Marsha mengucup trofi kemenangan bagi Juara Anugerah Lagu ke-39 yang berlangsung pada Ahad lalu (16 Februari).

Oleh: Khadijah Ibrahim
Fito: Ehsan TV3/Emel Ismail

DI kalangan penyanyi tempatan, antara pertandingan yang menjadi impian mereka untuk disertai adalah Anugerah Juara Lagu atau AJL yang mula dianjurkan oleh TV3 pada 1986.

Pertandingan muzik tahunan yang popular di Malaysia ini sebenarnya lebih memberikan penghormatan kepada komposer dan penulis lirik dan bukannya artis yang membuat persembahan.

Namun pentas gah tersebut tetap menjadi impian penyanyi untuk meraih kejayaan kerana di situlah platform untuk menonjolkan kelebihan dan kreativiti mereka sebagai penghibur berdasarkan karya yang dipertandingkan.

Marsha Milan tak sangka lagu “Hening Rindu” muncul sebagai juara AJL39.

Untuk AJL ke-39, lagu “Hening Rindu” ciptaan Ikhwan Fatanna bersama Wan Saleh dan lirik oleh Ikhwan Fatanna yang didendangkan oleh Marsha Milan dinobatkan sebagai juara berbanding lagu lain seperti lagu “Puas Sudah” nyanyian Aina Abdul, “Bukan Lagi Kita” (Nadeera Zaini) dan “Diam” (Hael Husaini) yang diramal menggenggam trofi idaman ramai itu.

Ketua juri, Edry Abdul Halim berkata, lagu “Hening Rindu” dipilih kerana ia mempunyai kelebihan dari sudut teknikal yang berjaya digarap dengan baik seiringan dengan kualiti vokal Marsha.

“Kelebihan lagu “Hening Rindu” banyak terletak dari sudut teknikal. Banyak elemen-elemen muzikal yang membantu lagu itu mendapat markah yang lebih contohnya dari segi progression, coding, suara dan gubahan. Vokal yang baik juga membantu menaikkan persembahan tersebut.

Marsha Milan telah memberikan persembahan sepenuh jiwa sewaktu mendendangkan lagu “Hening Rindu”.

“Gabungan komposer, penulis lirik dan penyanyi harus lengkap. Mungkin itu kelebihan yang ada pada lagu “Hening Rindu”. Selain Marsha, saya turut gembira kerana AJL kali ini sangat kompetetif kerana setiap lagu ada kehebatan masing-masing. Semangat ini yang kita mahukan,” katanya pada sidang media selepas selesai acara yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 16 Februari lalu.

Sementara itu, Ikhwan berkata, beliau dan Wan Saleh tidak menyasarkan lagu ciptaan mereka itu harus menang. Apa yang lebih dititik beratkan adalah untuk Marsha menyampaikan lagu tersebut dengan penuh jiwa.

“Kami tidak letak sasaran lagu “Hening Rindu” kena menang sebaliknya, kami beritahu Marsha, lagu ini ada banyak rasa sedih dan syahdu. Dia perlu lebih bermain dengan rasa itu.

Nadeera Zaini bersyukur impiannya untuk meraih kejayaan di Anugerah Juara Lagu terlaksana menerusi lagu “BukanLagi Kita”.

“Kami hendak dia beri yang terbaik daripada segi penjiwaan. Masya-Allah, penghayatan Marsha untuk lagu ini sangat luar biasa dan dia beri lebih daripada apa yang kami mahukan.

“Malah, sewaktu rehearsal lagi, Marsha sudah menangis sewaktu menyanyikan lagu itu. Tidak sangka malam kemuncak ini, air mata dia mengalir lebih awal ketika rangkap pertama lagi,” katanya tanpa berselindung.

Sebagai juara AJL39, Ikhwan, Wan Saleh dan Marsha membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000.

Kali pertama menjadi finalis AJL, Nadeera sudah berjaya mencatat kemenangan.

Bagi Marsha pula, tiada apa yang dapat dilafazkan melainkan rasa kesyukuran kerana selama 20 tahun dalam industri seni dan inilah saat yang dinanti-nantikannya.

“Marsha sangat bersyukur dan alhamdulillah ini rezeki daripada Allah, terima kasih pada semua yang banyak menyokong Marsha terutamanya pada pencipta lagu.

“Marsha tak letak apa-apa harapan, jauh di sudut hati adalah berkata, bestnya kalau dapat. Tapi untuk jadi juara tu Marsha memang tak sangka sangat. Dari segi mental memang ada sedikit terganggu sebab siapa yang tak nervous bila sertai AJL kerana ia platform besar.

“Lagu “Hening Rindu” ini banyak mengingatkan tentang orang yang Marsha sayang sudah tak ada. Pada masa yang sama melihat situasi yang orang lalui sekarang jadi benda itu banyak menjadi satu kesukaran untuk Marsha sebab terlalu menjiwai lagu tapi alhamdulillah, keluarga, label dan kawan-kawan banyak menyokong.

“Bukan Lagi Kita” dendangan Nadeera adalah lagu ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh.

“Trofi ini sangat bermakna sebab sudah 20 tahun Marsha dalam industri mencari nama dan rasa banyak yang menyaksikan struggle Marsha dalam industri dan alhamdulillah Allah makbulkan,” katanya terharu.

Kata Marsha, kecintaannya kepada pada muzik membuatkan beliau berjuang sehabis baik pada malam kemuncak AJL39. Marsha akui, beliau tidak boleh berhenti dalam bidang seni ini kerana ramai orang yang mengharap beliau berjaya dalam industri.

“Saya sepatutnya berterima kasih juga kepada Akim dan Stacy sebab mereka yang membuka peluang kepada saya untuk berada di dalam AJL dengan lagu “Cinta” sebelum ini, alhamdulillah. Kini lagu “Hening Rindu” pula.

“Saya banyak belajar dengan orang-orang yang pandai dalam bidang seni. Orang yang membantu Marsha dalam persembahan termasuklah guru vokal, kata-kata semangat dari guru-guru yang pernah mengajar Marsha di Akademi Fantasia (AF), kawan-kawan yang berpengalaman dalam penceritaan lagu.

Gaya Nadeera di red carpet AJL39.

“Apa yang Marsha rasa adalah ikhlas yang datang dari hati. Marsha memang dah rancang untuk bercerita dalam lagu ini dan sebab itulah Marsha bersedia mengambil risiko ini untuk menjadikan lagu ini menggunakan jiwa Marsha.

“Risikonya sebab kadang-kadang orang tak boleh menerima macam mana penyampaian penyanyi. Sebenarnya susah juga untuk Marsha mengawal perasaan. Marsha rasa Allah banyak membantu Marsha sebab sebelum buat persembahan itu harap tak menangis awal kerana sepanjang persediaan untuk lagu “Hening Rindu” ini, Marsha banyak menangis sendiri sebab mengingatkan orang-orang yang Marsha sayang,” ceritanya tentang persediaan sebelum persembahan.

Manakala Nadeera yang mendendangkan lagu “Bukan Lagi Kita” ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh yang dijadikan runut bunyi untuk drama “Curang Tanpa Niat” melahirkan rasa syukur kerana dipilih sebagai tempat kedua AJL39 dengan membawa pulang wang tunai RM50,000 bersama trofi.

“Saya sangat bersyukur kerana ini adalah anugerah paling terindah untuk saya sebab pertama kali saya menjadi finalis AJL39. Alhamdulillah, pertama kali masuk merangkul naib juara, syukur sangat.

“Bukan Lagi Kita” dendangan Nadeera adalah lagu ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh.

“Saya rasa diri memang kerdil, apa juri nak cakap saya terima saja. Berada di Top 3, saya sudah bersyukur dan tak harap apa-apa pun. Saya sudah berikan yang terbaik sewaktu di pentas. Sebenarnya rezeki yang Allah bagi ini berjalan smooth saja. Saya pun tak jangka lagu ini akan viral sebegini, alhamdulillah.

“Kalau kita tak pernah berputus asa dan yakin dengan kuasa Tuhan, insya-Allah inilah bayarannya. Kita pun manusia tak lari daripada rasa nak putus asa tapi dengan sokongan keluarga dan kata-kata semangat daripada kekawan dan peminat, itulah yang membuatkan saya rasa nak teruskan juga perjuangan dalam seni walau apa pun yang terjadi, sekurang-kurangnya saya kena ada satu trofi seperti ini.

“Hael banyak menenangkan saya dengan memberikan kata-kata semangat sebab saya dah lama idamkan pentas AJL daripada 10 tahun lepas saya membuat persembahan untuk Juara Lagu ke-29. Balik saja lepas buat persembahan itu saya cakap depan cermin satu hari nanti saya teringin sangat nak bertanding di AJL dan Allah makbulkan impian saya untuk berada di pentas AJL. Alhamdulillah, ini bayaran atas usaha saya dalam dunia seni.

“Sebenarnya lagu yang dibuatkan untuk saya ini memang mengisahkan tentang saya juga dan alhamdulillah saya fokus waktu persembahan. Penari-penari yang saya bawa tadi adalah orang yang pernah hadir dalam hidup saya yang pernah memporak perandakan kehidupan saya sebelum ini,” ceritanya.

Aina Abdul dipilih sebagai pemenang untuk Persembahan Terbaik menerusi lagu “Puas Sudah” ciptaannya sendiri.

Menduduki tempat ketiga sudahpun memberi kegembiraan kepada Akim yang mendendangkan lagu “Saksama” bersama anggota The Majistret. Lagu ini dicipta oleh Akim & The Majistret dan lirik oleh Stacy yang menggunakan nama Bunga Cantik.

“Bila lagu “Saksama” masuk AJL saya punya fokus nak nyanyi dengan sebersih yang mungkin. Saya cuba dapatkan KPI saya yang paling terbaik untuk saya kenang di masa akan datang. Itu yang saya fokuskan dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

“Terima kasih kepada pengarah persembahan kami, Jibam kerana masa awal-awal latihan, saya rasa ragu-ragu juga sebab lighting tak ada ubah tapi bila hari kejadian baru nampak lampu berubah dan mood jadi dramatik dan mempengaruhi penyampaian saya untuk lagu tersebut,” katanya.

Sementara itu, penyanyi Aina Abdul yang merupakan pencipta dan penulis lirik untuk lagu “Puas Sudah” dipilih sebagai pemenang untuk Persembahan Terbaik dengan menerima hadiah wang tunai RM12,000 beserta trofi.

“Alhamdulillah, dapat merasa menang persembahan terbaik. Ini adalah anugerah yang saya kongsi bersama dengan team saya, dekat 100 orang yang menyiapkan persembahan saya kali ini. Anugerah ini adalah untuk mereka kerana apa yang anda lihat itu adalah kerjasama berbulan-bulan. Daripada team stage, lighting dan baju, semuanya berjalan lancar seperti apa yang kami impikan.

Aina Abdul gembira menang kategori Persembahan Terbaik.

“Sebenarnya, saya tidak berfikir panjang kerana untuk lagu “Puas Sudah” ini saya tak nampak warna lain, saya hanya nampak warna merah saja. Apabila saya teringat warna merah, saya pernah buat darah dan tampilkan hati sebelum ini. Ini adalah kisah yang ditulis berdasarkan kisah orang lain.

“Persamaan kisah-kisah mereka ini semua melihatkan satu emosi dan satu rasa. Saya hanyalah medium untuk bercerita dan ini bukan kisah saya. Lagu ini diinspirasikan daripada ramai wanita di luar sana yang lalui pelbagai cabaran. Sama juga untuk lelaki yang pernah terluka dalam kehidupan mereka.

“Bagi saya, jantung ini adalah mesej yang tepat untuk “Puas Sudah” kerana itulah yang saya rasakan untuk lagu ini. Saya tampil sebagai jantung sebab saya rasa selayak untuk lagu ini. Saya tak terfikir tema lain untuk lagu ini. Puas Sudah adalah jantung.

“Memang ambil masa dua bulan untuk team saya siapkan baju rekaan Melinda Looi ini. Kalau untuk AJL saya memang suka bekerjasama dengan Melinda.

“Saya hadir sebagai diri sendiri dan mewakili mata-mata ini, bibir ini nak bersuara tapi tak ada medium dan saya adalah medium tersebut.

“Syukur sebab Ainations memberi sokongan mereka melangkaui jangkaan saya. Saya bersykur kerana lagi banyak dikecam, lagi banyak yang membantu saya dan menjadi perisai saya di luar sana. Saya adalah seorang yang tidak membalas kepada komen negatif.

Aina selalu berbelanja besar bagi memastikan penampilannya bersesuaian dengan konsep lagu yang dipersembahkan.

“Saya tak suka memporak perandakan lagi keadaan, saya lebih suka berdiam diri. Mereka ini adalah tentera-tentera (Ainations) saya yang memberi saya semangat untuk saya teruskan kerjaya. Terima kasih Ainations yang tak henti-henti mengundi saya dan harap mereka gembira dengan kejayaan ini,” katanya sebagai tanda terima kasih kepada kelab peminatnya.

Tegas Aina, walaupun beliau tidak menyatakan jumlah sebenar yang dikeluarkan untuk persediaan persembahan AJL39 tapi penyanyi itu akui kali ini adalah kos yang terbesar pernah dikeluarkan untuk penampilannya di pentas AJL.

“Saya tak cakap amaun takut benda lain yang kejar saya dan saya hanya boleh kata, inilah yang paling banyak saya berhabis. Berbaloi sebab hanya di AJL yang kita dapat tampilkan persembahan, vokal dan lagu. Saya rasa kerjaya saya 90 peratus, saya beri penghargaan kepada AJL kerana saya dikenali kerana AJL.

“Saya punya perjalanan dalam AJL banyak likunya. Alhamdulillah, diberi kesempatan lagi untuk tahun keenam ini, terima kasih kepada pentas ini walaupun banyak cabaran dan setiap tahun banyak tekanan, setiap tahun berbeza. Tapi saya tetap bersyukur kerana kalau tak ada AJL, saya tak tahu di mana saya nak curahkan saya punya bakat.

“Kadang-kadang saya tertanya apa lagi yang saya nak dalam AJL ini. Saya kira Allah bagi saya rasa Persembahan Terbaik ini sekali gus bagi saya rasa dan mungkin sudah cukup. Saya punya fokus sekarang ini nak cuba buat luar daripada AJL ini. Saya mahu explore more,” katanya.

Ernie Zakri memenangi kategori Vokal Terbaik menerusi lagu “Aura”.

Manakala Ernie Zakri yang meraih kemenangan untuk Vokal Terbaik menerusi lagu “Aura” ciptaannya bersama John Jeeves dan Firdaus Rahmat dengan menerima wang tunai RM12,000 beserta trofi itu adalah satu permulaan yang terbaik untuk perjalanan seninya pada tahun 2025.

“Alhamdulillah, rezeki daripada Allah. Permulaan 2025 yang indah, syukur. Lagu “Aura” ini berhak untuk diberikan perhatian dan peluang untuk didengari, itu yang termampu saya buat. Mungkin sebab lagu Aura ini mesejnya women power, lebih kepada seorang wanita yang melakukan pelbagai perkara.

“Tidak dinafikan aura seorang wanita memang berbeza dengan lelaki. Untuk persembahan akhir ini, saya hanya menetapkan penyampaian saya sampai pada mesej. Minggu ini juga agak sukar bagi saya kerana suaranya belum lagi sembuh 100 peratus.

“Doktor sarankan saya berhenti sekejap menyanyi selama sebulan lebih tapi apa nak buat ada AJL. Saya nyanyi saja. Alhamdulillah ini rezeki daripada Allah, saya mampu buat termampu saya. Lagu “Aura” ini saya meletakkan apa saja yang saya letakkan di pentas itu sesuai dengan mesej lagu ini.

“Aura ini berbunga-bunga sebab itu suara saya ada R & B dan saprono serba sikit. Itu yang termampu saya buat, bonus juga saya dibantu oleh koir Kebangsaan Malaysia. Mereka adalah wanita soprano yang sangat strong. Mungkin disebabkan suara mereka vibe “Aura” itu lebih menyerlah. Dah dapat vokal terbaik, alhamdulillah itu rezeki. Saya gembira sangat,” kata Ernie bakal mengadakan konsert di Singapura selepas Syawal.

Previous articleMasih Melayu Tidak Sedar dan leka?
Next articleAdakah Yasin dan Taha juga nama Nabi SAW? (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here