Oleh: Khadijah Ibrahim
BERMULA sebagai peserta pasangan ibu dan anak dalam program realiti ‘Famili Duo’ musim pertama pada 2021, kini Sharifah Zarina Wan Hassan kembali bergandingan dengan anak sulungnya, Athalia Deen menerusi lagu raya, “Oohaa Raya”.
Sharifah Zarina memilih untuk menyanyikan lagu “Oohaa Raya” berduet dengan Athalia kerana ia merupakan sebuah projek lagu raya yang cukup bermakna kerana lagu itu membawa kisah tentang kehidupan realiti mereka anak-beranak terutama pada saat menyambut raya.
Lagu “Oohaa Raya”yang diterbitkan Faithful Music dengan kerjasama Malika Entertainment itu merupakan karya lagu ciptaan komposer Eugene Lai dan Ja’a, manakala lirik dihasilkan Ja’a, Eugene Lai serta Sharifah Zarina dan Athalia sendiri.

Penyanyi yang melonjak namanya menerusi lagu “Langit Ketujuh” itu berkata, selepas menghasilkan lagu “40” pada tahun lalu, beliau berasakan perlu adanya kesinambungan lagu itu dan dari situlah tercetusnya idea untuk berkolaborasi bersama anaknya, Athalia menerusi lagu raya duet ini.
“Sebetulnya, yang bagi idea tentang kolaborasi duet ini datangnya daripada komposer Eugene Lai yang turut bertindak selaku produser lagu ini. Bila difikirkan semula, saya rasa kenapa tidak saya berduet dengan Athalia kerana ia suatu idea yang bagus. Lagipun, mana ada lagi lagu raya yang menggabungkan ibu dan anak sebagai penyanyi.
“Selalu waktu rakamkan suara di studio, saya kena nyanyi seorang diri. Tapi, bila kena duet dengan anak sendiri, adakalanya saya ‘terbawa’ sikap seorang emak yang cuba kongsi idea, menegur, mengajar atau pun marah kepada Athalia,” katanya tanpa berselindung.

Mengenai kisah “Oohaa Raya”, kata Sharifah Zarina, perkataan Oohaa itu sendiri diambil daripada bahasa Iban yang boleh dimaksudkan sebagai Hello atau Hai.
“Perkataan Oohaa ini digunakan begitu meluas di Sarawak sebagai anak kelahiran bumi Kenyalang, saya cuba menyelitkan sesuatu yang ada kaitan dengan budaya yang ada di negeri saya.
“Tapi, apa yang tertera di dalam lirik ini memang 100 peratus berkisar dengan apa yang berlaku tentang diri saya dengan anak-anak saya. Kalau siapa yang mengikuti akaun TikTok saya memang tahu sangatlah dan kisah kami anak-beranak memang selalu dapat tontonan tinggi di platform media sosial tersebut,” katanya lagi.
Bercerita lanjut mengenai pembikinan video muzik lagu “Oohaa Raya”, Sharifah Zarina berkata sepanjang penggambaran sangat menyeronokkan walaupun dilakukan dalam bulan puasa.

“Penggambaran video muzik “Oohaa Raya” ini pula sangat menyeronokkan kerana saya berpeluang menjayakan siri web yang juga konten tambahan untuk lagu ini kerana akhir-akhir ini saya memang minat sangat berlakon, lebih-lebih lagi kalau jalan ceritanya bergenre komedi.
“Kita syut video muzik lagu raya ini dalam bulan puasa, jadi memang seronoklah dapat buka puasa ramai-ramai dengan semua team produksi,” katanya yang kali terakhir muncul dengan lagu raya solo sekitar 2017 menerusi lagu “Seiring Gema Takbir” ciptaan Azmeer.
Bagi Athalia pula yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui beliau teruja apabila dapat berduet dengan ibunya, menerusi lagi “Oohaa Raya”, apatah lagi bila menyedari bahawa konten mereka anak-beranak amat disukai dan sering ditonton ramai di TikTok.

“Itu yang membuatkan saya bersetuju dan berasa perlunya saya dan ‘mama’ (panggilan buat Sharifah Zarina) menjayakan projek lagu raya ini secara duet. Setidak-tidaknya, ia dapat mengeratkan lagi hubungan kami anak-beranak sewaktu bekerja dan pada masa yang sama kami dapat melihat cara kerja masing-masing dan belajar antara satu sama lain.
“Tapi, ada waktu-waktunya, ia agak komplikated juga. Sebab, kadang-kala kita secara tidak langsung berdebat siapa yang betul dan siapa yang salah. Tapi akhirnya, kami cuba berdiskusi untuk mencari persetujuan bersama serta mencapai solusi terbaik dan hubungan sebagai sebagai ibu dan anak itu sebetulnya lebih memudahkan kami untuk menyelesaikan isu-isu seperti ini.
“Menjayakan proses rakaman suara dan penggambaran video muzik “Oohaa Raya” bagi saya satu proses yang menyeronokkan. Saya bersyukur kerana selain berpeluang menghasilkan lagu raya bersama mama, saya juga punya satu lagi lagu raya bersama beberapa rakan artis. Harap orang akan terima dan suka dengan kedua-dua lagu raya ini kerana ia memiliki vibe serta jalan cerita yang berbeza tetapi tetap ‘fun’ didengar,” katanya.

Sementara itu, Eugene berkata, pada awalnya, beliau dengan Ja’a mahu menghasilkan lagu raya yang memiliki elemen keroncong dengan tempo lebih perlahan.
“Bagaimanapun, Sharifah Zarina dan Athalia memberikan cadangan supaya melajukan tempo lagu untuk mendapatkan elemen feel reggae bagi menjadikan lagu ini menarik kerana secara tidak langsung ia telah menggabungkan elemen muzik tradisional dan moden.
“Sharifah Zarina dan Athalia juga menukar lirik dan menambah melodi baharu untuk disesuaikan dengan personaliti mereka dalam lagu ini. Bagi saya, “Oohaa Raya” adalah sebuah lagu raya yang ‘fun’ kerana ia menampilkan usikan atau gurauan di antara ibu dengan anak perempuannya,” katanya.
Ja’a pula mengakui beliau sangat berpuas hati dengan hasil rakaman “Oohaa Raya” dan tidak menyangka bahawa elemen muzik moden reggae dengan muzik tradisional keroncong boleh digabungkan menjadi lagu raya.

“Semua ini tidak akan tercapai tanpa adanya kerjasama yang baik dengan Sharifah Zarina serta Athallia yang juga berbakat menulis lirik dan melodi, sekali gus menjadikan ia sebuah lagu raya lengkap yang lengkap berkonsepkan antara ibu dan anak,” ujarnya.
Lagu “Oohaa Raya” edaran Universal Music Malaysia dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman muzik termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube. Manakala, video muzik rasmi lagu ini ditayangkan di saluran YouTube Faithful Music.
Menariknya, sebanyak enam episod siri web lagu duet raya ini turut dihasilkan serta dimuatnaik di akaun TIkTok Sharifah Zarina https://www.tiktok.com/@realsharifahzarina serta Athalia https://www.tiktok.com/@officialathalia.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.