Oleh: Khadijah Ibrahim
HATI menjadi remuk-redam jika tidak dapat pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga kerana raya hanya setahun sekali. Itulah perasaan yang bakal ditanggung oleh anak rantau yang berkelana mencari rezeki jauh dari kampung halaman.
Menyedari perasaan individu yang tidak dapat berada di samping insan tersayang, maka penyanyi remaja Ummi Umairah Saiful Anuar atau Umairah, 14, tampil dengan single raya pertamanya berjudul “Tak Balik Raya”.

Menurut Umairah, lagu ini menampilkan lirik mengenai dilema seseorang yang terpaksa menyambut hari raya berjauhan dengan keluarga kerana terpaksa bekerja.
“Lagu ini bukan sahaja menyampaikan emosi rindu dan sayu tetapi menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi yang segar. Pertama kali mendengar demo lagu ini, saya sudah jatuh cinta kerana ia bercerita tentang realiti kehidupan.
“Tak Balik Raya” berkisar mengenai dilema seseorang yang terpaksa menyambut hari raya berjauhan dengan keluarga kerana terpaksa bekerja. Walaupun liriknya menyentuh hati tetapi ada nada memujuk dengan kemajuan teknologi terkini, anak-anak masih dapat menghubungi keluarga dengan pelbagai cara seperti menelefon dan sebagainya,” jelasnya mengenai lagu dan lirik ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito itu.

Kata anak saudara kepada penyanyi Dato’ Seri Siti Nurhaliza, lagu “Tak Balik Raya” itu mudah melekat di ingatan sesiapa yang telah mendengarnya. Tambahan pula, jelas Umairah muzik dan emosi lagu ini juga sesuai dengan usia remajanya.
“Lagu ini mudah melekat di ingatan dan sejak saya mengeluarkan `teaser’ atau petikan awal lagu ini, saya menerima komen positif daripada warganet. Saya juga terharu dengan sokongan yang diberikan kepada saya sebagai artis baharu dalam industri muzik,“ kata Umairah yang bergelar juara kategori vokal (junior) di World Championships Of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Umairah yang merupakan artis naungan SN Legacy, milik Siti Nurhaliza itu juga turut menampilkan rakan-rakannya dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur sebagai penari pengiring dalam video muzik “Tak Balik Raya” yang diarah oleh Rifaiee Rio dari Rio Films.
Lagu “Tak Balik Raya” mendapat kepercayaan pihak Universal Music Sdn.Bhd sebagai pengedar yang turut membantu mempromosikan lagu ini terutamanya pada bulan Ramadan dan Syawal.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.