Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS sekian lama menanti, akhirnya penyanyi Luqman Podolski berpeluang mengeluarkan EP (extended play) perdananya berjudul “Kau Apa Sebenarnya?” pada 24 Januari lalu.
Luqman, 27, yang bertungkus lumus memerah idea dan konsep yang ingin diketengahkan, menyifatkan EP tersebut sebagai satu penanda aras kepada perjalanan seninya kerana banyak perkara baharu yang diterokai.

“Sebenarnya saya sudah mengumpulkan banyak material lagu sejak awal kemunculan dahulu. Ada yang sudah dilancarkan dan ada juga yang disimpan bagi mencari masa yang tepat sebelum menemui pendengar.
“Setelah bertungkus lumus menghasilkan karya dan melakukan banyak perbincangan dengan Warner Music Malaysia, akhirnya lagu-lagu yang dipilih seperti yang termuat di dalam EP “Kau Apa Sebenarnya?,” katanya yang memilih lagu “Tiba-Tiba” sebagai single pertama dariapda EP tersebut.

Lagu-lagu lain yang turut dimuatkan dalam EP tersebut adalah “Tak Sedar Diri”, “Salahkah Aku?”, “Rahsia” dan “M*”. Sementara lagu yang paling istimewa yang terdapat dalam EP ini adalah “Aku Dah Tak Percaya” yang juga merupakan kolaborasi perdananya bersama Zynakal setelah melakukan beberapa pencarian rakan penyanyi sebelum ini.
Kata Luqman, “Aku Dah Tak Percaya” merupakan antara lagu yang memberikan ‘pengalaman’ memandangkan dia pernah memberikan demo tersebut kepada beberapa rakan penyanyi lain sebelum itu.

“Sebenarnya saya telah memberikan demo tersebut kepada mereka tetapi tiada respons yang diterima. Mungkin mereka anggap lagu berkenaan tidak sesuai atau terlambat memberikan persetujuan.
“Saya berterima kasih kepada Zynakal yang akhirnya bersetuju dan menganggap lagu ini kena untuk kami sama-sama berkolaborasi, maka terhasil “Aku Tak Percaya”,” dedah penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia ini lagi.
Luqman juga sebenarnya merealisasikan impian sebahagian besar peminat apabila menyudahkan lagu “M*” dalam EP ini. Lagu yang sudah dihasilkan sejak 2016 pada asalnya hanyalah lagu untuk kandungan media sosial sahaja.

Dibuat dalam durasi satu minit ketika itu, ramai yang suka dan tak kurang juga mengharapkan adanya versi penuh naskhah berkenaan dihasilkan.
“Demi memenuhi impian pendengar, saya siapkan” M*” untuk semua. Harapnya mereka menikmati versi penuh lagu ini dan memberikan sokongan kepada keseluruhan naskhah yang terkandung dalam EP ini,” katanya penuh harapan.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.