Image by freepik

Oleh: Asmat Fikri

Pernah rasa loya? Nak pitam? Pening? Andaian dibuat mungkin anda mengalami tekanan darah rendah? Begitu juga kalau rasa sakit kepala yang teramat sangat, kita akan mengandaikan sedang mengalami tekanan darah tinggi, terutama jika berdepan dengan situasi yang tegang.

Namun persoalannya adakah andaian kita itu betul? Mengapa mengambil sikap sambil lewa jika mengalami masalah tekanan darah ini tidak kira tekanan darah tinggi atau tekanan darah rendah?

Di sini kita akan bincangkan mengenai pelbagai perbezaan atau mungkin ingin menjawab pertanyaan sesetengah pihak iaitu mana yang lebih bahaya samada tekanan darah rendah ke tinggi? Jawapannya kedua-duanya ada kesan dan risikonya tersendiri. Apa yang lebih bahaya adalah jika dibiarkan penyakit itu tanpa ada apa-apa tindakan susulan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan dari doktor pakar.

Sebelum pergi lebih lanjut, mari kita tengok apakah yang dimaksudkan dengan tekanan darah rendah? Ianya dipanggil sebagai hipotensi, iaitu keadaan ketika bacaan tekanan darah rendah dari bacaan normal. Tekanan darah adalah tekanan kepada pembuluh darah apabila jantung mengepam darah. Tekanan ini sangat penting untuk badan mengedarkan darah dari jantung ke seluruh anggota tubuh badan.

Sekiranya terlalu rendah iaitu pada tahap bahaya, ini bermakna jantung tidak mampu mengepam darah ke seluruh badan dan ini amat berbahaya kepada organ dalam badan seperti jantung dan otak. Kekurangan darah bermakna organ tidak mendapat oksigen yang secukupnya dan ini boleh menyebabkan organ gagal berfungsi dengan sebaiknya. Oleh itu, badan manusia perlu mengekalkan julat bacaan tertentu untuk mengelakkan hal ini terjadi.

Manakala tekanan darah tinggi pula adalah dikenali sebagai hipertensi yang merupakan salah satu risiko kepada penyakit jantung, angin ahmar atau strok, masalah buah pinggang dan pembuluh darah. Diagnosis tekanan darah tinggi diberikan mengikut julat tekanan darah seseorang yang telah dipantau sekurang – kurangnya selama 24 jam dengan purata bacaan tekanan darah melebihi bacaan julat normal. Julat bacaan tekanan darah yang normal sebelum ini adalah 120/80 mm Hg dan definisi hipertensi ialah tekanan darah melebihi 140/90 mmHg.

Manakala bacaan kurang dari 140/90 mm Hg tetapi melebihi 120/80 mm Hg dikategorikan sebagai tekanan darah meningkat atau (Elevated blood pressure). Hipertensi menurut WHO adalah sebuah keadaan di mana tekanan di dalam pembuluh darah meningkat secara berterusan.

Jadi berapakah julat tekanan darah rendah dan tinggi ini?

Dalam konteks klinikal, bacaan tekanan yang normal adalah bawah 120/80 mm Hg. Namun jika ia mencecah 90/60 mm Hg, keadaan ini boleh dikenali sebagai hipotensi. Secara amnya bacaan tekanan darah rendah, normal dan tinggi;

• Hipotensi – tekanan darah bawah 90/60mm Hg
• Normal – tekanan darah bawah 120/80mm Hg
• Hipertensi – tekanan darah melebihi 130/90mm Hg

Image by Dmitriy from Pixabay

Punca

Terdapat banyak punca atau penyebab tekanan darah rendah. Antara puncanya ialah;

• kehilangan darah, seperti pendarahan, anaemia dan dehidrasi pada tahap parah,
• penyakit jantung, seperti jantung lemah dan kegagalan jantung (heart failure)
• penyakit sistem saraf, seperti “multiple system atrophy”dan“autonomic neuropathy”.
• kesan sampingan ubat seperti bisoprolol dan captopril yang digunakan untuk merawat hipertensi,
• Penyakit organ kelenjar seperti “Addison’s disease”, iaitu penyakit organ kelenjar (adrenal)
• Jangkitan kuman yang parah menyebabkan “septic shock”

Manakala bagi tekanan darah tinggi pula, lebih dari 90% masalah tekanan darah tinggi ini tidak diketahui puncanya dan dikenali sebagai (Essential hypertension).

Bagi 5-10% masalah hipertensi digelar hipertensi sekunder atau (Secondary hypertension). Dalam keadaan ini, tekanan darah tinggi adalah berpunca daripada masalah pada organ lain iaitu:

1) Penyakit buah pinggang – merupakan penyebab dalam kebanyakan kes iaitu hampir 75%. – Masalah struktur buah pinggang (Intrinsic renal disease) dan masalah pembuluh darah dalam buah pinggang (Renovascular disease)

2) Penyakit endokrin
– Cushing’s Syndrome
– Conn’s Syndrome
– Pheochromocytoma
– Acromegaly
– Hyperparathyroidism

3) Sebab lain
• – (Coarctation of aorta)
• – Mengandung
• – Ubatan seperti steroid dan pil pencegah kehamilan

Namun begitu meskipun tidak mempunyai punca ini, seseorang individu itu mungkin berisiko mengalami tekanan darah tinggi jika mempunyai tanda-tanda seperti ini:

Pesakit yang menghidap masalah ini selalunya tidak mempunyai tanda dan gejala hipertensi yang spesifik melainkan apabila seseorang itu mengalami krisis hipertensi.

Sakit kepala merupakan gejala yang sering dikaitkan dengan masalah ini, namun begitu ia merupakan gejala yang tidak spesifik kerana biasa dihadapi oleh mereka yang mempunyai tekanan darah normal.

Penghidap tekanan darah tinggi boleh menghadapi gejala yang berkaitan dengan penyebab hipertensi itu sendiri seperti tanda-tanda penyakit pheochromocytoma atau tanda penyakit buah pinggang.

Tanda-tanda juga boleh dilihat sekiranya pesakit telah mengalami kerosakan organ seperti pada mata, buah pinggang, otak, pembuluh darah atau jantung akibat komplikasi tekanan darah tinggi.

# Ikuti sambungan bahagian 2 yang akan mengupas lebih lanjut mengenai tekanan Darah Tinggi dan Darah Rendah ini. Selamat membaca moga bermanfaat kepada semua.

Previous articleTan Sri Jojo Cucu Pahlawan Hebat Tengku Busu Syed Ali!
Next articleCara melebatkan bulu mata secara semulajadi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here