Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto Ehsan : Datuk Adi Putra/Koleksi Syed Wafa
SEBAIK keluar dari hospital, Datuk Adi Putra terus kembali ke set drama “Sekam Di Dada” kerana beliau tidak mahu jadual penggambaran drama arahan Zamri Zakaria itu terganggu kerana ketidakhadirannya.
Meskipun doktor mengarahkannya untuk berehat seketika daripada bekerja, pelakon utama filem “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” itu tetap degil mahu meneruskan tugasannya sebagai pelakon dalam drama 20 episod terbitan Saphire Screen Sdn. Bhd.

Jelas anak bongsu daripada tiga beradik yang berasal dari Singapura itu, beliau bukan jenis manusia yang suka menyusahkan orang lain. Justeru itulah, biarpun masih perlu rawatan lanjut, Adi tolak tepi rasa kurang sihatnya itu.
“Sebenarnya, doktor nasihatkan saya untuk berehat lagi tapi saya degil dan tidak mendengar kata doktor. Kalau saya berehat pun, hati tak rasa tenang sebab waktu itu saya masih dalam penggambaran drama “Sekam Di Dada” yang bakal ditayangkan pada Ramadan ini.

“Selepas keluar wad, ada sedikit kesakitan tapi alhamdulillah dapat dikawal dengan izin-Nya. Walaupun keadaan diri tidak begitu sihat tapi saya bukan jenis yang suka menghampakan permintaan orang terutamanya kalau berkaitan dengan peminat. Tanpa peminat dari awal dulu siapalah saya untuk terus berada dalam industri selama 22 tahun ini.
“Hidup saya mudah kerana saya selalu berpegang pada prinsip, kalau kita sudah komited pada satu pekerjaan, amanah tersebut haruslah digalas sehingga sempurna. Walau bagaimana keadaan saya, tanggungjawab perlu dilaksana dan saya hanya minta kekuatan pada yang Satu. Kalau Allah mudahkan, alhamdulillah.

“Saya pun tak menyangka bila kita melalui satu fasa yang sukar dan apabila nak masuk ke set balik dalam keadaan yang tak stabil tapi dapat dilaksanakan tugasan itu dengan sempurna. Pejam celik dah nak habis penggambaran tersebut tak sedar pun,” katanya yang berlakon bersama Amyra Rosli dan drama tersebut dan bakal disiarkan di TV3, slot Samarinda, Ramadan ini.
Bagi Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 44, kesakitan yang dihadapinya itu bukanlah kali pertama kerana sebelum ini beliau pernah melalui situasi yang sama. Beliau lebih senang bersikap positif atas segala permasalahan yang dihadapi.

“Apa saja yang saya lalui, saya menerima secara qada dan qadar kerana berpegang kepada prinsip setiap penyakit itu adalah penghapus segala dosa. Apa yang boleh saya katakan, setiap dugaan itu harus saya lalui dengan tabah kerana hanya Allah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk umat-Nya,” katanya dengan tenang.
Jelas suami kepada Datin Zuhaida Yusof atau Aida, selepas selesai penggambaran drama tersebut, beliau perlu melakukan beberapa kerja yang tertangguh sebelum ini dan tidak ada masa senggang. Katanya, waktu rehat beliau hanya satu saja iaitu apabila beliau menghembuskan nafas terakhir.

“Selagi kita bernafas di dunia, itulah yang dipesan untuk mencari ilmu dan usaha. Habis drama ini bolehlah saya tumpukan perhatian kepada jualan kurta Adiputra X Qalee Eksklusif pula iaitu kerjasama saya dengan jenama tersebut.
“Untuk kolaborasi Adiputra X Qalee Eksklusif ini, saya terlibat dalam semua perkara, baik dari segi idea mahupun modal. Sebelum saya mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Qalee, sebenarnya ada juga beberapa jenama yang menawar saya untuk bersama mereka sejak tahun lalu, tapi saya tolak.

“Tawaran Qalee datang secara kebetulan, sewaktu kami berada di Tanah Suci melakukan ibadah haji tahun lalu. Kerjasama saya dengan Qalee ini bukanlah nak bersaing dengan jenama lain kerana kolaborasi kami ini boleh dimanfaatkan untuk kegunaan mengerjakan ibadah umrah dan sebagainya.
“Kalau nak dikira saingan, biasalah dalam bidang perniagaan memang ada tapi saya lebih suka untuk mencetuskan satu identiti apa yang boleh kita permudahkan antara satu sama lain. Niat saya satu saja, untuk membangunkan jenama ini seperti jenama lain.

“Menerusi kolaborasi ini saya lebih suka melihat kepada keselesaan si pemakai. Kalau kita tengok di pasaran banyak fesyen dan apa yang kita titik beratkan di sini adalah kurta ini mudah untuk dipakai di mana saja.
“Dari peringkat kanak-kanak hinggalah dewasa, kurta ini juga dapat dimanfaatkan kerana ia tidaklah begitu nipis dan tebal. Saya tidak melihat trend tapi di sebaliknya iaitu memudahkan kaum Muslimin memakainya.

“Saya juga menggunakan slogan, kurta kita bangsa kita kerana ia tidak tumpu pada satu bangsa saja tapi berbilang bangsa. Yang boleh memperagakan tidak semestinya pada musim perayaan saja tapi boleh dimanfaatkan sebagai pakaian yang bebas,” hurai Adi tentang kelebihan produk Adiputra X Qalee Eksklusif.
Tambahnya lagi, beliau memilih kurta dan bukan baju Melayu seperti jenama lain kerana pakaian tersebut mudah untuk bergerak dan tidak terbatas dan boleh dipakai dalam apa jua majlis.

“Kalau baju Melayu, saya kena siapkan kain samping, dengan kurta saya mudah untuk travel ke mana saja kerana saya kerap berulang-alik ke Arab Saudi, Malaysia dan Singapura. Sebagai traveller saya mudah. Lagipun fabrik yang diguna memang sejuk dan selesa untuk dipakai.
“Kurta Qalee ini untuk berbilang bangsa. Ia tidak tertakluk kepada perayaan saja tapi boleh dipakai untuk pelbagai acara. Kiranya memang berbaloi kalau beli kurta ini,” katanya yang bermula sebagai pengguna jenama tersebut sebelum berkolaborasi.

Adi yang mempunyai dua orang anak angkat, Az Zahra dan Zara Adelia serta peneraju utama Hadid Travel & Tours sejak 2 September 2015 itu berkata, walaupun terikat dengan pelbagai tanggungjawab beliau tetap aktif dalam bidang seni.
Penglibatannya dalam bidang seni yang bermula sebagai model, pelakon dan pengacara di MediaCorp Suria, Singapura memulakan langkah sebagai anak seni menerusi drama “Cinta Bollywood 2” pada 2003.

Adi yang berkelulusan dalam bidang Kejuruteraan di Insitut Pendidikan Teknikal Singapura itu cukup dikenali kerana lakonan hebatnya dalam filem “Anak Halal” (2007), “Akhirat” (2008), “KL Gangster” (2011), sebagai Jai, adik kepada Malek lakonan Datuk Aaron Aziz, “Hanyut” (2016) sebagai Dain Maroola dan “Air Force The Movie: Selagi Bernyawa” (2022) juga pernah berlakon dalam filem filem Bollywood iaitu “Don 2” sebagai peguam.
Manakala drama lakonan Adi yang mendapat perhatian ramai adalah “Akukah Tanggang?” sebagai Ridzuan yang diterbitkan pada 2008, “Tentang Dhia” (2011) dan “Cinta Si Wedding Planner” (2015) sebagai Fariz Adryan.

Adi bukan setakat berlakon drama dan filem, beliau juga telah menunjuk bakatnya sebagai pelakon teater menerusi karya “Sri Mersing” (2010) dan “Di Bawah Lindungan Kaabah” (2014). Selain itu, Adi turut membuktikan yang beliau mempunyai suara dengan menghasilkan album studio solo perdana berjudul “Kelahiran” pada 2008 yang menampilkan 11 buah lagu.
Beliau yang menerima anugerah Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Almarhum Sultan Ahmad Shah, pada 23 Disember 2017 itu juga sudah bergelar pengarah. Filem pertama arahannya adalah “Syaaban” yang diinspirasikan daripada filem Indonesia, “Kiamat Sudah Dekat”.

Pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-32 pada 2022, menerusi filem “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” itu pertama kali berlakon dalam filem Malaysia adalah menerusi filem sejarah “1957: Hati Malaya” arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba sebagai Syed Alwi Al-Hadi.
Sepanjang berkarier, Adi telah memenangi beberapa anugerah, antaranya Artis Lelaki Anggun Bergaya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-25 pada 2011, Anugerah Harapan Seri Temasek di Anugerah Seri Temasek pada 2013, pada tahun yang sama juga di Anugerah Melodi ketiga, Adi menerima Anugerah Artis Sensasi manakala di Augerah Stail EH! Pada 2014, beliau dinobat sebagai Selebriti Lelaki Paling Seksi.


Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.