Datuk Norman KRU bangga (Tengah) menerima Anugerah yang disampaikan YM. Tengku Datuk Dr. Hishamuddin (Paling Kanan) bersama Datuk Nor Hasnal (Paling Kiri)

Oleh : Syed Wafa
Foto: Anwar Razali Stailista/Zack Zull/
Afhzahafiez Kamaruddin

Datuk Norman Abdul Halim dan Datuk Aaron Aziz adalah antara artis yang menerima Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025 anjuran Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM). Anugerah ini diberikan bagi menghargai pencapaian dan bakat seseorang selebriti dalam bidang seni serta dunia perniagaan baru-baru ini.

Pemilihan Norman sebagai penerima anugerah yang berprestij
ini berdasarkan sumbangan beliau dalam dunia seni yang cemerlang dan amat membanggakan buat tanah air.

“Saya bersyukur dengan anugerah ini dan menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus berkarya.

Kumpulan KRU sehingga kini masih bertahan.

“Saya juga amat terharu kerana kumpulan KRU yang sudah lebih dua puluh tahun masih relevan ini terbukti dengan julan tiket konsert kami iaitu GenKru begitu mendapat sambutan malah “Sold Out” untuk hari pertama dan kedua.

“Terima kasih kepada DPDDM di atas anugerah ini dan kami sebagai anak seni amat hargainya,” kata Norman terharu.

Di sebalik majlis gilang gemilang ini, tercatat sejarah yang tersendiri apabila wartawan tersohor tanah air iaitu Muzlina Abu Bakar yang merupakan bekas editor majalah hiburan Malaysia no 1, URTV, bekas editor hiburan Utusan Malaysia, bekas editor hiburan Mingguan Malaysia (Pancaindera) dan kini penulis di portal terkenal BebasNews sebak menitis air mata apabila melihat Norman menerima anugerah tersebut.

Kami sebagai saksi peristiwa tersebut juga turut terharu dengan sikap Norman yang begitu menghormati insan hebat ini iaitu Kak Lin (Panggilan mesra Muzlina Abu Bakar)

Apabila Norman diberitahu Kak Lin ada bersama sebagai jemputan media, beliau terus bangun dari meja utama VIP untuk bertemu dengan beliau.

“Inilah wartawan terawal yang menulis mengenai KRU dan terlalu besar jasanya kepada kami, saya amat bangga hari ini dapat bertemu dengan Kak Lin, anugerah ini juga saya tujukan kepada beliau,” kata Norman bersunguh-sungguh.

Konsert Genkru kumpulan KRU begitu mendapat sambutan di atas jualan tiket.

Peristiwa ini bukti Norman seorang yang begitu mengenang jasa media terutama Kak Lin yang begitu banyak jasanya pada dunia hiburan tanah air.

“Kak Lin agak sebak tapi amat bangga dengan Norman malah adik beradik beliau yang lain, Edry dan Yusri, masih gah dalam dunia seni tanah air, mereka adalah contoh artis yang tinggi budi bahasanya dan itulah sikap mereka dari awal penglibatan dalam dunia seni,” kata Kak Lin sambil berlinang air mata.

Majlis ini juga turut memberi penghormatan kepada 55 individu yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Antaranya wartawan hiburan, Syed Wafa, pelakon legenda dan pengarah popular A.R.Badul, Poey Sting dan Rina Eva yang menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam industri hiburan dan keusahawanan.

Sebelum ini DPDDM juga telah menyampaikan Anugerah dan Watikah Usahawan Madani 2024 kepada 60 tokoh keusahawanan negara dari pelbagai bidang.

Dalam majlis itu juga turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DPDDM bersama pihak ReSkills Edtech Sdn. Bhd. dan Timor Leste yang turut disaksikan YM Tengku Datuk Dr. Hishamuddin Zaizi Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj selaku tetamu kehormat.

Norman tidak melepaskan peluang untuk berselfie bersama dengan wartawan tersohor tanah air, Kak Lin (Muzlina Abu Bakar) yang banyak berjasa dalam kerjaya seni beliau bersama kumpulan KRU.

Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi berkata, kerjasama dengan ReSkills bagi menyediakan sistem pembelajaran sebagai sebahagian daripada inisiatif kemasyarakatan madani.

“Diharap melalui kerjasama strategik ini dapat meningkatkan lagi akses kepada pendidikan berkualiti yang menguntungkan semua pihak. Kerjasama pembelajaran dalam talian ini menawarkan latihan kemahiran secara percuma bagi memastikan golongan kurang berkemampuan tidak ketinggalan dalam inovasi digital era pendigitalan, bidang teknologi maklumat dan keusahawanan.

“Diharap inisiatif ini juga dapat membuka lebih banyak peluang kepada belia B40 untuk meningkatkan daya saing mereka di pasaran kerja. Melalui kerjasama ini juga ramai pelajar dan usahawan muda dapat memperolehi kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan industri.”

Bercakap mengenai Timur Leste pula, kata Nor Hasnal Hashmi, Timor Leste ada potensi besar bagi pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian dan tenaga.

“Kami ingin memastikan ahli-ahli DPDDM dapat meneroka bidang dengan lebih mudah dan sokongan strategi yang kami sediakan. Kerjasama ini dijangka dapat merancakkan pertumbuhanekonomi kedua-dua negara dengan membuka lebih banyak peluang daripada pelbagai sektor seperti infrastruktur, pertanian, tenaga hijau dan keusahawanan,” kata beliau.

Datuk Nor Hasnal (berdiri dari kiri) bersama Syed Yusof Wafa, (Duduk kiri) Datuk Aaron Aziz, YM. Tengku Datuk Dr. Hishamuddin dan Datuk Norman KRU yang menerima Anugerah DPDDM baru-baru ini.

Ujar Nor Hasnal Hashmi lagi,Selain membantu ahli, kami juga turut membantu usahawan muda untuk terus berjaya dengan pelbagai bantuan yang boleh kami tawarkan.

“Galakan dan inspirasi ini merangkumi pelbagai kepakaran, daripada golongan profesional sehingga separa mahir. Kami juga menyasarkan untuk melahirkan 1000 usahawan dalam tempoh enam bulan akan datang melalui pelbagai kaedah dan platform yang telah dirancang,” ujarnya yang ingin menjadikan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan pengeluaran halia yang dinamakan Halia Emas.

Selain itu, DPDDM juga turut bekerjasama dengan Usahacaya Urus Sdn Bhd untuk Projek Usahawan Vending Machines bagi membantu golongan B40 serta Projek Usahawan Agro Tani yang melibatkan latihan bersama INSKEN untuk mengusahakan tanaman Halia Bentong dikenali sebagai Halia City akan diwujudkan di kawasan seluas 100 hektar menggunakan teknologi Internet of Things (IoT).

Previous articleSiti Saleha berjaya hidupkan watak Chempaka Humairah, hingga dibenci
Next articleBahaya kanser usus yang ramai orang tak tahu! (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here