Oleh : Asmat
Selain kematian disebabkan oleh SIDS, kematian bayi juga banyak berlaku akibat tersedak susu terutamanya di pusat asuhan bayi dan kanak-kanak. Malah, rasanya saban bulan kita sering mendengar kes-kes seperti ini di paparkan di media massa. Ramai juga pengasuh atau pekerja di taska turut ditangkap dan dikenakan hukuman akibat kecuaian terhadap anak asuhan sehingga menyebabkan kematian.
Mungkin ramai yang beranggapan isu tersedak susu ini hanya sekadar tersedak susu kerana tidak tepuk di belakang bayi selepas menyusu botol. Namun, masih ramai dalam kalangan kita tertanya-tanya kenapa bayi sering menghadapi masalah tersedak susu ini.
Berikut dikongsikan beberapa faktor atau sebab kenapa bayi sering tersedak susu.
1. Posisi bayi tidak betul – Selepas menyusu biasanya bayi akan tidur. Jadi posisi bayi ketika tidur itu sangat memainkan peranan penting untuk mengelakkan tersedak susu. Tersedak susu sangat bahaya hingga boleh menyebabkan susu memasuki paru-paru sekaligus menghalang saluran pernafasan yang akan mengakibatkan bayi tersebut lemas.
Posisi sebetulnya yang perlu dibuat adalah pastikan kepala bayi lebih tinggi dari perutnya dan botol susu perlu dipegang dalam kedudukan tidak melebihi 45 hingga 60 darjah supaya air susu tidak tersekat pada tekak bayi.
2. Injap tidak matang. Bayi berisiko tersedak susu kerana injap tidak matang. Hal ini biasanya berlaku pada bayi berusia empat bulan ke bawah kerana bayi pada usia itu hanya berada dalam keadaan terbaring sahaja.
3. Cara menyusu yang tidak betul – Ibu bapa juga harus mengelakkan melapik kain atau bantal untuk menyokong penyusuan menggunakan botol susu kepada bayi. Elakkan juga membiarkan bayi memegang botol susu sendiri kerana dikhuatiri mereka tidak mampu mengawal aliran susu jika berlebihan. Jangan biarkan bayi minum susu dalam keadaan terlentang, sebaik-baiknya bayi dipangku dengan kedudukan kepala lebih tinggi dari perut.
4. Tidak sendawakan bayi selepas menyusu. Pastikan ibu ayah atau orang dewasa memastikan angin keluar sebelum bayi ditidurkan. Hal itu dapat dipastikan jika ibu bapa atau penjaga menepuk lembut di bahagian belakang kiri bayi dan kanan sehingga bayi sendawa. Antara cara lain ialah tiarapkan bayi dan letakkan perutnya di atas lutut dan gosok belakangnya perlahan-lahan.

5. Penggunaan puting botol susu yang bersesuaian. Biasanya di setiap botol susu telah ditulis sesuai untuk bayi berumur berapa. Aliran pada puting botol susu itu berbeza mengikut umur bayi. Jika masih berusia bawah tiga bulan, aliran kecil perlu digunakan bagi memastikan bayi dapat menikmati waktu menyusu dengan sebaiknya tanpa tersedak kerana aliran susu terlampau laju.
Apa yang perlu dilakukan bila bayi tersedak susu?
Mungkin ramai ibu bapa yang panik dan tidak tentu arah bila anaknya tersedak susu kan? Sabar. Jangan panik dulu, bertenang dan cuba ikuti langkah ini terlebih dahulu kerana ia tentunya mengambil masa untuk ke klinik atau menunggu pegawai kesihatan datang ke tempat kejadian.
– Berhenti susukan bayi. Letak botol ke tepi.
– Letakkan bayi dalam posisi mengiring, rendahkan kepala dan tepuk punggung perlahan-lahan supaya susu tidak masuk ke saluran pernafasan dan boleh keluar.
– Bertindak pantas dengan tenangkan bayi dan boleh juga tiarapkan dia serta tepuk-tepuk di bahagian punggungnya secara perlahan-lahan.
Jadi, bila seharusnya ibu ayah risau? Ibu ayah perlu risau jika keadaan bayi menjadi biru, tercungap-cungap, pernafasan laju dan berhenti bernafas. Ibu ayah juga patut risau sekiranya melihat susu terkeluar dari hidung bayi. Maka tindakan sebetulnya adalah segeralah berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda seperti yang dinyatakan di atas.
Penutup
Antara formula yang penting adalah jangan panik. Insya-Allah dengan ketenangan yang ada akan membuatkan kita boleh berfikir dengan lebih waras, pantas dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Perlu diingatkan sekali lagi, jangan abaikan bayi ketika menyusu dan tidur kerana dikhuatiri bayi terdedah dengan risiko-risiko lemas dan tidak dapat bernafas. Namun, jika diuji dengan anak yang meninggal ketika bayi, bersedihlah. Namun jangan berterusan kerana ingatlah, anak itu adalah anak syurga yang bakal menarik tangan ibu ayahnya masuk ke syurga kelak. Aamiin.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.