Sempena Aidilfitri tahun ini Iman Troye tampil dengan album mini berjudul "Janji Raya" yang memuatkan lima lagu raya.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Iman Troye

PEJAM celik, pejam celik sudah tujuh tahun penyanyi lagu raya “Pejam Celik Hari Raya” bergiat aktif dalam bidang seni suara. Lagu raya “Pejam Celik Hari Raya” yang dikeluarkan pada 2021, dendangan Iman Troye memang trending pada tahun itu dan hingga kini lagu ciptaan Ezra Kong dan lirik oleh A.Ramlee tetap menjadi pilihan apabila hari raya menjelang.

Untuk tahun ini Iman Troye atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 23, lebih beruntung kerana bukan sekadar single raya yang dikeluarkan tapi album mini berjudul “Janji Raya” yang menampilkan lima buah lagu raya sekali gus.

Turut merakam semula lagu “Kesetiaan” sebagai tanda penghormatan kepada arwah Siti Sarah yang banyak memberinya motivasi di awal kemunculannya.

Lagu terbitan XO House itu memuatkan lagu “Raya Ya Ya” duet Iman dengan Dato’ Aliff Syukri, “Salam Salam Lebaran”, “Raya Kan” kolaborasi bersama Angga Dermawan dari Indonesia, “Janji Happy Hari Raya”, duet bersama rakan artis Dalia Farhana, Zubir Khan, Naim Daniel serta Alya Mardien dan “Selendang Ibunda”.

“Kalau orang tanya tentang album, memang ceritanya agak mengejutkan tahun ini. Daripada kecil saya memang suka mendengar lagu raya, tak kiralah saya sedang mengemas rumah atau buat apa saja saya pasti akan dengar lagu raya.

Allahyarham Siti Sarah pernah membuat kejutan kepada Iman Troye dengan berkunjung ke sekolah beliau.

“Jadi saya rasa lagu raya ini sebahagian daripada kehidupan saya. Kalau tak ada lagu raya, rasanya lifes saya tak akan lengkap. Masa saya keluarkan lagu “Pejam Celik Hari Raya” ramai yang buat challenge di Tiktok dan sudah lama berehat buat lagu raya, jadi kali ini kita all out saja.

“Asalnya, saya dimaklumkan akan melancarkan lagu raya tetapi tidak tahu pula akan mengeluarkan album raya. Album raya itu bukan mengandungi satu atau dua lagu tetapi lima buah lagu iaitu tiga lagu duet dan selebihnya secara solo,” jelas Iman yang sempat mencetus kemelut dengan pasangan duetnya Aliff Syukri sebelum album ini dilancarkan.

Naim Danirl dan rakan-rakan lain turut berduet dengan Iman Troye dalam lagu “Janji Happy Hari Raya”.

Anak bongsu daripada tiga beradik dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor itu mengakui sangat cerewet dalam penghasilan album. Iman mahukan material yang sesuai dan bagus untuk penghasilan lagu rayanya bagi mendapatkan mood raya setiap kali merakam kesemua karya tersebut.

Beliau yang mula dikenali dengan panggilan Iman sejak berusia 14 tahun dan mula menggunakan nama Troye kerana minatnya kepada YouTuber Troye Sivan yang popular dengan lagu “Angel Baby” itu berkata, semangat untuk menghasilkan album raya atas sokongan peminat juga.

Bersama rakan-rakan artis XO House yang disatukan dalam lagu raya terkini dendangan Iman Troye.

“Sebelum ini motivasi untuk keluarkan album itu agak kurang mungkin sebab mood raya belum tiba lagi. Namun, selepas saya muncul dengan pelbagai konten TikTok dan sebagainya, ada yang komen dakwa bunyi saya nyanyi lagu lain macam mendendangkan lagu raya.

“Jadi, dari situ saya sudah mula ambil mood dan kalau lagu sedap, insya-Allah orang akan dengar. Malah saya juga berjaya memenuhi impian untuk berkolaborasi dengan Angga Dermawan yang popular dengan genre moden jedag jedug terlaksana. Kiranya lagu “Raya Kan” melambangkan semangat serumpun, menyatukan budaya Malaysia dan Indonesia dalam suasana raya yang meriah,” jelasnya.

Iman yang memulakan kerjaya seni sebagai model sambilan untuk jenama pakaian Muslimah, Leeyanarahman dan mula menjadi personaliti media sosial kerana sering menyanyi lagu saduran dalam Instagram (IG) sejak berusia 16 tahun turut mendapat julukan sebagai Nabila Razali 2.0 kerana vokalnya yang hampir sama dengan penyanyi lagu “Raya Mana”.

Aliff Syukri juga berduet dengan Iman Troye dalam lagu “Raya Ya Ya”.

Meskipun nyanyiannya di media sosial mendapat sokongan ramai, Iman masih tidak yakin dengan kebolehannya dan pernah berkongsi dalam satu temu bual memberitahu segalanya berubah selepas mendapat motivasi daripada Cikgu Joe.

“Saya tidak pernah terdetik mahu menjadi penyanyi, namun Cikgu Joe yakin dengan kemampuan untuk pergi jauh dalam bidang seni. Cikgu Joe tetap berkeras dan membawa saya menyertai pelbagai pertandingan.

“Nyata, apa yang Cikgu Joe katakan benar apabila saya berjaya muncul juara. Malah, Cikgu Joe juga mendorong saya menyertai program ‘I Can See Your Voice’ musim kedua, 2019. Beliau sanggup menghantar saya ke sesi uji bakat,” imbas Iman yang merupakan lulusan Diploma Seni Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu.

Iman Troye merupakan duta pusat ilmiah PTTI.

Iman yang sebelum ini tampil dengan single pertama berjudul “Teman” pada 2020 dan lagu tersebut paling banyak distrim melalui Spotify sehingga mencecah 1.5 juta, manakala jumlah tontonan video muzik di YouTube saja sebanyak 20 juta.

Populariti lagu “Teman” sekali gus memberi peluang kepada Iman untuk dipilih antara 15 artis berbilang kaum menyumbangkan suara untuk lagu patriotic sempena Hari Kemerdekaan negara ke-64 tahun berjudul “We Are One” hasil karya Teng Bee terbitan Multimedia Entertainment. Lagu ini diterbitkan bagi membangkitkan semangat rakyat Malaysia memerangi penularan pandemik Covid-19.

Manakala single ketiga Iman berjudul “Nang” dikeluarkan pada Oktober 2021 dan pada November wajahnya dipilih menghiasi papan iklan digital gergasi di Times Square, New York, Amerika Syarikat.

Bakat Iman Troye mula mendapat perhatian apabila beliau sering menyanyikan lagu saduran di Instagram.

Penghormatan tersebut secara tidak langsung menjadikan Iman sebagai penyanyi bertudung Malaysia ketiga dan artis wanita tempatan keempat yang terpilih menjayakan kempen Equal yang dikendalikan platform muzik digital, Spotify untuk memupuk ekuiti dan mengetengahkan artis wanita dari seluruh dunia.

Nama Iman semakin melonjak naik setelah menyertai pertandingan ‘The Masked Singer’ musim kedua dengan dendangan lagu “Kamelia”. Pada tahun 2022, beliau muncul dengan single “Harum Sundal Malam” dan diikuti dengan lagu “Omong Kosong”.

Iman yang penah mendapat kejutan daripada Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang berkunjung ke sekolahnyabagi memberikan kata-kata semangat sewaktu beliau menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2019 turut merakam semula lagu popular Allahyarham iaitu “Kesetiaan”.

Wajah Iman Troye pernah terpampang di papan iklan digital di Times Square, New York, Amerika Syarikat.

Bagi Iman, penyanyi lagu “Kesetiaan” itu sentiasa menjadi insan teristimewa di hatinya. Bukan itu sahaja, arwah Siti Sarah juga menjadi pemangkin semangat Iman untuk terus gagah melangkah dalam dunia seni.

Iman pernah berkongsi, tatkala beliau berhadapan dengan tekanan akibat kecaman pada awal kemunculannya, arwah antara individu yang sentiasa memberikan semangat.

Dengan memori yang terus terpahat di hati, Iman berkata, beliau merakamkan semula lagu “Kesetiaan” bagi menghargai insan istimewa itu.

Lagu “Teman” dan “Bunga Kemboja” dendangan Iman Troye, antara yang digemari ramai.

“Saya merakam semula lagu “Kesetiaan”, dendangan asal kakak kesayangan, arwah Siti Sarah, sebabnya, saya sangat menghargai dan sentiasa mengenang memori bersamanya. “Kesetiaan” antara lagu kegemaran saya. Disebabkan itu, saya menjadikan rakaman semula lagu ini sebagai penghargaan.

“Bagi yang tidak tahu, arwah memberikan semangat untuk memulakan langkah sebagai penyanyi. Saya sempat berguru dan belajar beberapa perkara dengan arwah, Alhamdulillah. Kami kerap juga berjumpa di mana arwah mengajar vokal dan bagaimana nak bina keyakinan berhadapan dengan orang ramai. Sebab itu saya sangat terasa pemergiannya, sebab selalunya saya banyak mengadu kepadanya,” katanya dalam satu temu bual.

Iman yang nekad untuk berkahwin apabila usia menginjak 30 tahun selepas ditinggalkan kekasih sebelum ini, merupakan duta pusat ilmiah, PTTI. Bagi Iman tugasnya bukan sekadar duta tapi perlu menggalas tanggungjawab tersebut dengan penuh amanah kerana pendidikan demi masa depan.

Sewaktu sambutan ulang tahun Iman Troye pada tahun lalu.

Selain itu, Iman juga pernah dilantik menjadi duta bagi produk makanan berasaskan coklat dan bijirin jenama Nims selama setahun dalam usaha memperkenalkannya di pasaran Malaysia dan juga luar negara. Malah beliau juga sebelum ini merupakan duta pertama telefon pintar Vivo Siri Y.

Meskipun mendapat tawaran untuk berlakon, sehingga kini Iman lebih senang memberi tumpuan kepada nyanyian dan muzik.

“Sekarang sebagai penyanyi pun, saya belum berada pada tahap stabil dan banyak yang perlu dilakukan lagi. Oleh itu, untuk kembangkan bakat dalam lakonan, tunggu dulu.

Rezeki Iman Troye tidak putus kerana sering mendapat tawaran untuk menjadi dita pelbagai produk.

“Saya kena mempersiapkan diri dengan ilmu lakonan dulu dan apabila sudah betul-betul bersedia, baru melangkah. Saya tidak mahu tergesa-gesa jadi pelakon kerana sekadar cuba-cuba.

“Lagipun, saya tak mahu digelar atau dikatakan orang sebagai ‘pelakon kayu’ serta apa saja panggilan kurang baik. Saya nak kalau berlakon nanti, penonton yang tengok itu tahu saya memang boleh berlakon,” katanya yang akan menyertai kelas lakonan untuk menimba ilmu bagi mempersiapkan diri sebagai pelakon.

Previous articleWow!…”LEGASI LAYAR PERAK” Bakal Gegarkan Singapura!
Next articleJohan seronok jadi usahawan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here