Oleh: Khadijah Ibrahim
DUA tahun lalu Andi Bernadee tidak sempat membuat persiapan dan terpaksa “Raya Last Minit” bersama dengan Ryan Bakery. Tahun ini Andi atau nama lengkapnya, Andi Azrul Andi Mapangile, 34, sudah bersedia untuk menyambut Aidilfitri.
Kali ini Andi yang bernaung di bawah Universal Music Malaysia tampil menyanyikan lagu raya secara solo iaitu “Inikan Hari Raya” ciptaan Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Omar K. Manakala lirik lagu ini turut mendapat sentuhan lirik nukilan Andi Bernadee sendiri bersama Hanis Rafi, Firdaus Rahmat serta Omar K juga.
Lagu yang menggabungkan elemen moden dan tradisional ini dijangka akan memberi kelainan serta menyemarakkan lagi suasana perayaan dengan irama yang catchy dan menghiburkan.

Menurut Andi, proses rakaman lagu ini melibatkan dua kali sesi di studio. Pada sesi pertama, beliau merakamkan vokal utama sebagai demo untuk merasai ‘feel’ lagu tersebut.
“Dari situ, saya dan komposer berbincang tentang muzik, adunan, dan lirik yang sesuai. Hanya selepas itu, kami melakukan rakaman kali kedua dengan segala keputusan yang telah disahkan,” katanya mengenai proses rakaman yang teliti ini.
Andi berharap agar para pendengar dapat menikmati lagu “Inikan Hari Raya” dengan sepenuh hati.

“Saya ingin semua pendengar untuk mendengar, layan, nikmati, dan hayati lagu ini. Selain daripada suasana ceria hari raya, lagu ini juga mengandungi unsur nasihat.
“Ia menggambarkan suasana sebuah keluarga yang pulang ke kampung halaman, serta pelbagai peristiwa yang terjadi dalam persiapan dan sambutan hari raya. Situasi ini pasti berlaku di mana-mana, dan saya percaya ia dapat dirasai oleh semua orang,” jelas Andi.
Berkongsi tentang pengalamannya bekerja dengan individu lain dalam menghasilkan lagu ini, Andi menyatakan beliau sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

“Bagi saya, perkara ini sudah menjadi biasa. Saya lebih suka bekerja dengan mereka yang suka berbincang, berkongsi idea, dan menerima idea-idea dari saya atau pasukan saya. Kolaborasi yang baik akan menghasilkan karya yang lebih sempurna dan berkualiti,” tambahnya lagi.
Andi berharap lagu “Inikan Hari Raya” dapat memberikan hiburan kepada para pendengar, terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri.
“Seperti biasa, saya berharap lagu ini dapat menghiburkan semua pendengar dan memberi sedikit keceriaan dalam meraikan Aidilfitri,” kata Andi penuh harapan untuk lagu yang dilancarkan pada 28 Februari lalu.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.