Oleh: Khadijah Ibrahim
MUNGKIN ramai yang ingatkan Ikhwan Fatanna Mokhtar, 35, adalah seorang komposer dan penulis lirik kerana antara karyanya, “Jatuh Bangun” dendangan Haqiem Rusli dan Aman Ra, “Ku Bersuara” (Ernie Zakri), “Thank You Allah” (Alyah, Cat Farish & Ustaz Haris) mendapat sambutan hangat daripada penggemar muzik tempatan.
Malah namanya sebagai komposer terus diangkat sebagai pemenang untuk Anugerah Juara Lagu 39 menerusi lagu “Hening Rindu” nyanyian Marsha Milan.
Dek kejayaan itu, peminat hampir lupa bahawa Ikhwan yang pernah menghadiri uji bakat Akademi Fantasia musim kelapan pada 2014, adalah seorang penyanyi kerana dia pernah merakam single sulung, “Jatuh Cinta” pada 2013.

Bagaimanapun namanya sebagai penyanyi mula melonjak naik sewaktu tampil dengan single kedua “Bismillah” pada 2017 dan diikuti dengan lagu-lagu seperti “Jannah”, Tik Tok”, Kiriman Cinta”, Ya Rasul”, Isteri Solehah” dan “Restu” pada 2022.
Lagu-lagu ciptaan Ikhwan lebih kepada lagu yang memberikan kesedaran dan mesej yang positif untuk semua lapisan masyarakat. Begitu juga dengan lagu “Hadiah Tuhan” yang dibuat khas untuk isteri tercinta, Lia Ariffin.
“Hadiah Tuhan merupakan sebuah lagu yang saya cipta dan tulis liriknya yang dibuat khas untuk isteri yang tersayang. Saya mendapat ilham di kala kami sedang berbulan madu.
“Lagu “Hadiah Tuhan” merupakan tanda syukur dan terima kasih saya kepada yang Maha Esa kerana mengurniakan saya seorang isteri yang menjadi pelengkap sempurna dalam kehidupan ini. Saya sangat bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang ini.

“Siapa yang gembira mempunyai sebuah keluarga bahagia bersama isteri dan anak-anak, karya-karya yang dikenali, dan juga penerimaan umum terhadap penglibatan saya di dalam industri seni. Saya mengharapkan sokongan yang berterusan untuk semua karya-karya saya tidak kira bila,” katanya tanpa berselindung.
Lahirnya “Hadiah Tuhan” yang merupakan single pertama Ikhwan bersama Suria Records selepas secara rasmi menjadi artis dibawah naungan syarikat rakaman tersebut.
Sebelum ini Ikhwan pernah bekerjasama dengan artis-artis Suria Records menerusi lagu “Abadi” bersama Xpose dan “Selawat Nuril Anwar” bersama Xpose dan Amad Fadlin.
“Hadiah Tuhan” boleh dimuat-turun di iTunes dan strim menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, YouTube Muzik dan Spotify.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









