Mira Filzah berjaya melakonkan watak Elina dan mendapat simpati ramai.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEWAKTU Shukri Yahaya menghadiri majlis pelancaran baju Melayu jenama Bulan Bintang, baru-baru ini, orang sekeliling lebih senang memanggilnya dengan nama Eshaal.

Nasib Shukri baik sebab tidak kena ‘belasah’ dengan peminat setia drama “Curang Tanpa Niat” kerana disisinya ketka itu ada Falah, karakter yang disukai ramai dalam “Andai Tiada Dia” lakonan Zahiril Adzim.

Drama “Curang Tanpa Niat” berjaya menarik perhatian ramai.

Selepas “Andai Tiada Dia” arahan Riza Baharudin, drama arahan Eyra Rahman iaitu “Curang Tanpa Niat” pula mengambil alih slot Mega Drama Astro Ria. Kedua-dua drama itu memang menjadi bualan netizen.

Drama “Curang Tanpa Niat” lakonan Shukri, Mira Filzah, Sharifah Sakinah dan Fadlan Hazim itu telah sampai ke penghujungnya pada malam ini (13 Februari).

Watak Eshaal, lakonan Shukri Yahaya yang paling dibenci penonton drama “Curang Tanpa Niat”.

Pasti ada di antara peminat yang menonton sambil mengulas dan bersimpati dengan Elina, lakonan Mira Filzah, isteri yang dicurangi suami, Eshaal.

Lakonan berkesan Mira Filzah telah menaikkan kembali namanya. Malah para penonton turut menyatakan bahawa Mira muncul dari Malaysia’s Sweetheart kepada status Ratu Air Mata. Malah ini merupakan kemunculan kembali Mira Filzah dalam slot Mega Drama Astro.

Abang Azriel yang dilakonkan oleh Qaiszerr Eshan berjaya membuat ramai menangis.

Penonton bukan saja dapat menyelami perasaan Elina tapi juga bersimpati dengan anaknya, Abang Azriel yang dilakonkan oleh Qaiszerr Eshan.

Pelakon kanak-kanak itu berjaya membuatkan satu Malaysia menangis dengan lakonan dan penghayatan dirinya sebagai anak. Kematian Abang Azriel menyentuh hati penonton walaupun sekadar lakonan.

Zaidi Omar sebagai Faozi (tengah) dan Evertts Gomes melakonkan watak Aryan bersama Eshaal dalam salah satu babak.

Seorang lagi yang mendapat perhatian penonton adalah adik kepada Elina, iaitu Aryan, lakonan Evertts Gomes, 27, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu. ⁠Pelakon kacak dan tinggi lampai itu dinamakan sebagai pelapis hero drama Melayu.

Lain-lain pelakon yang menjayakan drama 32 episod ini juga memberikan lakonan yang hebat dan berkesan. Penampilan Fadlan Hazim, Fauzi Nawawi, Hasnul Rahmat, Kaza dan ramai lagi turut membantu menjadikan karya yang ditulis oleh Oka Aurora ini menjadi drama viral dan trending pada awal tahun ini.

Drama yang mengangkat isu ‘office wife’ telah membuka mata masyarakat perihal hubungan di pejabat. Malah melalui komentar-komentar yang diberikan di laman sosial, para suri rumah sudah mula dan berani bersuara.

Drama arahan Eyra Rahman ini kembali mengangkat nama Mira Filzah.

Ada di antara penonton mula berdebar jika suami mereka berperangai seperti Eshaal yang terlampau baik dengan rakan sepejabat seperti Astrid itu hingga timbul rasa sayang.

⁠Karakter Eshaal dan Astrid merupakan pasangan paling dibenci oleh peminat setia drama ini. Semoga penonton dapat pengajaran berdasarkan drama ini agar lebih berhati-hati dalam pergaulan dengan teman sepejabat.

“Populariti “Curang Tanpa Niat” secara tidak langsung memberi tempias kepada penyanyi runut bunyi drama ini iaitu Nadeera yang diberi tanggungjawab menyanyikan lagu “Tergamak”.

Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna, sebab itulah berfikir dulu sebelum bertindak supaya tidak jadi seperti Eshaal.

Nadeera mempamerkan vokalnya yang mantap dan lagu ini turut mendapat perhatian ramai selebriti Malaysia yang menyanyikan semula lagu ini dalam versi mereka. Antaranya Datuk Sri Siti Nurhaliza dan Misha Omar.

“Curang Tanpa Niat” boleh disaksikan di Astro Ria (saluran 104) jam 10 malam. Strim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Bo, Astro Go dan Sooka.

Previous articleAdi Putra tidak suka hampakan permintaan orang
Next articleArrora Salwa bersyukur pentas Gegar Vaganza buka banyak peluang untuknya!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here