Oleh: Khadijah Ibrahim
PENYANYI Bunga melahirkan rasa gembira kerana selepas menunggu kira-kira enam tahun, akhirnya, dia mempunyai album sulung yang diberi judul “Seharum Nama – Bunga” yang dilancarkan secara rasmi pada 8 Ogos lalu di semua platform digital.
Bunga atau nama lengkapnya, Noor Ayu Fatini Mohd Bakri, 25, yang mula aktif dalam bidang seni suara pada 2019 menganggap album yang mengandungi 10 buah lagu itu sebagai pelengkap perjalanan seninya.
“Alhamdulillah, akhirnya kerja keras dan penat lelah terbayar dengan kelahiran album pertama saya. “Seharum Nama – Bunga” bukan sekadar tanda mata tetapi sebenarnya adalah manifestasi saya terhadap muzik.
“Apa yang dipersembahkan di dalam album ini adalah perasaan, perjalanan dan jiwa yang tulus. Semuanya dilakukan secara cermat, pilihan karya dibuat juga secara hati-hati agar memuaskan hati semua pendengar,” jelas Bunga.
Serentak dengan pelancaran album itu juga, Bunga yang bernaung di bawah pengurusan Warner Music Malaysia melancarkan single “Tak Tidur Malam” sebagai ‘senjata’ baharunya.

Selain “Tak Tidur Malam”, lagu lain yang terkandung di dalam album ini terdiri daripada “Buai”, “Jatuh”, “Dengarkanlah”, “Intan Payung” (feat Noraniza Idris), “Apadehal” (2025 Mix), “Jiwa Raga”, “ME[MAHA]MI”, “Nak Buat Cane?” dan “Jalan Keluar”.
Jelas Bunga, apa yang dipersembahkan kali ini menyerlahkan kematangan dirinya dalam berkarya dengan pemilihan genre muzik yang pelbagai.
“Tidak mudah sebenarnya mahu mengisi 10 buah lagu ke dalam sebuah album. Pilihan yang ada terlalu banyak sehinggakan memberikan sedikit kesukaran kepada saya untuk melakukannya.
“Setiap kali ada naskhah baharu, saya berbincang dengan pihak pengurusan sama ada lagu tersebut sesuai atau tidak. Mereka juga ada pandangan dan sebab memilih atau menolak dan itulah cara kami bekerja.
“Sejujurnya saya berpuas hati dengan pemilihan lagu-lagu ini dan berharap peminat juga puas mendengarnya,” tambahnya yang mengambil masa selama dua tahun untuk melengkapkan sepenuhnya album ini.
Mengakui lebih gemar bereksperimen dalam menghasilkan muzik, itu sebenarnya memberikan banyak pelajaran dan pengalaman baharu buat Bunga dan pasukan yang memberikan warna kepada “Seharum Nama – Bunga”.

Jelasnya, lagu “Tak Tidur Malam” melalui pelbagai proses pra-produksi termasuklah menggunakan khidmat tiga individu berbeza dalam proses mixing dan mastering.
Lagu tersebut dihasilkan dengan inspirasi bunyi dangdut namun ia dilihat tidak kena dengan identiti dirinya dan akhirnya mereka mengolah semula bunyi tersebut seperti yang boleh didengar dalam hasil akhir yang termuat di dalam album ini.
“Tak Tidur Malam” merupakan lagu ciptaan Amzar Razqa, Bunga dan Amsyar Razqa merupakan antara karya yang melalui banyak proses pertukaran susunan muzik bagi menyesuaikan dengan kehendak mereka.
Pada akhirnya mereka menggunakan “vibe spooky” dan seram bagi membawa kelainan dan kesegaran kepada yang satu ini.
“Bagi mereka yang mengikuti rapat muzik saya, pasti akan merasai sendiri kelainan yang dipersembahkan. Jika sebelum ini orang mengenali saya dengan lagu “Buai” atau “Intan Payung”, kali ini vibe berbeza.
“Saya harap karya ini juga akan memuaskan hati sebahagian besar peminat yang sering ternanti-nantikan sesuatu yang baru daripada saya,” katanya.
Bercerita mengenai video muzik (MV) pula, Bunga menganggap apa yang dipersembahkan merupakan sebuah perjalanan mencari diri dan mempunyai mesej tersirat yang selama ini dipendam sendiri.
Video muzik “ME[MAHA]MI”, “Tak Tidur Malam” dan “Dengarkanlah” semuanya mempunyai jalan cerita khusus dan dilakukan seperti sebuah filem pendek yang mempunyai jalan cerita tersendiri.
Sebagai simbolik kepada pelancaran album ini juga, Bunga turut melancarkan edisi khas piring hitam selain mengeluarkan merchandise berkolaborasi bersama jenama High Cultured yang akan menemui peminat tidak lama lagi.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









