Oleh: Khadijah Ibrahim
TIAP kali menonton drama “Dia Imamku” tak tahulah sudah berapa banyak maki seranah yang dilontarkan kepada Siti Saleha yang melakonkan watak Chempaka Humairah. Geram sangat dengan perangai sombongnya itu terutama kepada Amiruddin, lakonan Kamal Adli.
Drama 52 episod yang disiarkan menerusi slot Mega Drama setiap Isnin hingga Khamis, 10 malam di saluran Astro Ria dan dijangka berakhir pada 15 Mei ini diadaptasi daripada novel popular karya Siti Rosmizah dan diarah oleh Feroz Kader.

Siti Saleha, 35, yang sah bergelar isteri kepada Joshua Fitton pada 15 Februari lalu, sedar watak Chempaka Humairah bakal menerima kecaman daripada penonton dan sebab itulah beliau menyahut cabaran untuk melakonkan watak tersebut.
“Bersyukur sangat apabila mendapat tawaran daripada Kak Siti Rosmizah selepas karya yang terdahulu. Buat saya, cita rasa dan pemilihan watak sangat penting dan saya kalau boleh mahu memainkan watak wanita yang dominan.

“Saya tidak mahu mainkan watak wanita dipukul dan lemah. Jadi bila dapat tawaran utk watak Chempaka, saya tahu novel ini ada pengikutnya dan jalan cerita sangat kuat sebab ia merupakan karya Kak Siti Rosmizah. Saya percayakan karyanya,” katanya yang sebelum ini muncul dalam drama “7 Hari Mencintaiku” untuk musim pertama dan kedua yang juga karya Siti Rosmizah.
Dapat membaca pandangan penonton yang emosi itu, Siti Saleha berharap kecaman itu hanya ditujukan kepada watak Chempaka Humairah dan bukan untuk dirinya.

“Ada sebab kenapa Chempaka Humairah jadi begitu biadap dan kurang ajar. Dan saya mengambil ini sebagai salah satu cabaran buat diri saya. Dia berkelakuan begitu kerana sebab-sebab tertentu.
“Tema pengorbanan, cinta dan keluarga membuatkan saya menerima tawaran drama ini selain sudah lama tidak muncul di kaca TV. Saya juga gembira mendapat tawaran untuk bekerjasama sekali lagi dengan Kamal Adli,” ujar Siti Saleha.
Selain itu, Siti Saleha juga turut mengungkap bahawa dirinya mempunyai ‘chemistry’ yang baik dengan Haneesya Hanee yang membawakan watak Dahlia.

“Watak Dahlia yang dibawakan oleh Haneesya memang lucu dan saya sentiasa ternanti-nantikan adegan pergaduhan kami. Kadang kala saya terbawa-bawa hingga ke luar sebab saya dan Haneesya ada chemistry,” ujarya.
Menyeru penonton untuk menggali pelbagai pengajaran dalam drama ini, lapisan emosi dan perasaan yang dibawakan dalam diri Chempaka Humairah akan membawa kepada penyebab kenapa Wanita itu menjadi seorang pendendam sehingga begitu.
“Banyak pengajaran yang saya sendiri dapati dari drama ini. Salah satunya kenapa Chempaka Humairah menjadi seorang yang cukup pendendam. Saya belajar, apa pun yang kita lakukan, jika Allah sudah beri pentunjuk kepada jalan yang betul, maka jangan keras kepala dan melawan cakap ibu bapa.

“Kerana keluarga serta ibu bapa adalah kunci kebahagiaan kita. Jangan tunjuk angkuh dan sombong kerana pada akhirnya ia tidak berbaloi,” luahnya setelah meneliti watak Chempaka.
“Dia Imamku” mengisahkan tentang Cempaka Humairah, seorang gadis sombong dan berlidah tajam yang baru pulang dari London dan
bekerja sebagai pengurus di syarikat keluarganya.
Namun, di sebalik sikap angkuhnya, Humairah sebenarnya berasa tidak yakin dan dahagakan perhatian kerana ibu bapanya, Dato’ Malik dan Datin Orkid, lebih mengutamakan kakaknya, Lily Hamra. Dia membenci sesiapa sahaja yang berjaya menarik perhatian ibu bapa dan neneknya.

Pertemuan pertamanya dengan Amir, atau lebih dikenali sebagai Budin, di rumah Nek Bunga menanam bibit kebencian dalam dirinya. Pada pandangannya, Amir hanyalah pemuda kampung yang tidak mempunyai hala tuju dalam hidup.
Sementara itu, Humairah mempunyai musuh ketat sejak sekian lama iaitu Dahlia, cucu yatim piatu Nek Bunga yang tinggal bersamanya di kampung. Dahlia, yang terkenal dengan mulut celupar seperti Humairah, sering bertikam lidah dan bergaduh dengannya. Rasa cemburu membakar hubungan mereka.
Namun, selepas satu insiden, Humairah mula menyedari keikhlasan hati Amir. Sayangnya, segalanya sudah terlambat. Hati Amir telah tertutup buat Humairah, walau sebanyak mana pun dia merayu dan memohon kemaafan.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.