Tahun ini Shima mahu kembali aktif dalam bidang seni suara selepas 'berehat' panjang.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Shima/Koleksi Syed Wafa

PADA era 90-an, namanya berada di kemuncak kerana lagu-lagu dendangannya diminati ramai, termasuklah lagu “Teringn” hinggakan ada yang memanggilnya dengan nama Shima Teringin.

Ini kerana lagu “Teringin” ciptaan Fauzi Marzuki dan lirik oleh Lukhman S yang dimuat dalam album studio “Shima 3: Teringin” terbitan Sony Music yang dikeluarkan pada 1993 benar-benar melonjak nama penyanyi asal Sungai Arak, Banting, Selangor itu.

Bukan setakat lagu “Teringin”, Shima atau nama penuhnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman, 56, turut mempunyai lagu-lagu popular yang lain seperti “Di Sebalik Sejuta Wajah”, “Setelah Aku Kau Miliki” dan “Aku Tetap Aku”, yang masih diminati hingga kini.

“Shima” di awal kemunculan dengan album pertama yang mendapat sambutan hangat.

Shima yang pernah tampil sebagai penyanyi utama kumpulan The Boys selepas Ella mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut sempat mengeluarkan album “Kelkatu Gugur Sayapnya” bersama kumpulan tersebut pada 1989.

Malah sewaktu menganggotai The Boys, Shima turut bertemu jodoh dengan pemain keyboard kumpulan tersebut iaitu Satiman dan mereka berkahwin pada 1988. Namun jodoh mereka tidak berpanjangan kerana pada 1993, pasangan tersebut bercerai.

Malah sewaktu namanya menjadi bualan peminat seni tanah air, Shima yang merupakan penyanyi di sebuah kelab di Klang sebelum ditawar menyertai The Boys, telah menghasilkan lapan album studio, antaranya “Shima” (1990), “Shima Vol.2” (1991), “More than Your Girl” (1993), “Luka Dilukai “(1994), “Rasa” (1997), “Aku Tetap Aku” (1999) dan “Ke Pangkuanmu” (2007).

Album “Teringin” menaikkan nama Shima dalam dunia muzik tanah air.

Shima juga berpeluang melakar kejayaan menerusi lagu “Setelah Aku Kau Miliki”, ciptaan Saari Amri apabila berjaya memenangi tempat kedua di Anugerah Juara Lagu edisi 1991 dan menerusi lagu tersebut, beliau turut menerima anugerah persembahan terbaik.

Sementara lagu “Teringin” pula layak ke Anugerah Juara lagu 1993 dan memenangi anugerah Persembahan Vokal Terabik di dalam Album (Wanita) di Anugerah Industri Muzik yang pertama kali diadakan.

Shima yang dikenali sebagai penyanyi rock itu juga berpeluang
mencuba pelbagai jenis genre muzik menerusi penerbitan album bahasa Inggeris, “More Then Your Girl” yang dikeluarkan pada hujung tahun 1993 dan berjaya meletakkan Shima sebagai penyanyi versatil.

Sering menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air.

Justeru itu pada 11 November 1995, Shima bersama Aishah terpilih mewakili Malaysia di Concert In Singapore yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura. Beliau turut mewakili Malaysia bagi program Asia Live Special di Shanghai pada 1996, anjuran NHK dan OTV.

Sewaktu namanya berada di puncak, anak sulung daripada tiga beradik itu juga berpeluang mengetengahkan bakatnya sebagai pelakon. Antara filem lakonannya adalah “Sutera Putih”, “Red Haired Tumbler di Malaya”, “Gelora Cinta” dan “Kelisa” serta beberapa drama lain.

Shima yang merupakan salah seorang peserta program Gegar Vaganza musim pertama pada 2014 sehingga kini sudah mendirikan rumah tangga sebanyak lima kali. Selepas bercerai dengan Satiman, Shima kembali bergelar isteri kepada Khairun Lamb pada tahun 1996 dan berpisah pada 1998.

Lagu dendangan Shima masih mendapat perhatian peminat muzik tanah air hingga kini.

Shima kemudian berkahwin dengan lelaki warga Kanada pada 2003, tapi jodoh mereka tidak panjang. Kemudian pada 2019, pasangan hidup baharu yang menemaninya ialah Abdullah Rosli, suami yang muda lapan tahun daripadanya.

Seperti perjalanan rumah tangganya, kerjaya seni Shima juga mengalami pasang surutnya. Terakhir Shima merakam album adalah pada 2007 iaitu “Ke Pangkuanmu”. Tahun sebelum itu, Shima sempat memenuhi pelawaan Dato’ Ramli Sarip untuk berduet dengan penyanyi tersebut menerusi lagu “Kita Insan Biasa”, nyanyian asal Allahyarham Jay Jay dan Dayangku Intan yang dimuatkan dalam album “Ruh Zaman”.

Turut menghiasi muka depan majalah Gelagat!

Dari glamor menjadi asnaf

Jika orang luar pun tidak percaya seorang artis yang sebelum ini hidup mewah, tiba-tiba dilabelkan sebagai asnaf, inikan pula yang empunya diri.

Shima yang sebelum ini pernah berniaga di kawasan kediamannya bagi menampung kehidupan, bagaimanapun terpaksa berhenti mencari rezeki menerusi perniagaan kerana masalah kesihatan.

“Bagaikan gugur jantung apabila diberitahu saya kini dikategorikan sebagai golongan asnaf. Memang hiba apabila mendengarnya tapi apa nak buat kerana ini kenyataan yang perlu saya terima.

Shima di zaman kegemilangan beliau dan kini sedia berduet dengan penyanyi baharu jika ada peluang.

“Memanglah dulu saya dijulang dan undangan persembahan pula tak putus diterima. Sekarang ini semuanya berbeza, saya kena terima hakikat yang saya sedang susah. Tak perlu saya ego nak menafikan perkara ini kerana ia ujian Allah.

“Saya tak pernah minta apa-apa daripada masyarakat. Tapi peluang tak diberikan untuk mencari rezeki. Malah persembahan yang bayar murah pun saya pergi,” kata Shima kepada pihak media sewaktu pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengunjungi kediamannya sebelum ini.

Tambah Shima, secara luaran orang nampak dirinya sihat tapi sebenarnya beliau menanggung sakit. Penyanyi itu bukan menghidap sejenis penyakit tapi pelbagai. Antara penderitaan yang perlu dilaluinya adalah penyakit paru-paru dan ‘slipped disc’.

Antara album Shima yang mendapat sambutan

“Sudah 10 tahun saya tidak boleh buat kerja berat. Saya juga ada masalah pundi kencing lemah. Jadi, saya sentiasa pakai lampin pakai buang. Itu semua memerlukan duit. Tidak tahu hendak cakap berapa kos sebulan, apatah lagi, dengan ubat-ubatan. Saya nampak sihat, tetapi sebenarnya, menanggung sakit,” katanya tanpa berselindung.

Shima yang reda dengan segala dugaan yang dilalui dan memerlukan sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk perubatan sahaja masih cekal mencari rezeki dengan cara lain.

Kini, Shima menggunakan platform TikTok untuk mencari rezeki kerana dengan menyanyi saja beliau memperolehi pendapatan walaupun tak banyak seperti mana menjayakan persembahan pentas.

Sebagai persediaan untuk kembali aktif, Shima sering membuat siaran langsung  di TikTok.

“Ini adalah satu perkara baharu buat saya, sedangkan ramai rakan artis lain sudah buat. Apabila rajin ‘live’ di TikTok, adalah sedikit rezeki buat saya. Saya anggap menyanyi di TikTok adalah sebagai persediaan untuk saya menjayakan persembahan di luar sana, mana tahu kalau ada yang nak tawarkan saya buat show.

“Insya-Allah, kalau ada tawaran memang saya akan terima kerana dengan menyanyi saja saya dapat mencari rezeki. Nak berniaga macam dulu dah tak boleh sebab saya ada masalah kesihatan yang tak mengizinkan saya bekerja ‘lasak’.

“Saya rindu untuk mengadakan persembahan di pentas dan bertemu dengan peminat secara langsung, semoga adalah yang sedia menawarkan peluang show untuk saya. Sekarang ini selain menyanyi di TikTok yang saya anggap sebagai latihan, saya juga menjalani latihan dengan kumpulan muzik abang Man Kidal sebagai persediaan kerana tidak lama lagi saya bakal mengadakan mini showcase di Melaka,” katanya yang tetap bersemangat untuk meneruskan kerjaya seni.

Shima harap ada peluang untuknya menjayakan persembahan pentas bagi menyara kehidupannya.

Merasakan dirinya sudah lama ‘berehat’, pada tahun ini Shima yang boleh dihubungi menerusi TikTok @Shima Teringin Official, berharap selain mendapat tawaran mengadakan persembahan, beliau juga mahu tampil dengan single baharu.

Bagi Shima, semangatnya untuk meneruskan kerjaya seni tidak pernah putus, cuma menunggu peluang yang bersesuaian saja. Menyanyi bukan untuk meraih populariti kerana semua itu sudah dilaluinya sebelum ini, sekarang bagi Shima menyanyi adalah satu ‘pekerjaan’ untuk menyara kehidupannya.

Previous articleKebaikan daun kelor untuk kesihatan
Next articleFizz Fairuz nak angkat sejarah Melayu Pahang melalui filem Datuk Bahaman

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here