Afdlin Shauki turun padang untuk menyantuni masyarakat di Setiawangsa untuk mengenal pasti masalah mereka.

Oleh: Khadijah Ibrahim

DI kalangan pengiat seni, nama Dato’ Afdlin Shauki popular sebagai pelakon, pengarah, penerbit dan penulis skrip. Antara filem lakonan Afdlin Shauki Aksan, 54, yang terus diingati hingga kini adalah “Soal Hati” (2000), “Soalnya Siapa” (2002),” Cuci” (2008), manakala filem arahannya pula adalah “Buli” (2004), “Baik Punya Cilok” (2005) dan “Papadom” (2009).

Beliau yang berpengalaman menjadi pengacara bagi Anugerah Industri Muzik (AIM) sebanyak lima kali dan pernah mempunyai album studio berjudul “Fuuyo!” pada 2003 itu, kini aktif sebagai seorang aktivis kemasyarakatan menerusi Yayasan Afdlin Shauki (YAS).

YAS telah menjalankan pelbagai inisiatif sejak penubuhannya, daripada program kemanusiaan antarabangsa seperti misi ke Syria sehingga kepada pengagihan bantuan makanan dan keperluan asas kepada keluarga berpendapatan rendah di kawasan-kawasan perumahan awam tempatan.

Afdlin berhasrat menjadikan Setiawangsa sebagai contoh kawasan yang mesra rakyat.

Sehubungan itu, Afdlin yang telah lama merasai denyut nadi rakyat, kini tampil dengan hasrat yang lebih besar iaitu mahu berkhidmat secara langsung dan berstruktur kepada masyarakat melalui pentas politik.

Inisiatif seperti pemberian petrol percuma untuk penunggang motosikal berpendapatan rendah membuktikan komitmen beliau terhadap rakyat biasa, mereka yang bekerja keras setiap hari tetapi sering kali terpinggir daripada radar bantuan.

Prinsip Afdlin mudah, bantuan harus turun ke lapangan, bukan menunggu permohonan dan pemimpin harus hadir bukan hanya ketika perlu mengundi, tetapi ketika rakyat benar-benar memerlukan.

Berpegang kepada prinsip itulah, Afdlin mengambil langkah berani untuk menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang PKR Setiawangsa dalam pemilihan parti yang akan datang. Bagi beliau, jawatan ini bukan satu platform untuk kepentingan diri atau agenda politik semata-mata.

Mahu tunjukkan nilai integriti bukan melalui kata-kata tetapi melalui tindakan dan keberadaannya di sisi rakyat.

Sebaliknya, ia adalah lanjutan kepada perjuangan sosial yang telah pun beliau lalui selama ini. Pengarah filem “Harimau Malaya: The Untold Journey” dan “Baik Punya Ah Long” (2024) itu percaya bahawa kekuatan sesebuah parti politik terletak pada kemantapan cabang.

“Saya yakin, jika cabang diurus dengan baik, ikhlas dan penuh semangat kebersamaan, maka ia akan menjadi benteng paling kukuh dalam menjayakan agenda reformasi parti.

“Sebagai cerminan kepada pendekatan dan jiwa kepimpinan, saya senang memperkenalkan motto “Mesra Setiawangsa” iaitu satu prinsip yang menjiwai seluruh gerak kerja saya. Bagi saya, kepimpinan bukan sekadar membuat dasar, tetapi menyantuni manusia.
“Mesra” bukan hanya pada senyuman di muka, tetapi pada kehadiran yang menyentuh hati, tindakan yang mempermudah urusan, serta pendekatan yang inklusif dan penuh empati,” katanya.

Afdlin sering melakukan kerja kebajikan menerusi Yayasan Afdlin Shauki di dalam dan luar negara.

Dalam menjayakan misi sebagai seorang pemimpin, Afdlin berhasrat menjadikan Setiawangsa sebagai contoh kawasan yang mesra rakyat, mesra komuniti, dan mesra perpaduan tanpa sempadan kaum, agama mahupun latar belakang sosial.

Ujar Afdlin, beliau mempunyai matlamat yang jelas dan menyeluruh dalam perjalanan misinya itu kerana di waktu yang sama, mahu mengangkat semula peranan cabang sebagai pusat perjuangan sebenar parti dan bukan sekadar sebagai struktur organisasi, tetapi sebagai tempat masyarakat mendapatkan pembelaan dan inspirasi.

“Bagi saya, kepimpinan cabang harus dikembalikan kepada individu yang benar-benar mempunyai masa, tenaga dan komitmen untuk turun padang, mendengar keluhan ahli dan rakyat, serta melaksanakan solusi secara berterusan dan berkesan.

“Cabang harus menjadi nadi kepada pelaksanaan program pembangunan insan, terutama untuk golongan muda, wanita, warga emas serta komuniti Orang Kurang Upaya. Ini boleh dilakukan melalui kerjasama strategik dengan badan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan pelbagai agensi kerajaan.

Menawarkan diri sebagai calon Ketua Cabang PKR Setiawangsa.

“Dengan pengalaman dan jaringan yang luas, saya yakin pendekatan yang inklusif dan holistik ini akan memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap peranan cabang dan parti,” katanya yang mahu menyemarakkan budaya kepimpinan yang jujur, telus dan berpasukan.

Dalam era di mana rakyat semakin skeptikal terhadap politikus, Afdlin percaya bahawa pemimpin masa kini harus menunjukkan nilai integriti bukan melalui kata-kata, tetapi melalui tindakan dan keberadaan mereka di sisi rakyat di saat senang ketika susah.

“Saya datang bukan untuk berjanji, tetapi untuk terus berbakti. Sudah lama saya bersama masyarakat tanpa gelaran dan pangkat, kini saya hanya memohon mandat agar dapat meluaskan lagi khidmat saya dengan lebih tersusun dan sistematik. Setiawangsa harus menjadi model cabang yang aktif, peduli dan membina,” ujar beliau sewaktu hadir bertemu dengan penduduk Setiawangsa, baru-baru ini.

Previous articleBerpakaian semakin ganjil itu bertambah cantik? (Bahagian 1)
Next articleKRU terhangat di pasaran, temui peminat di Singapura Jun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here