Oleh : Nafsiah Jani
Bila tibanya bulan puasa pasti berlambak-lambak buah kurma dipasaran. Sebenarnya kurma ini bagus diamalkan setiap masa dan tidak perlu menunggu bulan puasa sahaja untuk dimakan kerana ia mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat untuk kesihatan.
Kurma atau dikenali tamar merupakan buah daripada sejenis pokok palma genus Phoenix. Kurma mengandungi banyak gula dan penyerapan gula kurma dalam tubuh manusia sangat cepat antara 30 hingga 45 minit berbanding nasi yang memerlukan 4 jam untuk dicernakan. Disebabkan itu ketika berbuka kita digalakkan makan kurma kerana ia memberi tenaga segera kepada tubuh dan mencegah keletihan.
Menurut perubatan moden, kurma yang juga terkenal sebagai makanan sunnah mempunyai 10 unsur penting bagi membolehkan seseorang untuk terus kekal sihat, cergas dan bertenaga. Gula dalam kurma yang berbentuk fruktosa tidak meningkatkan berat badan dan Vitamin B6 didalamnya dapat melegakan saraf.
Dalam 100 gram kurma terdapat protein, karbohidrat dan kalori yang dapat memberikan tubuh rangsangan tenaga untuk kekuatan mental dan mengalami keletihan kerana penyakit.
Kurma membekalkan sumber serat, potassium dan vitamin yang cukup baik untuk dijadikan makanan tambahan. Walau bagaimanapun, pesakit buah pinggang dan kencing manis perlu mengambilnya secara berpada-pada. Cukup sekadar sebiji dua kurma untuk mengembalikan tenaga kepada tubuh dalam kadar segera.

Dibawah ini kami paparkan antara manfaat dan kebaikan kurma kepada tubuh badan manusia.
- Antioksidan dalam kurma dapat memberikan kulit dan rambut yang berkilauan secara semulajadi.
- Makan kurma ada waktu pagi dapat membunuh cacing kerana kandungan fenolik tinggi dalam buah ini dapat membantu ‘membersihkan usus’.
- Kurma mengandungi peratusan serat tidak larut dan larut akhir. Serat tidak larut air sangat penting membantu pergerakan najis dalam sistem penghadaman dan seterusnya mencegah sembelit.
- Serat larut air juga dapat mencegah penyakit jantung dengan mencegah peningkatan kolesterol jahat dalam darah. Manakala kompaun fenoliknya pula dipercayai dapat menurunkan risiko penyakit seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok.
- Kandungan zat besi yang tinggi dalam kurma dapat mencegah penyakit anemia (kurang sel darah merah) yang membuatkan seseorang boleh terdedah kepada masalah kekurangan oksigen.
- Kurma juga mengandungi bahan antipengoksida dan komponen antosianidin yang dipercayai dapat membantu merendahkan risiko dan mencegah kanser.
- Kandungan kuprum dan selenium dapat membantu perkembangan tulang yang sihat dan padat serta mencegah berlakunya osteoporosis. Manakala mangan pula menyokong penghasilan enzim bagi pembentukan tulang.
- Buah kurma mengandungi beberapa komponen antioksida seperti fenolik, flavionoid dan karotenoid untuk melawan radikal bebas. Antioksida ini penting bagi melindungi sel dan sistem tubuh daripada keradangan yang boleh mengakibatkan penyakit dan gangguan sistem imuniti.
- Kurma ini dapat membuatkan seseorang rasa kenyang lebih lama dan membantu seseorang mengawal pemakanan dengan lebih mudah. Namun, tidak digalakkan makan secara berlebihan dan untuk dapatkan berat yang ideal, jagalah pemakanan dan lakukan senaman.
- Kurma bermanfaat untuk meningkatkan kesihatan otak dan menurunkan risiko penyakit neurodegeratif, seperti Alzheimer. Kandungan antioksidan dan flavonoid di dalamnya dapat membantu mengoptimalkan daya ingatan seseorang.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.