Nana akui dia adalah peminat lagu-lagu Bollywood.

Oleh: Khadijah Ibrahim

RUPA-RUPANYA sewaktu Siti Nordiana menyanyikan lagu Hindi popular “Kuch Kuch Hota Hai” dan “Koi Mil Gaya” bersama Tomok di Konsert Memori Mungkin Berulang ibarat latihan.

Pada 26 April nanti, Siti Nordiana atau Nana akan menyanyi lagu “Kuch Kuch Hota Hai” bersama penyanyi sebenar lagu tersebut iaitu Udit Narayan sempena Konsert ‘A Lovely Night with Udit Narayan’ di Setia Spice Arena, Pulau Pinang.

Menariknya, pada konsert mega yang dianjurkan oleh LR Asia dan Filloz International itu buat julung kalinya menggabungkan Nana untuk beraksi sepentas bersama Udit Narayan.

Bakal membuat persiapan rapi untuk bergandingan dengan Udit Narayan.

Nana yang sinonim dengan lagu-lagu ‘tangkap leleh’ itu menganggap peluang yang diberikan kepadanya untuk menyanyi bersama Udit Narayan, yang terkenal sebagai suara latar aktor-aktor Bollywood tersohor seperti Shah Rukh Khan, Amir Khan, Amitabh Bachan dan ramai lagi itu sebagai bonus.

Jika selama ini beliau hanya mengidolakan penyanyi tersebut dari jauh namun kini berpeluang untuk bergandingan dengan Udit Narayan yang dikaguminya kerana Nana juga adalah peminat filem Bollywood.

“Saya sangka saya hanya diberi peluang untuk melakukan ‘opening act’ sahaja, tetapi rupanya berduet sekali dengan penyanyi idola saya, Udit Narayan.

“Tak tahu nak cakap apa, memang terkesima seketika, sebab Udit merupakan ikon kepada lagu-lagu Bollywood dan tak dinafikan saya membesar dengan lagu-lagu beliau.

Nana telah buktikan kebolehannya menyanyikan lagu Hindi pada konsert sebelum ini.

“Dari kecil bila tengok filem Bollywood terutama sekali bila ia menampilkan pelakon kegemaran saya Shah Rukh Khan, saya tahu semua nyanyian dalam filem itu adalah suara penyanyi legenda itu,” kata Nana tanpa berselindung.

Untuk memastikan penonton terhibur dengan persembahannya kelak, Nana berjanji akan melakukan yang terbaik untuk gandingan duet itu nanti.

“Bila dah tahu berduet, dalam teruja tu dah jadi gementar lah pula sebab dia penyanyi yang sangat berbakat dan vokalnya memang tiada tandingannya walaupun sudah agak berusia.

“Tak dinafikan ada juga kerisauan untuk membuat persembahan bersama nanti, tapi saya pasti akan buat yang terbaik,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pada Konsert ‘A Lovely Night with Udit Narayan’ itu juga bakal menampilkan pengacara Dee Jangan Ketawa serta penyanyi pempengaruh popular yang lain seperti Mamuji, Nadya Fharshah dan Ar Wanz sebagai ‘opening act’.

Tak sangka rezeki mendatang kerana berpeluang satu pentas dengan Udit Narayan.

Udit Narayan merupakan penyanyi Bollywood yang terkenal dengan suara latarnya di dalam industri muzik Bollywood dan termasuk juga beberapa bahasa lain seperti Tamil, Bengali, Telugu, dan Kannada.

Sepanjang tiga dekad kariernya, Udit telah menyanyikan lebih 25,000 buah lagu dalam lebih 36 bahasa sehingga membuatkan dirinya berjaya mendapat seramai 22.3 juta pendengar di Spotify dan juga memenangi pelbagai anugerah.

Peminat-peminat Bollywood yang telah membeli tiket untuk konsert Udit pada 28 November 2024, kini boleh menonton persembahan penyanyi kegemaran anda beraksi di lokasi yang sama pada 26 April ini.

Pada yang belum membeli, sila dapatkan tiket anda di ubertickets dan di https://uditnarayan.ubertickets.asia

Previous articleRara tak sambung kontrak sebab nak berehat
Next articlePenantian Luqman Podolski berakhir, tampil dengan EP perdana

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here