Image by freepik

Oleh: Nury Kadir

Apa itu cantik? Makna cantik itu terlalu subjektif, ia terletak pada mata yang memandang. Kalau hendak tahu apa itu cantik, perhatikanlah pakaian wanita sewaktu Hari Raya. Semuanya cantik-cantik belaka dengan pelbagai fesyen serta warna, malah ada yang pelik-pelik. Tapi cantik itu belum sampai bermaksud ayu dan anggun. Bagaimana hendak dikatakan ayu dan anggun jika busana yang dipakai macam berkemban hendak pergi mandi di sungai belakang rumah.

Kenapa hanya melihat kepada wanita sahaja apabila menyentuh mengenai cantik? Kerana pakaian wanita ini rumit sikit, ada macam-macam fesyen dan gaya yang menggambarkan kecantikan. Manakala lelaki itu gayanya ringkas sahaja sama ada berbaju melayu, kemeja atau kurta.

Semakin unik fesyen yang digayakan maka ditafsirkan sebagai cantik luarbiasa yang berbeza daripada orang lain. Prinsipnya penampilan mesti berbeza dari orang lain dan unik itu baru dikatakan cantik.

Sabda Rasulullah SAW:”Sesungguhnya ALLAH itu cantik dan amat sukakan kecantikan. la sukakan melihat kesan-kesan nikmat kepada hamba-Nya serta ALLAH benci kesusahan dan bala bencana.” (HR al-Baihaqi)

Mari kita perhatikan apa yang ulama maksudkan dengan cantik. Ibn Hajar dalam kitab Tuḥfah al-Muḥtaj bi yarḥ al-Minhaj; “Makna cantik itu bersifat subjektif, iaitu berdasarkan sebagaimana seseorang yang melihat. Dengan tujuan adanya ‘iffah’ bagi suami yang mana sikap ‘iffah’ tidak dapat diperolehi kecuali dengan hal tersebut (penilaian cantik secara subjektif). Pendapat ini sejatinya menyanggah pendapat sebahagian elit agama mengenai makna cantik sebagai sifat yang terbangun dalam diri orang yang dinilai baik atau cantik menurut pandangan majoriti masyarakat yang berwatak sihat atau normal. Betul, perempuan yang terlalu cantik itu makruh, kerana perempuan yang terlalu cantik, ia akan membanggakan diri atas kecantikannya dan akan memancing mata-mata nakal untuk mengamatinya.” (Al-Haitami)

Menurut perspektif Ibn Ḥajar, Makna cantik bergantung pada penilaian individu. Dengan kata lain, cantik adalah perkara masing-masing individu, tergantung bagaimana tabiat atau latar seseorang yang melihat. Ibn Ḥajar menegaskan makna cantik adalah subjektif.

Manakala dalam kitab Nihayah al-Muḥtaj ila Syarḥ Minhaj, Muhammad al-Ramli menuturkan bahawa, “Cantik merupakan sifat yang terbangun dari dalam diri orang yang dianggap baik atau cantik menurut pandangan seorang lelaki yang berwatak normal atau sihat. Betul, perempuan yang terlalu cantik itu makruh, kerana perempuan yang cantik itu, ia akan membanggakan diri atas kecantikannya dan dapat memancing mata-mata para dusta untuk mengamatinya.” (Al-Ramli)

Definisi cantik menurut Ibn Ḥajar bersifat subjektif, iaitu penilaian cantik bergantung pada tabiat seseorang yang melihat. Sementara makna cantik menurut Muḥammad al-Ramli bergantung pada penilaian masyarakat umum yang berwatak sihat dan normal dan menganggap cantik perempuan tersebut.

Bagaimana Islam melihat kecantikan kerana ada yang beranggapan kecantikan tidak perlu dalam Islam?

Menurut Imam al-Qurtubi dalam bukunya al-Jamik Li Ahkam al-Quran al-Karim, kecantikan luaran ini terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, kecantikan asal, iaitu kecantikan yang diciptakan oleh Allah SWT untuk rupa paras manusia. Kedua, kecantikan yang diubah suai, iaitu suatu tindakan yang dilakukan oleh seseorang untuk memperelokkan lagi dengan cara berhias atau bercelak dan lain-lain.

Makna kecantikan dalam Islam sangat jauh berbeza dari apa yang diterjemahkan di dalam pertandingan ratu cantik. Definisi cantik dalam Islam adalah wanita yang mampu menjaga diri sendiri. Maksudnya wanita yang dikatakan cantik itu mampu menjaga penampilan dan kehormatannya atau sentiasa menutupi ‘aset’ paling berharga pada dirinya, memiliki sikap malu, selalu rendah hati, tidak menunjuk-nunjuk, bijaksana dan bersabar dalam menghadapi cabaran serta rintangan.

Rasulullah SAW bersabda, “Dunia adalah perhiasan. Dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” (HR. Muslim)

Wanita solehah adalah wanita yang taat kepada Allah dan Rasulnya. Kemuliaan bukanlah sekadar kecantikan fizikalnya. Justeru ia berusaha menjaga kecantikan dirinya agar tidak menjadi fitnah. Ramai orang berpendapat dengan berbusana cantik dan bergaya, seseorang wanita mampu tampil lebih cantik dan menarik. Adakah kita boleh memakai busana yang ganjil untuk kelihatan cantik dan menonjol berbanding orang lain?

Salah satu antara rahmat yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-hambaNya adalah dengan menjadikan bahan-bahan untuk dibuat pakaian yang menutup aurat agar manusia terlindung daripada teriknya panas, kesejukan mahupun sesuatu yang berbahaya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pakaian adalah keperluan asas manusia untuk mengekalkan kelangsungan hidup.

Perhatikan firman Allah SWT berfirman surah Al-A’raf ayat 26, maksudnya: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.”

Di dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dicatatkan daripada tafsir Ibn Katsir iaitu terdapat tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah SWT. Kalimah “اللباس” merujuk pada pakaian asas untuk menutup aurat. Manakala, kalimah “الريش” ialah sesuatu yang dipakai untuk menampakkan kecantikan dari segi luarannya. Sementara, pakaian taqwa yang dimaksudkan secara majazi (kiasan) ialah amal soleh menurut Ibnu Abbas.

Islam tidak pernah menetapkan jenama rasmi atau pakaian rasmi bagi Muslim. Hal Ini menunjukkan bahawa Islam memberi keluasan dan kelonggaran dalam menggayakan pakaian mengikut adat setempat sekalipun untuk tujuan berfesyen. Namun, pakaian masyarakat Melayu seperti baju kurung, baju melayu dan seumpamanya yang menjadi pakaian adat kebiasaan setempat dan semasa mestilah menepati ciri-ciri pakaian yang selari kehendak syarak.

Image by lookstudio on Freepik

Seseorang yang berpakaian pelik atau berlebih-lebihan dalam berpakaian boleh menimbulkan rasa angkuh dan bangga diri. Rasulullah SAW melarang kita daripada memakai pakaian yang niatnya semata-mata untuk meraih kemasyhuran.

Berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda: maksudnya:“Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah SWT akan memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.” (HR Ibn Majah dan Abu Daud)

Apa maksudnya pakaian syuhrah? Ia membawa maksud pakaian kemasyhuran untuk tujuan dikenali dalam kalangan manusia sama ada pakaian tersebut bernilai dan mahal harganya sehingga orang yang memakainya tampak gah dengan dunia dan perhiasannya, lalu menimbulkan rasa keangkuhan dan bermegah-megah terhadap manusia lain.

Begitu juga, seseorang yang mengenakan pakaian yang buruk agar dirinya kelihatan kewarakan serta zuhudnya dan boleh menimbulkan sifat riyak. Oleh itu, larangan hadis tersebut terhadap apa- apa pakaian pelik dan ganjil sama ada mahal atau murah, namun ia boleh menarik perhatian manusia hingga timbul rasa angkuh pada diri pemakai.

Ibn Al-Athir mendefinisikan pakaian syuhrah sebagai sejenis pakaian yang menampilkan perbezaan yang begitu ketara dengan pakaian manusia lain daripada sudut warnanya atau bentuknya. Perbuatan menggayakan pakaian ini juga mampu mengalihkan pandangan manusia lain agar tertumpu kepada dirinya sehingga menimbulkan perasaan ujub dan takbur dalam diri pemakai.

Bagaimana pula jika ada yang menjawab, “Tak ada niat pun hendak menunjuk-nunjuk tetapi memakainya sekadar suka kerana ia nampak cantik.” Bolehkah alasan tidak berniat hendak riyak untuk membolehkan pakaian tersebut dipakai?

Maka ini adalah jawapan yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sekalipun memakai pakaian tersebut bukan berniat untuk menimbulkan perasaan riyak pada pemakai, namun perbuatan yang menuju kepada terbitnya perasaan bangga diri adalah ditegah bersesuaian dengan satu kaedah fiqh iaitu:
ما أدى إلى الحرام فهو حرام
Maksudnya: “Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.”

Berdasarkan kaedah sadd al-zarai’, perbuatan memakai pakaian syuhrah seperti ini perlu dicegah kerana ia boleh membawa kepada yang haram.

Terdapat ancaman terhadap sesiapa yang bersikap sombong dan takbur walau sebesar zarah berdasarkan riwayat Ibn Mas’ud RA bahawa Baginda SAW bersabda: maksudnya: “Tidak akan masuk syurga bagi seseorang yang ada sifat sombong di dalam hatinya walau sebesar zarah”. Kemudian, seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, ada seorang lelaki yang suka apabila pakaiannya cantik dan sandalnya juga cantik”. Maka Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah SWT Maha cantik dan mencintai kecantikan, sesungguhnya kesombongan adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain”. (HR Muslim)

Sheikh Musa Syahin menyatakan bahawa kesombongan itu wujud bukanlah disebabkan semata-mata seseorang itu mengenakan pakaian yang cantik atau ketika dia memperindah imej atau penampilannya. Akan tetapi, larangannya timbul ketika mana seseorang menyertakan perasaan ujub dan angkuh apabila dia mengenakan pakaian berkenaan.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, “Menonjolkan pakaian yang ganjil dengan niat meraih kemasyhuran adalah dilarang. Pakaian tersebut boleh meraih perhatian bagi setiap mata yang memandang kerana pakaian yang terlalu ketara perbezaannya daripada ‘uruf kebiasaan masyarakat setempat. Walaupun pakaian ganjil itu menutup aurat, ia tetap dilarang tidak kiralah sama ada mahal atau murah.”

# Ikuti sambungan bahagian ke-2 mengenai fesyen unik yang sebenarnya tidak salah berfesyen asalkan ikut syarak yang ditetapkan.

Previous articleSyawal Yang Indah!
Next articleAfdlin Shauki bakal bertanding bagi membantu masyarakat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here