Oleh : Nafsiah Jani
Daun kelor atau dikenali sebagai Moringa Oleifera telah diiktiraf sebagai tumbuhan ajaib oleh pakar-pakar perubatan sedunia kerana membantu menyembuhkan pelbagai penyakit.
Kandungan vitamin C, vitamin A dan kalium pada moringa lebih tinggi berbanding sayur-sayuran dan buah-buahan lain di dunia. Daun ini sangat banyak khasiatnya kerana ia juga boleh dimakan mentah, dimasak, dijadikan serbuk, air rebusan, jus atau dibancuh sebagai teh herba.
Setiap bahagian pokok ini bermula dari daun, buah, bunga, akar, malah sekam dan minyaknya mempunyai khasiat perubatan. Daun kelor juga disebut sebagai makanan super kerana mengandungi pelbagai vitamin yang luar biasa seperti vitamin E, C, K dan B6 serta kaya dengan mineral seperti kalsium, zat besi dan magnesium.
Selain itu, daun moringa juga mengandungi asid amino dan antioksidan yang kuat seperti flavonoid dan polifenol. Daun moringa juga kaya sumber dengan sumber nutrisi yang menjadikannya sebagai makanan tambahan yang sangat baik untuk menyokong kesihatan tubuh badan secara keseluruhan.
Daun Moringa juga elok dimakan setiap hari kerana ia dapat meningkatkan sistem imuniti badan iaitu melindungi badan dari jatuh sakit dan terhindar daripada pelbagai jenis virus yang sedia ada.
Daun moringa membantu mencegah gangguan pernafasan seperti asma. Kandungan zat besi dalam daun kelor juga dapat membantu mencegah anemia dengan meningkatkan pembuatan sel darah merah dalam tubuh. Antara kelebihan-kelebihan yang didapati dalam daun moringa untuk kesihatan tubuh manusia ialah seperti:

- Kandungan vitamin C dan anti-oksidan yang sangat tinggi dalam daun kelor membantu memperbaiki kelembutan kulit. Kandungan vitamin C dan E yang tinggi juga membantu meremajakan dan mencantikkan kulit serta mencegah jerawat. Krim moringa juga dapat meningkatkan keanjalan kulit dan menyerikan kulit.
- Kandungan vitamin A yang tinggi dalam moringa sangat baik untuk menyihatkan mata. Moringa boleh membuat mata anda sentiasa berada dalam keadaan sihat dan jelas.
- Daun Kelor juga sangat bagus untuk merawat penyakit sendi kerana ia mengurangkan pengumpulan asid urik pada sendi sehingga boleh menyembuhkan penyakit sendi atau gout.
- Kandungan antioksidan yang tinggi dalam daun moringa dapat membantu melindungi sel-sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas dan mengurangkan tekanan oksidatif. Ia juga memiliki sifat anti-kanser yang dapat membantutkan pertumbuhan sel-sel kanser dalam tubuh dan mengurangkan penyakit jantung
- Daun moringa dipercayai mempunyai kesan hipoglisemik, yang dapat membantu mengawal paras gula dalam darah. Sebatian seperti isothiocyanates di dalamnya dapat meningkatkan insulin dan mengurangkan rintangan insulin. Beberapa kajian menunjukkan bahawa pengambilan ekstrak daun moringa membantu mengurangkan paras gula dalam darah pada individu dengan diabetes atau pradiabetes.
- Daun moringa kaya dengan sebatian antioksidan seperti flavonoid, asid askorbik dan quercetin. Antioksidan ini membantu melindungi sel-sel badan daripada kerosakan akibat radikal bebas, mengurangkan tekanan oksidatif, dan menyokong kesihatan secara keseluruhan. Ia juga mencegah penyakit kronik seperti kanser dan penyakit kardiovaskular.
- Daun moringa kaya dengan serat yang membantu mengawal sistem pencernaan, pergerakan usus, menggalakkan pembuangan najis yang teratur, dan mengurangkan risiko sembelit.
- Bila usia semakin meningkat, penghasilan sperma lelaki juga semakin menurun. Dengan mengamalkan makan daun, buah atau ekstrak moringa ia juga dapat meningkatkan kesuburan lelaki dengan meningkatkan penghasilan sperma.
- Kandungan kalsium dan fosfor dalam daun kelor baik untuk kesihatan tulang dan membantu mencegah osteoporosis serta menjaga kepadatan tulang.
- Kandungan antioksidan dalam daun kelor dapat membantu melindungi kognisi otak dari kerosakan akibat radikal bebas dan membantu mengurangi risiko penyakit neurodegeneratif. Untuk sihat, amalkan air rebusan daun kelor. Ambil daun kelor yang segar dan muda. Rendam dan cuci bersih daun tersebut sebelum dijemur hingga kering. Didihkan 1 liter air dalam periuk dan masukkan dua senduk daun kelor kering ke dalam periuk. Rebus selama lebih kurang 5 minit dan tapiskan air rebusan tadi ke dalam gelas dan sedia untuk diminum.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.