Image by wirestock on Freepik

Oleh: Nafsiah Jani

DALAM sibuk-sibuk kita menjaga kecantikan wajah, mata juga seharusnya diberikan penjagaan sempurna. Ia adalah pancaindera penting dan anugerah yang sangat berharga. Bagi yang gemar bersolek, pastikan solekan pada mata dicuci dengan bersih sebelum tidur.

Gunakan kapas atau tisu lembut dengan penanggal mekap yang sesuai dan selamat untuk menanggalkan solekan di sekeliling mata. Elakkan menggosok dengan kuat kerana dikhuatiri akan mencederakan mata atau mekap memasuki mata.

Mata yang sihat dan segar akan menampakkan wajah lebih berseri. Walaupun garis halus kedutan, dan lingkaran gelap di bawah mata boleh dilindungi dengan mekap, tetapi ia tetap tidak mampu menyembunyikan riak mata yang letih. Sebenarnya ada banyak cara boleh diamalkan untuk menjaga kesihatan dan kesegaran mata.

Seperti tubuh, mata juga memerlukan set pemakanan khusus bagi mengekalkan fungsi retina serta kesihatan mata yang menyeluruh. Jangan tunggu sehingga proses penuaan bermula untuk mendapatkan mata sihat.

Pemakanan yang betul supaya mata kekal sihat adalah dengan mengambil nutrisi seimbang di samping mengutamakan sumber makanan yang mempunyai warna hijau, kuning dan merah. Ini kerana kumpulan makanan ini kaya dengan lutein, zeaxanthin, vitamin dan mineral yang terbukti bagus untuk kesihatan mata yang optimum. Amalkan pemakanan yang kaya dengan vitamin A dan C seperti susu, sayur terutamanya lobak dan brokoli dan buah-buah seperti anggur dan apricot.

Bagi memastikan mata kita sentiasa sihat dan segar, lakukan pemeriksaan mata secara berkala bagi memastikan fungsi pengelihatan sentiasa dalam keadaan baik.

Image by Freepik

Untuk memastikan kita dapat menikmati penglihatan yang baik dan berpanjangan, jagalah kesihatan mata. Berikut beberapa langkah yang boleh dilakukan dan mudah untuk dipraktikkan. Selamat mencuba:

1. Simpan uncang teh yang sudah digunakan kedalam peti sejuk. Letak pada kedua-dua belah kelopak mata selama 10 hingga 15 minit bagi mengembalikan kesegaran selepas seharian bekerja. Teh mengandungi kafein dan tannin yang membantu mengecutkan salur darah dan menggalakkan air bertakung disingkirkan dari kawasan sekitar mata.

2. Timun juga membantu membuat mata anda sejuk seterusnya mampu merehatkan urat saraf mata. Ambil beberapa keping hirisan timun dan letak pada kelopak mata bagi mengembalikan kesegaran mata. Selain kaya antioksida, timun mengandungi asid askorbik yang mampu mengurangkan retensi air pada mata yang menjadi punca bengkak dan cengkung di kawasan sekitarnya. Melalui cara ini, mata anda akan nampak lebih sihat dan segar.

3. Fakta sains mengatakan mata mempunyai sensitiviti tinggi terhadap warna hijau. Warna hijau dapat menenangkan dan merehatkan mata. Jadi selalulah memandang tumbuh-tumbuhan hijau untuk kesegaran mata.

4. Mata juga memerlukan vitamin yang boleh diperolehi melalui makanan yang kita ambil setiap hari. Untuk dapatkan mata yang segar dan sihat amalkan pemakanan sihat seperti asid lemak omega-3, lutein, vitamin C dan E serta makanan yang kaya nutrisi seperti bayam, salmon, tuna, telur, kekacang, oren, aprikot dan pelbagai buah-buahan sitrus.

5. Apabila seseorang itu tidak mendapat rehat yang secukupnya, matanya akan kelihatan kemerah-merahan. Salur darah yang membawa lebih banyak oksigen ke kornea mata atau tisu yang meliputi mata akan menjadi merah. Oleh itu pastikan anda juga mendapat tidur yang cukup sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam sehari bagi mengelakkan tompok hitam dibawah mata.

6. Jika ada sesuatu masuk ke dalam mata dan menyebabkan anda kurang selesa, cara terbaik ialah dengan ‘mencuci’ mata secepat mungkin supaya tidak menjejaskan pandangan. Jika memakai kanta lekap, tanggalkannya terlebih dulu dan cuci mata dengan air paip. Jika mata tetap rasa tidak selesa, segeralah berjumpa doktor.

7. Terlalu lama merenung skrin komputer juga boleh menyebabkan mata letih, pandangan kabur, sukar fokus dan mata kering. Untuk melindungi mata, dalam setiap 20 minit, berhenti seketika dan alihkan pandangan daripada skrin komputer untuk melihat objek jauh selama 20 saat. Sentiasa kelipkan mata untuk mengelakkan mata menjadi kering.

8. Cermin mata hitam memberikan perlindungan sinaran Ultra Violet (UV) daripada cahaya matahari. Pastikan anda mendapatkan nasihat daripada optometris ketika memilih cermin mata hitam. Cermin mata hitam yang baik adalah yang dapat menapis dan memberi perlindungan sebanyak 99-100% UVA dan UVB daripada cahaya matahari kerana sinaran UV boleh menyebabkan katarak.

Previous articleMenyediakan makan orang berpuasa (Bahagian 1)
Next articlePerut Sarang Penyakit? (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here