Konsert Muzik Harmony Charly Van Houten yang diadakan di Megastar Arena, baru-baru ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA melihat pada poster asal Konsert Muzik Harmony Charly Van Houten bakal dijayakan oleh vokalis Setia Band iaitu Charly, anaknya, Restu, Angga Chandra, Happy Asmara dan penyanyi dari Malaysia, Poey Stings.

Namun sewaktu konsert berlangsung pada 7 Februari lalu di Megastar Arena, Bukit Bintang, Poey Stings tidak ada kerana sehari sebelum itu beliau telah menarik diri. Meskipun wajah Tegar Septian tidak terpampang di poster rasmi, namun dia merupakan penyanyi pembuka tirai untuk konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu.

Charly bersama Happy Asmara.

Tegar Septian,24, yang pernah menjadi peserta program ‘Big Stage’ musim keempat pada 2022 memulakan persembahan dengan lagu “Mengharapkanmu”, “Rindu Ibu” dan lagu popularnya, “Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang”.

Ternyata Tegar yang mula menceburi bidang seni sebagai pengamen jalanan itu masih mempunyai peminat di sini dan tatkala bapa kepada Abidzar Oktaviano Putra Septian itu mendendangkan lagu popularnya, penonton yang hadir turut menyanyi bersama.
Selepas Tegar, pentas diambil alih oleh Restu atau nama penuhnya, Mohammad Restu Gibhran Regina, 20, anak sulung Charly bersama isteri, Shinta Regina.

Turut berduet dengan Tegar Septian.

Restu yang diiringi tiga pemuzik itu melahirkan rasa syukurnya kerana dapat kembali lagi ke Malaysia. Sebagai putra kepada Charly, Restu beruntung kerana bapanya sering membawanya bersama setiap kali menjayakan konsert.

Lagu pertama pilihan Restu adalah “Lirih” yang memiliki nuansa sangat emosional kerana sewaktu menulis lagu ini, dirinya benar-benar sedih terhadap sesuatu perkara.

Angga Candra turut menjayakan Konsert Muzik Harmony Charly Van Houten.

Manakala lagu “Dan Ku” pula dihasilkan kerana dia mengidolakan seseorang. Justeru itulah sebelum mendendangkan lagu tersebut Restu bertanya kepada penonton, “ada tak yang datang bersama seseorang tapi orang itu bukan kekasih kamu”?

Ternyata Restu berbakat seperti bapanya, dia bukan setakat boleh menyanyi malah, juga boleh mencipta lagu dan menulis lirik.

Kemudian muncul pula Angga Candra mendendangkan lagu “Sampai Tutup Usia”. Nama Angga Candra mungkin belum dikenali di kalangan peminat muzik tempatan kerana dia bermula sebagai YouTuber.

Restu adalah anak sulung Charly.

Angga Candra Lukita, 34, sering berkarya menerusi saluran YouTube Angga Candra Music dan mempunyai ramai pengikut kerana dia juga merupakan bekas vokalis Adipati Band.

Mendendangkan tiga buah lagu yang dimulai dengan lagu “Sampai Tutup Usia”. Selepas menyanyikan lagu “Tunggu Sejenak”, Angga mengakui yang dia tidak cukup kuat untuk nyanyikan lagu tersebut kerana lagu tersebut menceritakan tentang seorang pengamen jalanan seperti dirinya.

“Untuk wanita kerjaya tolong hargai pasangan anda sebelum kehilangan insan yang tersayang,” katanya yang mengakhiri persembahan dengan lagu “Sekecewa Itu”.

Charly menghiburkan penonton dengan lagu-lagu popularnya sewaktu bersama ST12.

Satu-satu penyanyi wanita yang menjayakan konsert tersebut, Happy Asmara atau nama penuhnya Heppy Rismanda Hendranata, 26, tampil dengan lagu “Ngopi Maszeh” genre reggae koplo dangdut. Penyanyi asal Kediri, Indonesia itu kemudiannya menyanyikan lagu “Terlalu”, “Rungkad” dan sebuah lagu Jawa.

Bintang utama pada malam itu muncul memulakan persembahan dengan lagu “Asmara” dengan diiringi lapan pemuzik kira-kira pada jam 10 malam. Charly yang sebelum ini mencipta nama dengan kumpulan ST 12, menghiburkan penonton dengan lagu-lagu popular kumpulan tersebut, antaranya “Aku Terjatuh”, “Jangan Pernah Berubah”, “Aku Masih Sayang”, duet bersama Tegar.

“Boleh saya ke belakang untuk menyapa anda semua. Malam ini saya tidak mampu berdiri di sini kerana sokongan peminat di Malaysia sangat kuat. Terima kasih kerana setia menyokong saya,” katanya yang kemudian mendendangkan lagu “Putri Iklan”.

Charly mengakui dia terinspirasi dengan muzik dari Malaysia.

Charly kemudian mendendangkan lagu “Kehilangan”, “Jangan Pernah Bersedih” dan “Saat Terakhir” yang ditulis liriknya sewaktu dia berada di hutan.

Dia juga mengakui tidak ada masalah untuk menyanyikan lagu-lagu dari Malaysia kerana sewaktu dengan ST 12 pada 2004, dia terinspirasi dengan muzik dari negara ini. Bagi membuktikan yang dia benar-benar tahu menyanyikan lagu-lagu dari Malaysia, Charly mendendangkan lagu Iklim, “Bukan Ku Tak Sudi” dan “Gerimis Mengundang” dari kumpulan Slam serta “Isabella”.

“Malaysia menjadi negara yang saya sayangi. Di sini lebih tertib dan bahagia. Mari kita sama-sama bertakbir sempena menjelang bulan Ramadan ini. Semoga perjalanan kehidupan ini menjadikankan kita manusia yang berkat,” katanya sebelum menutup persembahan dengan lagu “KebesaranMu”.

Previous articleDJ Lin fokus bidang pengurusan, Suria Cinta hujung minggu sahaja
Next articleMengapa DAP & MCA Yang Menggelupur?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here