Kumpulan Juicy Luicy akan menghibur peminat mereka sempena Ruang Inspirasi Festival  (RIF) dengan lagu-lagu popular mereka.

Oleh: Khadijah Ibrahim

KUMPULAN Juicy Luicy yang berasal dari Bandung, Indonesia itu mungkin lebih dikenali di kalangan penggemar muzik terutamanya generasi muda tempatan.

Peminat Juicy Luicy bakal menonton persembahan Julian Kaisar (vokalis), Denis Ligia (gitar elektkrik), Zamzam Y.M (saksafon/gitar akustik), Eggy Ramndha (dram) dan Bina Bagja (bass) secara langsung sempena Ruang Inspirasi Festival (RIF) yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada 17 Ogos 2025 (Sabtu).

Konsert yang dipersembahkan oleh Expoindo bersama penganjur konsert tempatan, Thrive, RIF membawa konsep segar yang menggabungkan persembahan muzik dengan elemen inspirasi dan perkongsian kisah di sebalik karya-karya popular artis terbabit.

Kedatangan Juicy Luicy ke Malaysia dibawa oleh penganjur Expoindo dengan kerjasama Thrive.

Festival ini bukan sekadar sebuah konsert biasa, sebaliknya menjadi medan untuk menyemai semangat positif dan inspirasi melalui muzik. RIF adalah pertunjukan muzik yang menampilkan pemuzik yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat di Kuala Lumpur.

Penganjur Expoindo berkata, nama ‘Ruang Inspirasi’ itu sendiri lahir daripada hasrat mereka untuk menyediakan satu ruang di mana muzik bukan sahaja menghibur, tetapi juga menyentuh jiwa dan memberi inspirasi.

“Edisi kali ini, kami menampilkan kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy, sebagai artis utama. Kumpulan ini tidak asing bagi peminat muzik tempatan menerusi lagu-lagu hits mereka seperti ‘Lantas’, ‘Lampu Kuning’, ‘Sialan’ dan banyak lagi.

Juicy Luicy akan berada di pentas persembahan bermula pada jam 7.30 petang.

“Tidak dinafikan, Juicy Luicy antara artis yang paling digemari oleh generasi muda di Malaysia. Lagu-lagu mereka bukan sahaja dekat dengan pengalaman hidup pendengar, malah sarat dengan mesej emosi yang kuat. Disebabkan itu mereka dipilih sebagai tumpuan utama RIF tahun ini,” katanya.

Menurut penganjur lagi, RIF bakal memberikan pengalaman yang berbeza kepada penonton berbanding konsert konvensional lain.

Menurutnya, artis yang membuat persembahan akan turut berkongsi kisah peribadi dan perjalanan mereka dalam dunia muzik, menjadikan ia satu pengalaman yang lebih dekat dan bermakna buat semua yang hadir.

“Kami mahu penonton merasa lebih rapat dengan artis, bukan sekadar menonton dari jauh. Ada ruang perkongsian, cerita dan inspirasi yang menjadikan setiap momen lebih peribadi dan mendalam,” katanya.

Menariknya, RIF 2025 bakal dibuat sebanyak dua persembahan dalam satu hari, iaitu pada sebelah tengah hari dan malam. Selain Juicy Luicy, RIF turut menampilkan penyanyi Tulus yang akan mengisi persembahan pada sesi petang iaitu bermula 1.30 petang manakala Juicy Luicy pula akan menyajikan persembahan bertenaga pada sesi malam bermula pukul 7.30 petang.

Tulus akan mengadakan persembahan pada sesi pertama bermula 1.30 petang.

Tulus atau Muhammad Tulus, 38, popular menerusi lagu “Monokrom”, “Hati-Hati Di Jalan”, “Interaksi”, “Diri”, “1,000 Tahun Lamanya” serta “Manusia Kuat”itu pasti memberikan persembahan yang terbaik untuk peminatnya di sebuah festival yang cukup berbeza konsepnya itu.

Menerusi festival ini, Expoindo turut merancang untuk meluaskan penganjuran RIF ke bandar-bandar utama lain di Malaysia, sebagai usaha memperkukuh semangat komuniti melalui muzik dan menjadikan festival ini sebagai platform serantau yang menghubungkan artis dari Indonesia dan Malaysia.

“Harapan kami, RIF akan menjadi jambatan budaya yang mengeratkan lagi hubungan dua hala antara industri hiburan Malaysia dan Indonesia. Dalam masa yang sama, kami mahu menyebarkan nilai-nilai positif dan inspirasi kepada masyarakat melalui muzik yang kami bawakan,” kata Expoindo lagi.

Harga tiket bagi persembahan tengah hari/ petang boleh dibeli melalui aplikasi BBO EVENTS atau layari WWW.RI-FEST.COM/KUALALUMPUR.

Harga tiket bundle adalah VVIP (RM1028), VIP (RM 628), Platinum (RM318), Gold (RM458) dan Silver (RM268).

Bagi mereka yang telah membeli tiket Juicy Luicy boleh terus ke aplikasi BBO EVENTS dan klik button UPGRADE untuk dapat harga istimewa.

Sementara itu, harga tiket bagi acara malam membabitkan persembahan Juicy Luicy berharga RM528 (Presale VVIP-Seated); RM328 (Presale VIP-Seated); RM158 (Presale Platinum-Standing); RM258 (Presale Gold-Seated); RM128 (Presale Silver-Seated) dan RM150 (Group Photo Top Up). Harga tiket ni adalah Pre Sale

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here