Oleh: Nafsiah Jani
Nafas berbau cukup memalukan. Malah keadaan ini akan menyebabkan seseorang itu merasa rendah diri kerana malu dengan keadaan dirinya.Tidak dinafikan, ada yang menyedari bau mulut busuk dan cuba mencari jalan penyelesaian.
Bau mulut disebabkan oleh banyak hal. Salah satunya adalah kerana tidak menjaga kebersihan mulut dan gigi. Bila gigi dan mulut tidak dibersihkan secara rutin, bakteria akan berkembang biak di dalam mulut dan memecah sisa makanan di celah-celah gigi. Proses pemecahan ini akan menghasilkan gas berbau tidak sedap yang menyebabkan bau mulut.
Petua menghilangkan bau mulut termasuklsh memberus gigi dan lidah secara berkala, menggunakan ubat kumur, minum air yang cukup, mengelakkan makanan dan minuman tertentu serta berhenti merokok.
Jika pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasi masalah nafas berbau, namun ianya masih terjadi mungkin ini dsebabkan sesuatu yang lebih serius. Segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian mengenai masalah bau mulut anda.

Bagi yang ingin mencuba, selamat mencuba petua-petua yang kami berikan demi kebaikan bersama.
1. Kunyah sebatang kulit kayu manis yang kecil setiap malam sebelum tidur. Telan airnya, hampasnya dibuang. Amalkan setiap malam. Hisap kulit kayu manis setiap hari juga dapat mengurangkan kehadiran bakteria yang menyebabkan nafas berbau.
2. Asam jawa dan gula merah juga dapat mengatasi masalah bau mulut. Bancuh sedikit asam jawa, gula merah dengan secawan air panas. Minumlah setiap malam sebelum tidur. Amalkan sekerap mungkin, InsyaAllah tiada lagi nafas berbau yang memalukan.
3. Cengkih juga bagus untuk hilangkan masalah bau mulut. Ambil 4 atau 6 kuntum bunga cengkih dan direbus dengan air secukupnya atau rendamkan ke dalam segelas air suam selama kira-kira 5 minit. Biarkan hingga sejuk dan gunakan air rebusannya untuk berkumur-kumur. Amalkannya 2 kali sehari, pada waktu pagi dan petang.
4. Sirih adalah antiseptik yang baik bagi mengatasi bau mulut. Cuci bersih daun sirih dan rebus menggunakan air sebanyak 2 gelas. Setelah itu dibiarkan hingga air rebusan sirih menjadi sejuk, dan gunakan untuk berkumur selepas menggosok gigi. Selain itu, anda juga boleh merendam beberapa helai daun sirih dalam air suam selama 5 minit. Minum air tersebut. Amalkan setiap hari.
5. Air garam juga dapat membantu menghilangkan bau mulut dengan cara berkumur-kumur. Oleh sebab itu, berkumur menggunakan air garam merupakan satu langkah jangka pendek yang berkesan untuk mengurangkan bau yang tidak enak daripada mulut
6. Selain menggunakan pencuci mulut berflorida, anda juga boleh mengambil snek ringan yang terdiri daripada sayuran dan buah-buahan untuk menyegarkan nafas anda. Snek sebegini juga berfungsi seakan-akan berus gigi semulajadi dan dapat menyembunyikan bau tidak enak daripada makanan yang dimakan.
7. Bunga lawang bersifat sebagai antibakteria, antikulat, serta kandungan ‘linalool’ dalamnya bersifat sebagai antioksidan dan sangat baik untuk kesihatan. Rebus 3 kuntum bunga lawang dengan air secukupnya atau rendamkan ke dalam segelas air panas selama kira-kira 5 minit. Setelah itu dibiarkan hingga suam dan airnya boleh digunakan untuk minum atau berkumur. Amalkannya pada waktu pagi dan petang iaitu 2 kali sehari. Selain direbus, bunga lawang juga boleh dikunyah untuk menghilangkan bau nafas.
8. Ambil 15 helai pucuk jambu batu atau daun yang muda. Tumbuk daun tersebut hingga lumat dan masukkan ke dalam gelas yang berisi separuh air. Tambahkan sedikit garam dan kacau. Tapis dan ambil airnya untuk dikumur sebanyak 2-3 kali sehari. Amalkan selalu.
9. Bau tidak sedap pada mulut juga boleh disebabkan oleh mulut kering. Untuk mengatasi masalah ini, minumlah air putih sekurang-kurangnya 8 gelas atau 2 liter per hari. Minum air sejuk dapat membantu mengatasi bau mulut, tetapi juga mampu melindungi tubuh dari pelbagai macam penyakit.
10. Ambil 3 batang serai wangi dan 3 biji kulit limau kasturi. Tumbuk kedua-duanya hingga lumat. Masukkan ke dalam periuk kecil dan tuang air sehingga ¾ tinggi periuk dan masak sehingga mendidih. Tutup api dan biarkan sejuk. Tapis dan ambil airnya untuk dikumur sebanyak 2-3 kali sehari. Amalkan selalu.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









