Oleh: Syed Wafa (Yang Berkunjung Ke Selat Panjang Baru-baru Ini)
Foto: Syed Wafa
SEJARAH banyak mencatatkan beberapa tokoh hebat Indonesia yang menentang penjajah Belanda. Pastinya beberapa nama tokoh pahlawan Indonesia yang berjuang melawan penjajah Belanda akan tetap dikenang sehingga kini antaranya Pangeran Diponegoro, Cut Nyak Dien dan Sultan Hasanuddin. Selain itu, nama tokoh pahlawan yang tidak kurang hebatnya seperti Kapitan Pattimura, Raden Ajeng Kartini dan Ki Hajar Dewantara yang dikenang dalam perjuangan kemerdekaan negara itu melalui berbagai cara seperti ketenteraan, politik dan pendidikan. Sejarah Indonesia juga tidak akan lupa seorang tokoh pahlawan hebat yang bertarung nyawa
hingga titisan darah terakhir melawan Belanda iaitu Tengku Busu Syed Ali!
Baru-baru ini secara eksklusif Ladybosz berpeluang berkunjung ke Selat Panjang bagi menjejaki sejarah pahlawan hebat ini. Kami amat berbangga menerima jemputan dari tokoh usahawan terkenal tanah air berdarah Kesultanan Siak iaitu Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir atau lebih mesra dipanggil Tan Sri Jojo sempena majlis penuh barakah iaitu “Haul Perdana Tengku Busu Syed Ali bin Tengku Putera Syed Ahmad Shahab Banahsan (Sang Mangkubumi Kesultanan Siak Sri Indrapura ) dan Perasmian Makam Marhum Buntat” yang terletak di Kompleks Pemakaman Tengku Sulung Cantik, Jalan Tengku Umar Selat Panjang.

Siapakah insan hebat bernama Tengku Busu Syed Ali ini? Beliau dikenali sebagai seorang Pembesar dan Penguasa Wilayah Tebing Tinggi, Panglima Perang muda yang gagah berani melawan penjajah “Agresi Militer Belanda I,” dan beliau adalah seorang ‘Mangkubumi’ yang amat dihormati dan disayangi pada era pemerintahan Kesultanan Siak Sri Inderapura dan memiliki peranan penting khususnya di Negeri Makmur Kencana, Bandar Tebing Tinggi yang merupakan ibu kota Kabupaten Kepulauan Meranti pada ketika itu.
Beliau bukan sekadar tokoh ternama, panglima, penopang sultan dan penjaga harga diri Kesultanan Siak yang begitu terkenal di alam Kesultanan Melayu.
Sejarah tidak akan terpadam yang mana pada saat genting sebelum menjelang kemerdekaan Indonesia, pada tahun 1947 ketika Tengku Busu berdiri di garisan hadapan melawan dan menolak kehadiran musuh dan penjajah, Agresi Militer Belanda I, di tanah Selat Panjang. Beliau tidak gentar ketika peluru menembus tubuhnya dan nyawanya diragut kerana sehingga saat akhir beliau masih berdiri gagah dengan keberanian dan kehormatan pada diri beliau yang tak pernah lekang. Beliau gugur sebagai syahid, seorang pemimpin berjiwa kental yang terkorban demi membela rakyatnya.

“Dalam hati saya, menyedari bahawa Kepulauan Meranti bukan hanya gugusan pulau semata-mata melainkan tanah warisan budaya, tempat persaudaraan Melayu tumbuh dari akar sejarah yang dalam, saya menyampaikan rasa syukur karana acara ini bukan hanya mempererat silaturahim tetapi juga membangkitkan ingatan kolektif tentang betapa kayanya peradaban yang lahir dari tanah ini,” kata beliau bersungguh-sungguh.
Namun kisah beliau tidak berhenti di situ. Demi menghindari kezaliman yang lebih dasyat, jasad beliau disembunyikan oleh kedua anaknya ke dalam hutan, ditutupi semak-samun agar tidak ditemui penjajah yang ingin menghapuskan jejak insan hebat ini dari sejarah. Malah anjing buruan Belanda juga tidak mampu menemukan dan menghidu jasadnya. Ini adalah satu petanda, bahawa Allah SWT turut menjaga jasad serta kehormatannya.
Setelah situasi dirasa selamat, jasad beliau dimakamkan secara rahsia, jauh dari tempat pemakaman biasa sebagaimana layaknya para syuhada yang terkorban dalam perjuangan. Tapi sejarah menyimpan keajaiban, saat pemindahan jenazah ke lokasi makam yang lebih layak tempatnya, para pengikut beliau menyaksikan sendiri jasadnya masih ‘cantik’ berbau harum dan tidak berubah dan tidak dimamah waktu. Ini adalah kerana amalan beliau semasa hidup serta darjat tinggi yang menjadi saksi atas kemuliaan hidupnya dan kasih Allah SWT kepada hambanya yang ikhlas dan alim.
Tengku Busu Syed Ali, tokoh pemimpin yang hingga kini dikenang bukan hanya kerana berketurunan bangsawan tetapi juga karana budi pekertinya, keberanian dan cintanya pada rakyat. Menyingkap kisah hidupnya, beliau menikahi Tengku Mas Kencana Syarifah Syeikha sebagai isteri iaitu puteri dari Tengku Sulung Cantik Syed Alwi, seorang Temenggung sekaligus Wakil Sultan Siak yang juga dikenal sebagai Marhum Buntat.

Sejarah terbukti dan tercatat, malah media asing pun menulis namanya, di mana keratan akhbar The New Straits Times edisi 1911, melapurkan bagaimana Tengku Busu Syed Ali menyambut Sultan Abdul Rahman Muadzam Shah II dari Riau-Lingga di Selat Panjang sebagai sebuah tanda betapa pentingnya posisi beliau dalam hiraki politik, budaya dan jalur sejarah Kesultanan Melayu ketika itu.
Peringatan haul ini, akan menjadi bentuk penghormatan sekaligus momen doa bersama bagi Almarhum, di mana semasa hidupnya dikenal sebagai salah seorang tokoh panglima dalam membantu sultan.
Pada majlis yang penuh bersejarah itu, Tan Sri Jojo tampak segak berbusana Melayu lengkap, diiringi payung kuning, kelihatan gagah dengan disambut persembahan silat tradisional yang penuh adat warisan Diraja Melayu.
Paling isitimewa majlis ini diserikan dengan kehadiran Bupati Kepulauan Meranti, AKBP (Purn) iaitu H. Asmar, Wakil Bupati Muzamil Baharudin, Ketua DPRD H. Khalid Ali, para pejabat Forkopimda dan kepala OPD, menyambut penuh penghormatan kehadiran Tan Sri Jojo yang merupakan keturunan Kesultanan Siak dari Malaysia yang begitu disegani.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh kerabat keluarga tercinta Tan Sri Jojo antaranya Kekanda beliau yang juga merupakan seorang usahawan dan peguam terkenal tanah air, Datuk Syed Alwi, adinda-adinda beliau Sharifah Husna, Sharifah Nawal, Sharifah Fatimah dan Syed Ibrahim serta anakanda tercinta Syed Farouq.
Acara Haul Perdana ini dimulakan dengan pembacaan doa, tahlil dan pembacaan kisah hidup shohibul haul yang sungguh menyentuh jiwa dan dibacakan dengan penuh semangat oleh Syed Faisal Akbar Alathas. Kata demi kata yang terucap seolah menghidupkan kembali sosok Tengku Busu Syed Ali di hadapan para hadirin. Sosok yang dikenal bukan hanya kerana berketurunan darah biru (berdarah raja, bangsawan yang agung ) tetapi kerana kemuliaan akhlak dan ketegasannya dalam menolak tunduk pada penjajah. Majlis juga dimuliakan dengan ceramah agama yang penuh pengisian.
Majlis juga turut merasmikan Kompleks Makam Marhum Buntat yang kini bukan sekadar tempat bersemadinya jasad para pahlawan dan bangsawan. Ia kini menjadi titik temu antara zaman, negeri dan darah Melayu yang terpisah oleh selat namun disatukan oleh nilai serta ikatan persaudaraan yang tidak akan dapat diputuskan.

Acara ini juga bertujuan untuk mengenang jasa-jasa Marhum Tengku Busu yang pernah menjabat sebagai mangkubumi dalam struktur pemerintahan Kesultanan Siak, serta mempereratkan ikatan sejarah dan budaya antara Riau dan Malaysia dibawah rumpun Melayu.
Kini makam Marhum berdampingan dengan para tokoh besar yang menjadi fondasi negeri ini. Di Kompleks Pemakaman Marhum Buntat, bukan hanya jasad beliau yang bersemadi malah turut disemadikan jasad Tengku Bagus Sayyid Toha, pendiri Negeri Makmur Kencana Bandar Tebingtinggi, Tengku Ngahaji Sayyid Abdurrahman, Wakil Sultan Siak III,Tengku Syarifah Kamla, srikandi yang dikenal dengan gelar Bintang Subuh, satu-satunya wanita bergelar Tengku Besar di Alam Melayu, pejuang gagah dalam menghadapi musuh Kesultanan, Tengku Putrayuda Sayyid Omar, utusan diplomatik yang menjembatani konflik perbatasan Pagaruyung dan Tengku Puteri, penjaga adab dan adat istiadat kerajaan di Selat Panjang.
“Saya adalah keturunan Siak yang paling dekat dan pastinya kami dididik dengan penuh adat dan saya amat bersyukur dididik dalam tradisi itu. Bahkan sewaktu kecil, saya beruntung sekali pernah berjumpa dengan Sultan Syarif Kasim ke-12, ketika baginda datang ke rumah orang tua saya bersama permaisuri, Syarifah Fadlun. Itulah momen yang tidak akan saya lupakan seumur hidup,” kata Tan Sri Jojo dengan penuh kesyukuran.

Bagi Tan Sri Jojo, kedatangan beliau ke Selat Panjang kali ini terasa sungguh istimewa. Beliau mengaku baru mendapat tahu bahawa datuknya, Tengku Busu Syed Ali, dimakamkan di kota ini. Sebuah penemuan yang membuatnya ingin lebih dekat, lebih menyatu, dengan akar sejarah keluarganya. Bukan hanya pada momen haul seperti ini, ia juga sering berkunjung ke Indonesia saat lebaran untuk menyambung silaturahim dan berbahagi rezeki dengan saudara mara beliau di sini.
Tan Sri Jojo juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghidupkan kembali jejak sejarah ini. Beliau mengajak semua yang hadir, baik dari Malaysia, Singapura maupun Riau agar tidak melupakan akar yang menyatukan mereka sebagai bangsa Melayu.
“Jangan biarkan silaturahim ini terputus. Kita adalah keluarga. Keturunan yang sama, dibesarkan oleh adab dan perjuangan yang terdahulu. Kita harus saling menjaga, kerana persaudaraan ini diturunkan oleh darah dan doa para keturunan nenek moyang kita,” kata beliau bersungguh-sungguh.

Bupati Asmar dengan penuh takzim dan berbesar hati menyambut Tan Sri Jojo serta saudara mara beliau ke Selat Panjang.
“Dalam hati saya, menyedari bahawa Kepulauan Meranti bukan hanya gugusan pulau semata-mata melainkan tanah warisan budaya, tempat persaudaraan Melayu tumbuh dari akar sejarah yang dalam, saya bersyukur kerana acara ini bukan hanya mempereratkan silaturahim tetapi juga membangkitkan ingatan kolektif tentang betapa kayanya peradaban yang lahir dari tanah ini.
“Ini bukan hanya penghormatan bagi Almarhum Tengku Busu Syed Ali tetapi ia adalah upaya kita merawat jejak sejarah, menghubungkan masa lalu dengan masa depan dan menjaga warisan budaya agar tetap hidup di hati generasi muda,” kata Asmar bersungguh-sungguh.
Bupati Asmar juga menyampaikan harapan besar agar haul ini tak berhenti di tahun ini saja. Ia berharap keluarga besar keturunan Tengku Busu Syed Ali akan terus melanjutkan tradisi ini, menjadikan beliau sebagai “Ikon Pahlawan” di Kepulauan Meranti.

Beliau juga tidak lupa menyampaikan ucapan setinggi terima kasih yang mendalam kepada Tan Sri Jojo, ahli waris utama, yang telah menjadi penaja penuh dalam proses menaikkan taraf makam bersejarah ini.
“Kami sangat hargai sokongan yang diberikan oleh ahli waris paling dekat iaitu Tan Sri Syed Yusof. Dengan bantuan yang diberi menjadikan kompleks pemakaman ini lebih terjaga, indah dan lebih bermartabat. Ini adalah bentuk cinta kepada sejarah bagi tokoh-tokoh hebat ini,” kata beliau penuh iklas.
Tan Sri Jojo juga amat berharap sejarah mengenai datuk tercinta beliau, Almarhum Tengku Busu Syed Ali akan dikenang sebagai pahlawan dan tokoh yang berjuang untuk negara, bangsa dan agama sehingga titisan darah terakhir…kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh arwah sentiasa dicucuri rahmat.

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.