema ‘Celebrating Women’s Success’ itu menekankan misi untuk menghargai kekuatan yang tenang, daya tahan harian dan kepimpinan yang diterajui wanita yang sering tidak kelihatan.
Ujarnya, platform tersebut bukan sekadar majlis penghargaan tetapi juga peringatan bahawa sumbangan wanita membentuk generasi dan memberi inspirasi kepada perubahan masyarakat yang berkekalan.
Penerima tersebut dibahagikan kepada 10 kategori iaitu, Anugerah Worthy Youth Creative yang diberikan kepada pengasas FM Media Communication dan penerbit majalah The CEO Malaysia, Ema Malina Abu Bakar.

Kategori Anugerah Worthy Promise of Home diberikan kepada pelakon Zarina Zainuddin yang mempunyai anak autism. Sikap keterbukaannya dalam berkongsi perjalanan keluarganya secara tak langsung memberi inspirasi kepada ramai orang.
Seorang lagi pelakon yang turut menerima anugerah adalah Dr. Soo Wincci yang diangkat menerusi Anugerah Worthy Community Impact. Selain berlakon, Soo Wincci merupakan seorang pendidik dan usahawan yang sumbangan akademik dan kreatifnya memperkasakan belia serta komuniti.
Manakala Pengarah Urusan LSFP Sdn. Bhd., Laila Johari diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Worthy Mentor kerana beliau adalah pelopor dalam bidang insurans dan bimbingan.
Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa yang merupakan pendakwah, pendidik serta pengasas Madinatul Huffaz, menerima Anugerah Worthy Heart of Wisdom.

Pengasas bersama yang juga Timbalan Naib Canselor Unversiti Binary, Puan Sri Datin Profesor Dr. Rohini Devi Joseph pula merupakan penerima Anugerah Worthy Visionary.
Sementara itu, pengasas Sekolah Cempaka dan perintis dalam Pendidikan swasta, Dato’ Freida Mohd Pilus diangkat sebagai penerima Anugerah Worthy Entrepreneurship.
Untuk Anugerah Worthy Leadership, penerimanya ialah DCP (B) Dato’ Fatimah Abdul Hamid, pegawai kanan polis bersara, dihormati kerana khidmat, kepimpinan dan advokasinya.
Manakala, Dato’ Dr Colin Lee yang merupakan perintis perubatan serta pengasas Alpha IVF & Women’s Specialists dan Kuala Lumpur Wellness City menerima Anugerah Worthy Inspirational.
Penghargaan terakhir yang diberikan pada hari tersebut adalah Anugerah Worthy Woman Icon yang menjadi milik Pengerusi LPPKN yang juga pejuang kebajikan wanita serta pembangunan keluarga iaitu Dato’ Sri Rohani Abdul Karim.
Anugerah Worthy Women 2025 kekal sebagai mercu tanda pemerkasaan meraikan wanita bukan hanya atas kejayaan mereka tetapi atas keberanian, belas ihsan dan sumbangan mereka yang mengubah keluarga, komuniti dan negara.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









