Oleh: Khadijah Ibrahim
BAGI peminat Bollywood, kalau sebut nama filem ‘Coolie’ atau ‘Coolie No.1’, pasti anda sudah tahu siapa yang terlibat dalam filem tersebut. Walaupun judulnya sama tapi kedua-dua karya tersebut bukanlah sekuel dan tidak ada kaitan antara satu sama lain.
Filem ‘Coolie’ yang diterbitkan pada 1983, arahan Manmohan Desai dan skrip oleh Kader Khan merupakan filem Hindi aksi komedi, lakonan Amitabh Bachchan yang melakonkan watak Aslam Khan itu mendapat sambutan hangat.
Pada 1995, terbit pula filem ‘Coolie No.1’ yang diarah oleh David Dhawam, manakala lirik dihasilkan oleh Rumi Jaffery bersama Kader Khan. Kali ini aktor Govinda pula sebagai peneraju utama, Raju Coolie bergandingan dengan Karisma Kpoor sebagai Malti Choudry.

Walaupun ‘Coolie No.1’ merupakan filem yang dibikin semula berdasarkan filem Tamil, ‘Chinna Mapillai’ (1993) ia tetap mendapat sambutan hangat.
Filem ‘Coolie’ terkini yang sedang ditayangkan di pawagam tempatan adalah filem Tamil yang diarahkan oleh Lokesh Kanagaraj dan diterbitkan oleh Kalanithi Maran. Kali ini, Malik Streams memiliki hak penuh sebagai pengedar rasmi untuk filem box office, “Coolie”, yang dikeluarkan di seluruh negara sejak 14 Ogos 2025.

Filem thriller aksi itu menampilkan aktor hebat Padma Bhushan Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao Gaikwad, 75, sebagai Devaraj ‘Deva’. Manakala pelakon Aamir Khan pula membuat penampilan istimewa dalam filem ini sebagai Dahaa di akhir filem.
Lain-lain pelakon yang menjayakan filem ‘Coolie’ adalah Nagarjuna Akkineni, Soubin Shahir, Upendra, Shruti Haasan, Sathyaraj, Rachita Ram dan Pooja Hegde.
Peminat menganggap penampilan kameo Aamir Khan dianggap membazirkan bakat pelakonn itu sahaja kerana kemunculannya kira-kira 15 minit sahaja.

Dalam satu temu bual Aamir berkata, dia bersedia berlakon dalam filem ‘Coolie’ walaupun kemunculannya singkat kerana rasa hormatnya kepada Ranjinikanth dan di waktu yang sama mahu berkongsi filem dengan aktor tersohor itu.
“Saya tidak meletakkan sebarang bayaran untuk muncul dalam filem tersebut. Bagi saya, peluang dapat berlakon dengan Rajinikanth itu sudah merupakan hadiah besar untuk saya. Saya hanyalah pelakon undangan dan saya kagum dengan lakonan Rajinikanth dan Nagarjuna. Mereka ini adalah hero sebenar untuk filem tersebut,” katanya.
Filem yang awalnya (2023) diberi judul ‘Thalaivar 171’ sempena filem ke-171 lakonan Rajinikanth sebagai hero. Namun pada April 2024, filem berdurasi 170 minit itu secara rasmi diberi judul ‘Coolie’.

Sejak ditayangkan di pawagam seluruh dunia, filem ini menerima pelbagai ulasan sama ada positif mahupun negatif. Biarpun begitu, filem ini berjaya mencatat kutipan tertinggi di dunia untuk tayangan hari pertama di pawagam untuk filem Tamil.
‘Coolie’ ialah filem drama aksi berlatar belakangkan dunia buruh dan pelabuhan. Ia meneroka tema kesetiaan, pengorbanan dan kelangsungan hidup. Filem ini menggabungkan unsur aksi, drama, dan perjuangan dengan naratif yang kukuh.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









